Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
RAMADAN bakal menjelang lagi. Peluang keemasan ini sewajarnya dimanfaatkan oleh
semua umat Islam dengan sebaik-baik mungkin. Malah kita perlu merasakan Ramadan
kali ini adalah yang terakhir dalam hidup untuk membangkitkan motivasi agar
dapat beramal dengan lebih baik.
Justeru, kita perlu memperbaiki azam untuk menjadikan Ramadan ini lebih
bermakna daripada tahun-tahun sebelumnya. Antaranya, kita perlu memperbetul dan
memperelokkan niat.
Kita perlu ikhlas bahawa ibadah ini demi Allah SWT semata-mata. Niat yang betul
kerana Allah berupaya mendorong kita untuk lebih berusaha memperoleh pelbagai
ganjaran.
Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan dinilai berdasarkan niat
dan bagi setiap orang apa yang dia diniatkannya. (Hadis riwayat Imam Bukhari
dan Muslim).
Ini bermakna, kita perlu menumpukan kepada usaha mendapat ganjaran yang
dijanjikan Allah dan bukannya berlumba-lumba membuat persiapan untuk menyambut
Hari Raya.
Perkara kedua ialah kita perlu bersedia daripada segi fizikal, mental dan
material bagi meraih bonus yang tidak terhingga di bulan Ramadan. Umat Islam
disaran menjaga kesihatan tubuh badan agar dapat berpuasa di siang hari.
Mereka juga perlu bersedia daripada segi mental untuk melawan nafsu tidur,
makan dan keinginan lain yang boleh mengurangkan pahala ketika berpuasa.
Begitu juga seseorang perlu bersedia daripada aspek kewangan untuk
memperbanyakkan amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Nabi
Muhammad bersabda: Barang siapa yang memberi iftar (jamuan untuk berbuka puasa)
nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka.
Ketiga, kita perlu berazam untuk tingkatkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi
ibadat puasa. Ini bermakna, kita perlu berazam untuk meningkatkan kualiti
puasa. Ia boleh dilakukan dengan tidak membataskan puasa hanya dengan menahan
diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan
dosa dan maksiat. Di samping itu perkara-perkara wajib yang lain seperti
sembahyang fardu dan menutup aurat juga turut dilaksanakan.
Keempat, kita perlu berazam untuk diberi peluang beribadat di malam
Lailatulqadar. Ia adalah malam kemuliaan yang datang sekali setahun. Malam yang
pahala beribadah padanya menyamai 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun 4 bulan.
Justeru setiap individu Muslim perlu mempersiap diri untuk menjejaki malam itu.
Dan yang kelima, kita perlu sentiasa berharap dan berdoa agar ibadah puasa
diterima oleh Allah. Setiap umat Islam perlu menaruh harapan tinggi agar
puasanya diterima.
Oleh itu, kita digalakkan memperbanyak amalan sunat seperti bersedekah, tadarus
al-Quran, iktikaf di masjid dan sebagainya bagi menampung kecacatan dan
kekurangan ketika berpuasa.
Akhirnya diperingatkan juga agar sesiapa yang masih berhutang puasa agar segera
mengqada puasa berkenaan. Kegagalan melunaskannya kemungkinan menyebabkan
seseorang dinafikan daripada berbagai-bagai keistimewaan yang disediakan oleh
Allah SWT di bulan Ramadan.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Kampus
Bandaraya Johor Bahru
.
Dapatkan nama E-mel keutamaan anda!
Kini anda boleh @ymail.com dan @rocketmail.com.
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/