BESUT 23 Sept. – Polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun dan merampas 188 biji pil kuda bernilai kira-kira RM4,700 dalam serbuan di rumahnya di Kampung Paroh, Padang Luas, dekat sini semalam.
Serbuan pada pukul 1.40 petang itu disifatkan polis sebagai yang terbesar melibatkan pelajar di negeri ini. Kesemua pil tersebut ditemui disorok di dalam poket baju dan lipatan pakaian milik suspek di dalam bilik tidurnya. Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritendan Roslan Hassan berkata, siasatan mendapati suspek mendapatkan bekalan pil itu daripada pengedar di Pasir Puteh, Kelantan. Katanya, suspek malah sempat menggunakan RM500 daripada hasil jualan pil berkenaan untuk membeli pakaian raya. ‘‘Suspek yang belajar di sebuah sekolah menengah di daerah ini mengaku menjalankan aktiviti itu sejak beberapa bulan lalu. ‘‘Dia juga mengaku membekalkan dadah jenis itu di sekitar kampungnya tanpa pengetahuan keluarga,’’ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini hari ini. Beliau berkata, suspek yang kematian bapanya sejak berusia dua tahun itu tinggal bersama ibunya, seorang penoreh getah serta enam beradik lain. Roslan berkata, ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek negatif. Katanya, suspek kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun dan antara tiga dan sembilan sebatan. Tambahnya, polis percaya, hasil maklumat yang diperolehi daripada suspek akan membantu pihaknya memberkas beberapa orang lagi suspek termasuk dari negeri jiran yang turut menjalankan kegiatan itu. Sumber : Utusan Malaysia Online IlyTrolak : Peringkat masih dibangku sekolah telah terlibat dengan perkara begini. Jika semakin lama, apakah jadinya? Berapa ramai lagi anak bangsa yang akan rosak? -- Dicatat Oleh IlyTrolak ke ::::: Aku Budak Trolak ::::: di 9/24/2009 10:09:00 AM
