Tahukah anda bahawa kebanyakan pemandu hari ini hanya menggunakan
separuh daripada kemahiran mereka semasa memandu di jalan raya?
Usah terkejut, kerana itu adalah realiti. Dorongan itu terjadi
berikutan naluri semula jadi manusia yang memberi input salah
tentang apa yang sepatutnya dilakukan semasa memandu.
Menggunakan telefon bimbit, menaip teks khidmat pesanan ringkas
(SMS), membetulkan siaran radio dan juga mencari arah menerusi
sistem navigasi ketika kereta sedang bergerak. Malah ada yang boleh
makan, minum serta bersolek ketika memandu.
Memandu memang tidak sukar lebih lagi kenderaan moden yang
dilengkapi dengan pelbagai ciri contohnya kenderaan automatik.
Kini, jurutera GM di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa universiti
di Jepun sedang merancang mengurangkan keterlibatan manusia dalam
mengendalikan kenderaan.
Mereka cuba menjadikan sistem automasi berfungsi sepenuhnya.
Daripada lebuh raya yang membolehkan kereta dipandu tanpa memegang
stereng, hinggalah ujian pergerakan mekanikal yang diintegrasikan
bersama sistem GPS. Desakan itu timbul berikutan sebahagian besar
faktor kemalangan yang berlaku berpunca daripada kesilapan manusia.
Secara relatifnya, semua orang dewasa boleh memandu. Namun, apa yang
membezakan pemandu yang cekap dan sebaliknya adalah corak pemanduan.
Cekap, bukan semestinya anda seorang pelumba litar atau pemandu
ujian seperti Tiff Needell atau Quentin Willson.
Kecekapan pemanduan berdasarkan naluri dan keupayaan mengesan
sesuatu kecelakaan beberapa saat sebelum ia berlaku. Perbezaan
jumlah saat itu kadangkala menentukan sama ada anda mampu atau tidak
menyerap kemalangan, mengelak kemalangan atau terus sahaja
menghentam dengan momentum penuh.
Kurang kosentrasi
Kesilapan yang sering berpunca daripada manusia adalah kurangnya
konsentrasi semasa memandu. Jika anda menggunakan telefon bimbit
dengan kit bebas tangan sekalipun, sebenarnya tumpuan memandu kini
terbahagi kepada dua situasi yang berbeza.
Malah, beberapa kajian mendapati konsentrasi memandu boleh hilang
sehingga 70 peratus ketika berbual menerusi talian, tidak kira sama
ada menggunakan kit bebas tangan atau sebaliknya.
Pernahkah anda terlepas memasuki simpang jalan kerana sibuk berbual
dengan rakan sebelah? Ini adalah contoh jelas mengenai konsentrasi
yang terganggu.
Konsentrasi bukan sahaja melibatkan mata. Ia berkaitan dengan naluri
dan keupayaan deria lain untuk berinteraksi bersama sewaktu memandu.
Tali pinggang keledar
Ingat, secanggih manapun kenderaan ia tidak akan berfungsi
menyelamatkan pemandu jika anda mengabaikan fakta keselamatan yang
telah disediakan secara asas. Setiap komponen perlu berhubung untuk
memastikan setiap satunya berfungsi menyelamatkan pemandu ketika kemalangan.
Beg udara, jika pengeluar kenderaan memasang 30 unit sekalipun tidak
akan berguna sekiranya tali pinggang keledar tidak dipakai.
Tragedi kemalangan Mercedes Puteri Diana pada tahun 1998 adalah
antara contoh komponen semudah tali pinggang keledar mampu menyelamatkan nyawa.
Daripada empat orang yang berada di dalam kereta, Puteri Diana, Dodi
Al Fayed dan pemandu-Henri Paul hanya Trevor rees-Jones (pengawal
peribadi Dody Fayed) yang terselamat dalam kejadian tersebut.
Sebabnya, hanya Jones yang memakai tali pinggang keledar.
Ringkasnya, untuk menjadi seorang pemandu yang cekap, semuanya harus
bermula daripada asas. Pakai tali pinggang keselamatan, tidak kira
anda duduk di barisan mana sekalipun.
Kerusi, cermin belakang dan titik buta
Sebaik melabuhkan punggung ke kerusi kenderaan, perkara utama yang
perlu dilakukan adalah melaras tempat duduk mengikut kedudukan yang
sesuai dan selesa. Selesa bukan bermaksud dalam kedudukan seperti di
kerusi malas.
Selesa maksudnya anda mempunyai genggaman stereng yang kemas, jarak
kaki menekan kesemua pedal yang betul, selain ketinggian sesuai
dengan tahap penglihatan depan serta kedudukan stereng yang sepatutnya.
Kemudian, laraskan ketiga-tiga cermin pandang belakang agar mendapat
sudut pandangan yang sesuai. Cermin kiri dan kanan perlu berada
dalam posisi yang memberi perspektif pandangan secukupnya dan
meminimumkan titik buta.
Hidupkan suis penghawa dingin, audio dan laras sistem navigasi,
sebelum memakai tali pinggang keledar dengan kemas. Sekarang anda
sudah bersedia untuk memandu.
Pemandu yang cekap juga bermaksud pemandu mengawal kereta dan
bukannya kereta yang mengawal pemandu. Kawalan terletak 100 peratus
pada tubuh badan anda dan gunakan sebaiknya segala fungsi yang ada pada kereta.
Jangan lupa memberikan isyarat membelok untuk keluar masuk simpang
dan menukar lorong. Jangan lupa menggunakan cermin pandang belakang
yang anda laras tadi sebelum menukar sebarang haluan kenderaan.
Kelajuan mengikut situasi
Latih diri untuk menduga apa yang berlaku dan akan berlaku di
hadapan anda. Bayangkan perspektif pemanduan melebihi sempadan. Di
hadapan anda mungkin sebuah kereta Perodua Kancil dan ingat, bukan
hanya Kancil sahaja yang perlu anda perhatikan. Jangkakan juga dua
atau tiga kenderaan di hadapan anda.
Ketika melalui selekoh yang panjang atau jalan berbukit, pandu dalam
kelajuan yang sesuai agar anda mempunyai masa secukupnya untuk
membrek sekiranya terdapat halangan di hadapan.
Kelajuan yang sesuai bukan bermaksud 20km/sejam di jalan yang
berkelebaran 15 kaki. Anda mungkin dilanggar dari belakang jika
memandu terlalu perlahan. Kelajuan yang sesuai juga adalah
berdasarkan situasi dan cuaca.
Jalan berbukit juga antara faktor yang sering menyebabkan
kemalangan. Ia berikutan titik buta yang terjadi akibat halangan geografi.
Sekarang, anda sudah mendapat perspektif betul bagaimana seharusnya
memandu dengan cara yang selamat.
Ingat, jika semua orang di jalan raya mengamalkan corak pemanduan
serupa, akhirnya jalan raya akan menjadi tempat yang lebih selamat.
Bertoleransi sesama pemandu. Anda tidak perlu membayar cukai jalan
berganda kerana mengangkat tangan meminta maaf sekiranya membuat silap.
Tiada siapa yang sempurna semasa memandu, namun akhirnya anda akan
menjadi semakin cekap jika mengamalkan corak pemanduan yang betul.
Bukankah itu bagus untuk kita semua?