Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di 
pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga." 
(Riwayat Anas Bin Malik)

Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? 
Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan 
berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang 
yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi 
apa kata kalau saya katakan 'orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?'


Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee 'Sedang lidah 
lagi tergigit'. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata 'ok' kepada isteri anda 
begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan 
terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat 
diramalkan. 


Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita 
perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan 
terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali 
melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar. 


Sabda Rasulullah s.a.w: 

"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang 
keji dan bukan seorang yang berkata kotor." 

(Riwayat Ibnu Mas'ud RA) 


Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah 
orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang 
sangat keji ini. 


Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? 
Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai 
perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan 
inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang 
terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah 
lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak 
ada penyatuan antara suami dan isteri. 


Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih 
sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan 
sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, 
janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon 
yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, 
pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda. 


Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:

1. Jangan terlampau banyak bercakap - Ketika bertengkar, hati masing-masing 
pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun 
tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. 
Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan 
daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan 
perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan 
menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan 
secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan. 

2. Jangan menyebut kelemahan pasangan - Bukan hanya isteri anda yang mempunyai 
kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan 
dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, 
anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan 
keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan 
ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, 
dia tidak akan meninggikan suara.

3. Jangan membalas perbuatannya - Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra 
dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya 
salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. 
Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi 
anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri. 

4. Jangan cuba mengubah pasangan - Anda dibesarkan dalam keluarga 'begini', 
isteri anda dibesarkan dalam keluarga 'begitu'. Pastilah terdapat perbezaan 
antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti 
tidak sama dengan pandangan anda. 

5. Fokus pada masalah - Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan 
masalah akhirnya akan turut menjadi masalah. 

6. Jangan tinggikan suara - Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin 
tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan 
menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan 
tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya 
dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat. 

7. Gunakan panggilan manja - Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan 
panggilan 'sayang' atau 'manja' tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih 
sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan 
dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan 
kasar termasuklah 'aku' dan 'kau'.

8. Elakkan terlalu emosional - Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda 
akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya 
terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung 
berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya. 

9. Gunakan perkataan yang baik-baik - Selain menggunakan panggilan manja, 
gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan 
masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan 
ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah 
engkaulah!"

10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur - Hal ini kerana 
tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama 
sendiri.

11. Dengar luahan isteri - Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri 
anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, 
bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara 
sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.

12. Jangan bergaduh di depan anak - Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya 
akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang 
berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku 
jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan 
menjejaskan imej anda sekeluarga.

13. Bersabar - Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal 
berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari 
isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling 
segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.

14. Say NO to third party - Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, 
jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya 
menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk 
menyelesaikan masalah anda. 

15. Mengalah tidak bererti kalah - Mengalah ketika saat genting ini tidak 
menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa 
tindakan anda sebenarnya betul.

16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai - Selalu menonton drama di TV? 
Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh 
untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebab-kan isteri anda 
ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan 
dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. 
Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan 
mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan 
dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa 
tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit 
ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap 
permasalahan anda berdua. 

17. Luahkan - Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut 
perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda 
menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar 
anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda. 


18. Pelukan dan kemaafan - Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. 
Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk 
pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara 
seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan 
anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih 
hebat.

Artikel di atas dipetik daripada Bab 9: Sedangkan Lidah Lagi Tergigit dalam 
buku Manual Kerja Super Suami. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh 
didapati di www.books.perintis.com.my.


Kirim email ke