petikan harian metro


KOTA SARANG SEMUT: Belum sampai 24 jam dibebaskan dari penjara,
seorang lelaki yang juga penagih dadah dipercayai membakar 30 naskhah
al-Quran yang disimpan dalam sebuah masjid di Kampung Tualang, Selasa
lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, bekas banduan
berusia 30-an yang baru dibebaskan dari penjara pada pagi sebelumnya
itu memasuki masjid berkenaan sebelum mengambil 30 al-Quran itu yang
diletakkan di atas rak dan membakarnya di ruang solat.

Kejadian itu hanya disedari jemaah yang mahu menunaikan solat Subuh beberapa 
jam selepas itu.

Siak masjid berkenaan, Abdul Hamid Shafie, 70, berkata dia terkejut
apabila penduduk kampung memaklumkan mengenai kejadian itu sebaik dia
tiba untuk menunaikan solat Subuh.


“Sebaik tiba, saya nampak ramai penduduk berkumpul di pekarangan
masjid sementara asap memenuhi ruang solat. Saya sangkakan masjid
terbakar, bagaimanapun dimaklumkan ada individu menceroboh masjid dan
membakar al-Quran,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan,
semalam.

Katanya, sepanjang usianya dia tidak pernah mendengar ada pihak sanggup 
membakar al-Quran dalam masjid.

“Mujur api tidak marak kerana al-Quran itu dibakar di atas simen, jika
tidak pasti masjid ini rentung. Perbuatan ini bukan saja mencemarkan
rumah Allah, tetapi menunjukkan sikap keji lelaki terbabit,” katanya.

Abdul Hamid berkata, masjid itu tidak berkunci kerana ia bertujuan
memudahkan penduduk atau orang luar menunaikan solat pada bila-bila
masa.

Menurutnya, lelaki itu yang juga penduduk kampung itu
pernah melakukan tindakan hampir sama tiga bulan lalu apabila dia
mencampakkan beberapa naskhah al-Quran dalam kolah masjid.

Tindakannya itu menyebabkan penduduk  mengutip al-Quran itu sebelum menjemurnya 
sehingga kering.

“Dia kerap keluar dan masuk penjara. Apabila melihat al-Quran itu
terbakar, kami tahu ia perbuatannya kerana dia baru saja dibebaskan
dari penjara atas kesalahan mencuri.

“Saya tidak faham mengapa
lelaki itu sanggup bertindak demikian. Mungkin dia hilang pertimbangan
dan tidak dapat mengawal diri,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan masjid berkenaan kini hanya memiliki senaskhah 
al-Quran yang tidak sempat dibakar lelaki itu.

Abdul Hamid berharap ada pihak tertentu untuk menyumbangkan al-Quran untuk 
kemudahan jemaah di masjid itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu,
ketika dihubungi, berkata polis sudah menahan lelaki terbabit Selasa
lalu dan direman sehingga hari ini.

 http://zailina88.blogspot.com



      

Kirim email ke