Lima tahun puasa tanpa air, elektrik
Sinar Harian 26 Ogos 2009

LENGGENG - Walaupun negara sudah mengecap pelbagai kemajuan sejak mencapai 
kemerdekaan namun masih terdapat rumah di Kampung Tengah Lenggeng tidak 
mempunyai kemudahan bekalan air dan elektrik.

Kini, sudah masuk lima tahun seorang ibu tunggal, Nordiana Bahar, 33, bersama 
anaknya Najmi Amri Shah, 13, terpaksa bergelap setiap kali tibanya waktu 
berbuka dan bersahur disebabkan tidak mempunyai bekalan elektrik.

Rumah yang dibina bekas suaminya ini sememangnya tidak disediakan dengan 
kemudahan tersebut, namun wanita ini tetap tabah meneruskan hidup serta 
menjalani ibadah puasa seperti masyarakat Islam lain.

Nordiana berkata, sejak dahulu dia dan anak terpaksa berbuka serta bersahur 
dalam keadaan gelap sambil bertemankan cahaya lilin.

“Syukurlah setakat ini tiada apa yang berlaku biarpun rumah saya sering kali 
dimasuki binatang berbisa,” katanya.

Menurutnya, hati siapa yang tidak sedih melihat rumah lain diterangi cahaya 
elektrik sedangkan dia hanya mampu menggunakan cahaya lilin, namun itulah 
situasi yang perlu dihadapi.

“Mujurlah adik yang tinggal di rumah bersebelahan sudi berkongsi bekalan air 
dengan membenarkan saya menyambung saluran paip dari rumahnya.

“Nasib baik kami ada punca air untuk menjalani kehidupan seharian seperti 
membasuh dan memasak. Jika tidak lagi sukarlah kehidupan saya,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story3352339.asp




Kirim email ke