Asallamualaikum wbt,
Marilah kita sama sama renungi akan kata kata penulis dibawah:-
Al-Quran beri inspirasi berfikir
Penulis asal:  Mohd Zawawi Yusoh
AL-QURAN sepatutnya mendapat layanan istimewa daripada umat Islam. Layanan itu 
bukan hanya membabitkan cara mengambil, meletak dan membacanya, malah yang 
lebih ialah kandungannya dan menghayati suruhan dan menjauhi larangannya.
Menurut Ibnu Qayyim, suasana inilah yang melonjakkan generasi terdahulu ke 
paras tertinggi dalam indeks kecemerlangan.

Kecemerlangan yang digapai bukan dalam satu bidang tertentu, malah pelbagai 
bidang. Dukacita generasi ini sudah lama meninggalkan kita.
Walaupun mereka tiada lagi, sejarah mereka tetap utuh, bahkan masih segar jika 
dipelajari.
Mereka membaca al-Quran bukan hanya untuk panduan hukum agama, malah menjadikan 
sebagai panduan cara kehidupan, membabitkan kesempurnaan fardu ain dan fardu 
kifayah.

Cuba lihat apabila mereka baca ayat al-Quran mengenai aurat, mereka bukan 
berlumba-lumba membeli kain di gedung untuk menutup aurat tetapi mereka 
berfikir lebih jauh dari itu, iaitu mereka berfikir cara untuk mencipta 
pakaian, membina kilang pakaian serta merancang untuk menguasai pasaran pakaian 
dan fesyen.

Begitu juga apabila mereka membaca ayat mengenai kebersihan, mereka bukan saja 
membersihkan najis tetapi mencari idea untuk meneroka teknologi, malah 
menceburi dalam import eksport barang terbabit.
Di sebalik kepintaran itu, mereka adalah generasi berakhlak tinggi. Begitulah 
al-Quran memberikan inspirasi berfikir dan berzikir.

Sewajarnya remaja mencontohi kecemerlangan itu, mendekati al-Quran untuk 
mempertajamkan minda dan memperkuatkan peribadi. (Bagaimana mendekati Al-Quran?)
Caranya dengan membaca al-Quran, selalu mendengar bacaan ayat suci al-Quran, 
memahami kandungan, menjadikannya sebagai penawar mujarab menyelesaikan masalah 
sosial dan seterusnya menjadikan ia sumber hukum.
Masalah remaja bermula apabila kita mengambil sikap memulaukan al-Quran, iaitu 
tidak membacanya. Jika dulu, waktu Maghrib kedengaran bacaan al-Quran, 
sayup-sayup dari rumah tetapi kini yang kedengaran di televisyen dan radio.
Jika dibaca pun banyak kesalahannya, tidak cuba memahami apa yang dibaca, tidak 
menjadikannya sebagai panduan untuk merawat penyakit masyarakat dan 
kemanusiaan. Jika ada pun dijadikan untuk hantaran perkahwinan.

Ketika empayar Rom dan Parsi jatuh ke tangan orang Islam, pemimpin Rom 
berbicara sesama sendiri dengan penuh kekaguman mengenai tentera Islam.
Antara komen mereka ialah orang Islam suka bersolat pada malam hari dan 
berpuasa pada siang hari, menepati janji, menyeru orang melakukan kebaikan, 
melarang daripada kejahatan dan membahagikan harta rampasan perang sama banyak 
antara mereka.
Umat Islam berada di zon kecemerlangan kerana ditempa dan dibentuk al-Quran. 
Melihatkan kepada suasana semasa nampak sangat kita berada di satu lembah dan 
al-Quran berada di tempat lain.

Prestasi makin jauh dari al-Quran ini akan mencetuskan seribu satu macam onar 
dalam masyarakat. Kepada remaja, dengarlah al-Quran, selalulah membaca, cuba 
fahami isinya, akan datang penghayatan dan akhirnya terserlahlah al-Quran dalam 
bentuk tindakan, lalu berulang kembali generasi al-Quran. Wassalam.
.


      Dapatkan alamat E-mel baru anda!
Rebut nama E-mel yang telah lama anda kehendaki sebelum orang lain 
mendapatkannya!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/

Kirim email ke