Tegas Berakidah, Luas Dalam Fekah
 
 
Oleh Dr Mohd Asri Zanul Abidin
Selama hampir dua minggu saya mengembara dari London ke Osnabruck , kemudian ke 
Berlin dan seterus ke Republik Czeck. Di setiap tempat saya disambut dengan 
mesra dan meriah sekali oleh para pelajar Malaysia .
Walaupun kebanyakan mereka belum pernah bertemu saya, tetapi banyak pandangan 
saya; samada dalam bentuk ucapan atau tulisan, kebanyakan mereka telah pun 
menelaahnya. Alhamdulillah.
Itulah kebaikan dunia internet jika kita manfaatkan. Walaupun sebahagian mereka 
berada di luar negara sejak saya belum menjadi mufti, dan setelah saya berhenti 
pun mereke belum balik lagi, namun mereka tahu perkembangan Malaysia .
Dalam tempoh dua tahun saya menjadi mufti nampaknya pandangan-pandangan yang 
dilontarkan –alhamdulillah- telah diekspot dengan mewahnya ke sana . Setiap 
tempat yang saya sampai, saya memberikan ucapan dan membuat sessi soal jawab.
Dunia hari ini begitu pantas maklumatnya, di mana sahaja saya berhenti, akan 
ada rakyat Malaysia yang tahu dan menunggu saya di berbagai stesyen. Mereka 
menjemput saya ke berbagai program yang dianjurkan dan boleh dikatakan setiap 
warga Malaysia di kawasan berkenaan akan hadir. Alhamdulillah.
Memberikan ucapan kepada para pelajar yang terpilih dan bijak amatlah selesa 
dan senang. Mereka memiliki kecerdasan minda dan ketajaman untuk berhujah. 
Apabila mereka merasai pandangan yang kita lontarkan itu berteraskan alasan 
yang meyakinkan, dengan mudah mereka bersetuju. Atau jika mereka tidak 
bersetuju, mereka akan bersoal jawab dan mendatangkan alasan-alasan mereka.
Saya sering mengingatkan pembaca, demikian saya ingatkan mereka bahawa Islam 
sama sekali tidak dapat menerima pegangan agama yang dibuat atas ikut-ikutan 
tanpa memahami dalil atau alasan. Tiada takliq buta dalam Islam ini. Tiada 
dalam Islam senjata beracun yang pernah digunakan oleh sesetengah golongan yang 
memakai lebel agama iaitu ‘barang siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah 
imannya’.
Jika manusia bijak seperti mereka yang mempelajari bidang-bidang yang sukar 
seperti perubatan tidak dibekalkan dengan kekuatan kefahaman yang berteraskan 
fakta dan dalil, siapa lagi yang hendak kita harapkan menjadi benteng Islam di 
zaman kini.
Dr Zakir Naik umpamanya, dia seorang saintis yang menyumbang kepada penyebaran 
Islam dengan hujah-hujah saintifik dan pemikiran yang tajam. Kebijaksanaannya 
telah digunakan untuk menyampaikan Islam. ‘Peace TV’ telah dijadikan saluran 
media membolehkan manusia memahami Islam yang canggih dan mengatasi zaman..
Lihatlah, ketika sesetengah mereka yang bergelar ‘ustaz’ menggambarkan Islam 
sebagai agama yang dipenuhi dengan unsur Israiliyyat, hadis palsu, jampi itu 
dan ini, cerita-cerita lucu kewalian, upah pahala sebagai bisnes dan berbagai 
pencemaran yang lain, golongan professional muslim yang mendapat disiplin ilmu 
perubatan, kejuteraan, pembinaan dan berbagai lagi tampil menjelaskan Islam 
yang sebenar. Islam yang mereka fahami dari sumber yang betul tanpa sebarang 
kepentingan kebendaan.
Ini mengingat kepada Nabi Sulaiman a.s apabila beliau mendengar ucapan semut 
betina. Firman Allah: (maksudnya)
“Hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml” (lembah semut), berkatalah 
seekor semut betina: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu 
masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak kamu, sedangkan mereka 
tidak menyedari. Maka tersenyumlah Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan 
berkata (berdoa):” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan 
nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku 
tetap mengerjakan amalan soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan 
rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”.(Surah al-Naml: 18-19)
Demikian, pengetahuan tentang alam membawa insan mendekatkan diri kepada Allah 
dan bersyukur kepadaNya.
Di sana , saya dalam banyak ucapan menceritakan kepada mereka tentang dua 
perkara yang penting. Pertama, kejelasan dan ketegasan Islam dalam 
perkara-perkara akidah. Kedua; keluasan dan kemudahan yang diperuntukkan oleh 
