SEREMBAN 6 Ogos - Beberapa kawasan sekitar daerah ini akan mengalami gangguan 
air selama 24 jam mulai pukul 8 malam pada 11 Ogos ini hingga 8 malam 
keesokannya.

Pengurus Besar Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Zulkifli Ibrahim 
berkata, gangguan disebabkan kerja-kerja pengalihan paip air ekoran pembinaan 
Lebuh Raya Kajang - Silk (LEKAS) di Batu 6, Jalan Jelebu dekat sini.

Beliau berkata, kawasan terlibat ialah keseluruhan bandar Seremban, Seremban 2, 
Bandar Baru Nilai, Kuarters KLIA, Felda LBJ, Felda Sendayan, Kampung Gadong, 
Nilai 3, Taman Semarak, Pekan Lama Nilai, Kawasan Industri Berat Nilai dan 
sekitar Jalan Labu.

Seluruh Senawang, Taman Tuanku Ja'afar, Jalan Tampin, Jalan Port Dickson, Taman 
Tasek Jaya serta Kawasan Industri Tasek Jaya, Lenggeng dan kawasan sekitarnya 
termasuk Mantin, Pajam, Nilai, Staffield Golf Resort dan Ulu Beranang juga 
mengalami gangguan bekalan.

Ia juga melibatkan Rasah, Jalan Rasah, Hospital Tuanku Ja'afar, Rasah Jaya 
serta taman-taman perumahan di sekitar Rasah ke Mambau akan mengalami gangguan 
bekalan air sepanjang tempoh tersebut.

Jelasnya, orang ramai yang memerlukan bekalan air boleh menghubungi talian 
bebas tol SAINS 1-800-88-6982 atau 06-7653000, 06-7653001 dan 06-7639100.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_07.htm
 



      

Kirim email ke