Pagi tadi hantar ayah buat pemeriksaan susulan akibat kecederaan tangan sebelum 
ini di Hospital Seremban. Dekat tengahari baru habis. Lepas tu bawa ayah dan 
emak makan di Restoran Haji Sharif di tengah bandar Seremban di jalan Yam Tuan.

Restoran Haji Sharif ni popular dengan Cendol dan Rojak. Dan dia popular sejak 
saya sekolah di Seremban lagi dekat Telekom Seremban. Masa tu dia buat ais 
untuk cendol pakai sagat saja (hancur ais guna sagat tangan). Memang popular 
dulu cendol dan rojak di Telekom Seremban tu, warung dia kecil , main tolak 
saja.

Lepas tu dah tak de lagi warung-warung di Telekom Seremban sebelah A&W tu. 
Mereka pindah kejap depan Hotel Royale Bintang sebelah Hotel Tasik.

Lepas tu ayah pun tak tahu mana mereka pindah. Rupa-rupanya sekarang Restoran 
Haji Sharif adalah mercu tanda bandar Seremban. Luar dalam semua hijau. 
Bangunan hijau, baju pekerja hijau, lantai hijau, meja hijau, kerusi hijau, 
dinding hijau, cendol pun hijau. Restoran Evergreen agaknya.

Menu restorannya mudah saja , Rojak atau Rojak Mi, minum pelbagai Cendol, itu 
saja, tak ada Nasi, tak ada Roti Canai dan lain-lain. Rojak dia memang special, 
cuba dulu baru tahu. Ramai orang yang datang, Melayu, Cina, India. Letak kereta 
pun mudah, banyak tempat letak kereta , walaupun tengah bandar Seremban.

Ini bab yang saya suka. Restorannya memang amat bersih sampai ke tandas. Majlis 
Perbandaran Seremban beri sijil perakuan A iaitu paling bersih. Masa saya 
tengah makan seorang pekerja sedang lap dinding restoran dengan air sabun. Tak 
pernah dalam hidup saya tengok restoran di lap dindingnya.

Lebih-lebih lagi wabak H1N1 ini memang digalakkan semua tempat awam sentiasa di 
lap dengan sabun meja, kerusi dan sebagainya.

Dan lagi satu saya suka restoran ni tak ada jual rokok atau gula-gula dan 
jajan. Hebat betul pemilik restoran ini , menjaga kesucian, kebersihan, 
kehalalan makanan yang dihidangkan.

Juga lagi satu saya suka restoran ini tak ada radio dan TV yang memekakkan 
telinga.

Restoran ini boleh dijadikan contoh atau “Benchmark” untuk pemilik restoran dan 
kedai makan satu Malaysia mungkin satu dunia. Kalau saya , saya beri pemilik 
Restoran ini tokoh Maal Hijrah ke , anugerah apa-apa ke, Duta Pelancongan 
Negeri Sembilan dan sebagainya.

Tanpa hiburan, tanpa rokok, tanpa pelayan seksi , sebuah restoran boleh begitu 
maju di tengah bandar Seremban. Fikir fikirkan.

Banyak produk pelancongan di Negeri Sembilan ni. Cendol Leman Dawi, Masak Lomak 
Cili Api dan Lomang Kendong dan banyak lagi. EXCO Pelancongan kena banyak turun 
padang.

Nak tengok gambar dan peta Restoran Haji Sharif pada pautan berikut 
http://waghih.blogspot.com/2009/08/nak-tahu-restoran-paling-bersih-di.html





Kirim email ke