Islam dalam soal fekah.
Perkara ini perlu dijelaskan kerana dalam kalangan umat Islam, termasuk di 
Malaysia ada yang begitu longgar dalam akidah tapi begitu sempit dalam perkara 
fekah. Maka kita tidak hairan jika menemui di Malaysia mereka yang berserban 
atau berkopiah dan begitu takut untuk terkeluar dari mazhab fekah kebiasaannya, 
namun dalam masa yang sama dia masih percaya kuat kepada bomoh, atau gurunya 
dianggap ajaib, atau masih percaya tangkal itu dan ini.
Saya pernah melihat kumpulan yang berjubah dan berserban sakan, namun pergi 
memohon hajat di kubur Pulau Besar Melaka. Pengaruh tarekat yang berlebihan, 
atau kesufian yang melampau sering menjadikan sesetengah pihak gagal untuk 
membezakan antara batasan iman dan syirik.
Guru, atau bomoh sering diangkat melebihi kadar yang patut. Walaupun dalam masa 
yang sama, kita lihat mereka ini begitu menjaga sesetengah amalan fekah, 
sehingga kelihatan sempit dan beku. Maka tidak pelik di negara kita jika ada 
imam masjid yang masih kuat pegang dengan bomoh, atau terikut dengan tarikat 
yang bukan-bukan.
Sepatutnya, dalam isu akidah seseorang hendaklah sensitif dan selalu takut akan 
segala unsur syirik. Sementara dalam soal fekah, ada keluasan yang diberikan 
oleh syarak yang boleh kita amalkan, namun ramai orang masih takut dengannya.
Umpamanya, di sebelah Eropah ini, pada musim sejuk seperti sekarang, waktu 
siang agak singkat. Waktu solat mereka berkejaran dengan waktu kelas atau 
peperiksaan. Sebenarnya, dalam hal yang seperti ini, mereka boleh mengamalkan 
solat jamak, tanpa qasar. Sekalipun jika mereka menganggap diri mereka sudah 
tidak bermusafir, mereka tetap mempunyai peruntukan untuk menjamakkan solat 
tanpa qasar.
Jamak bermaksud menghimpun dua solat dalam satu waktu, samada pada waktu 
pertama, atau kedua. Ini bagi solat zohor dan asar, atau maghrib dan isyak. 
Maka boleh dihimpunkan solat zohor dalam waktu asar, atau sebaliknya. Demikian 
maghrib dan isyak. Adapun qasar, iaitu memendekkan solat empat kepada dua 
rakaat, maka ia dikhususkan untuk mereka yang bermusafir. Sementara jamak, 
boleh untuk dilakukan oleh mereka yang sakit, ketakutan, terlalu sibuk, hujan, 
terlalu sejuk, musafir dan segala kesusahan yang lain.
Dalam hadis Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, 
katanya: “Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah 
tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id 
mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya 
Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda 
mahu agar umatnya tidak beban”.
Maka bagi yang kesuntukan masa, seperti pelajar, atau doktor bedah, atau ahli 
parlimen, atau polis yang bertugas menjaga lalu lintas, atau mereka menjaga 
jentera yang sukar untuk ditinggalkan, maka peruntukan jamak ada dalam hadis 
ini untuk mereka. Namun malangnya di Malaysia , ada yang sanggup meninggalkan 
solat apabila masuk hospital atas alasan sukar untuk solat.
Apa tidaknya, fekah yang diajar diajar begitu sukar kerana ditokok tambah 
berbagai hukum lain yang memayahkan. sehingga disuruh sesiapa yang sakit tidak 
mampu berwuduk sepenuhnya untuk wuduk separuh dan bertayamum sebakinya. Orang 
sihat pun hanya berwuduk, tiba-tiba yang sakit disuruh wuduk dan tayamum.
Parapelajar di sini mempunyai masalah kerana anjing begitu banyak. Ramai yang 
membawa anjingnya ke sana sini. Jalan menjadi kotor dengan najis anjing yang 
berselerakan. Berselisih dan bersentuh dengan anjing bukan perkara luar biasa. 
Demikian juga dengan daging babi yang amat digemari oleh ‘orang puteh’. 
Kefahaman fekah tempatan kita menjadikan sesetengah pelajar kita begitu gusar 
dalam masalah ini.
Saya telah memberikan beberapa jawaban untuk mereka menceritakan kepelbagaian 
pandangan sarjana Islam berhubung dengan nilai najis kedua haiwan berkenaan dan 
bagaimana kita dapat mengambil manfaat dari keluasan fekah Islam dalam hal-hal 
tersebut. Apa yang penting mereka perlu tegas dalam akidah dan ambil kemudahan 
fekah yang diberikan syarak.
.



      Cuba Yahoo! Messenger 9.0 terbaru! Kini dengan semua kegemaran anda 
mengenai messenger dan banyak lagi. http://my.messenger.yahoo.com

Kirim email ke