Hadis Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:

Apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya mengadakan undian di 
kalangan isteri-isterinya. Sesiapa yang bernasib baik dialah yang akan keluar 
bersama Rasulullah s.a.w. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w membuat 
undian di kalangan kami untuk memilih siapakah yang akan turut serta ke medan 
perang. Tanpa diduga undi akulah yang berjaya. Lalu aku keluar bersama 
Rasulullah s.a.w. 

Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam Haudaj 
(sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di atas unta). Bilik inilah 
aku ditempatkan selama berada di sana. Setelah Rasulullah s.a.w selesai 
berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat buat seketika di suatu tempat 
yang berhampiran dengan Madinah. Sebaik sahaja tiba waktu malam kami diminta 
supaya meneruskan perjalanan. 

Pada waktu yang sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera. 
Apabila selesai membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan 
perjalanan. Ketika aku menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang 
diperbuat dari manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang. Aku kembali lagi 
ke tempat tadi mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam keadaan 
tersebut. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawaku 
mengangkat Haudaj ke atas unta yang aku tunggangi kemudian terus pulang. Pada 
sangkaan mereka aku berada di dalamnya. 

Saidatina Aisyah berkata: Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak 
terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit 
makanan menyebabkan para sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta 
mengangkat Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis. Mereka 
membangkitkan unta dan terus berjalan. 

Sebaik sahaja mereka bertolak aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku 
pergi ke tempat perhentian mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun 
yang ada di sana. Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka 
sedar kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa 
mengantuk dan terus tertidur. 

Kebetulan Safuan bin Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani telah ditinggalkan oleh 
pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam sehinggalah dia sampai ke 
tempatku pada pagi tersebut. Dalam kesamaran dia terlihat seorang manusia 
sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati aku yang tidur di situ. Dia 
mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum hijab diwajibkan kepadaku. 

Aku tersedar oleh ucapannya [Inalillahi wa inalilahirajiun] ketika dia 
mengetahui bahawa aku tidur di situ. Aku segera menutup wajahku dengan kain 
tudung. Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar 
kata-katanya walaupun sepatah selain ucapannya [Inalillahi wa inalilahirajiun] 
sehinggalah dia meminta aku menunggang untanya. Tanpa membuang masa aku terima 
pelawaannya dan terus naik dengan berpijak di tangannya, lalu beredar dalam 
keadaan dia menarik unta sehinggalah kami berjaya mendapatkan pasukan tentera 
yang sedang berhenti rehat kerana panas terik. 

Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya iaitu Abdullah 
bin Ubai bin Salul. 

Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit di Madinah selama sebulan setelah ku 
kembali. Sementara itu orang ramai sedang menyebarkan fitnah daripada pereka 
cerita bohong tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Aku mula resah setelah 
Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah aku tidak lagi merasakan kelembutan 
Rasulullah s.a.w yang biasanya aku rasakan ketika aku sakit. 

Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana 
keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak 
melakukan keburukan. Setelah penyakitku beransur sembuh, aku keluar bersama 
Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah tempat yang biasa kami 
kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar pada waktu malam. 
Keadaan ini berterusan sehinggalah kami membina tandas berhampiran dengan rumah 
kami. Kamilah orang arab yang pertama membina tandas untuk bersuci. Akhirnya 
kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang di bina berhampiran dengan 
rumah kami.

Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhmi bin Al-Muttalib bin 
Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin Amir ibu saudara Abu Bakar 
As-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin Usaasah bin Abbad bin Al-Muttalib. 
Setelah kami selesai buang air besar aku berjumpa dengan anak perempuan Abu 
Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu 
melatah sambil berkata: Celaka Mistah! 

Aku berkata kepadanya: Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam 
peperangan Badar. 

Dia menjawab: Wahai Saidatina Aisyah: Tidakkah engkau mendengar apa yang dia 
katakan? 

Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan? 

Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong. 
Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat. Setelah sampai di rumah 
Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda mengucapkan salam kemudian 
bertanya: Bagaimana keadaanmu? 
Aku menjawab: Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku? 

Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita tersebut dari dua orang tuaku. 
Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, aku segera pulang ke rumah 
orang tuaku. Sebaik sahaja sampai di sana, aku bertanya ibuku: Mak, apakah 
cerita yang disebarkan oleh orang ramai mengenai diriku? 

Ibuku menjawab: Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah berapa orang 
sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai 
beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah 
terhadapnya. 

Aku berkata: Maha suci Allah s.w.t! Apakah sampai begitu sekali orang ramai 
memfitnah ku? 

Aku terus menangis pada malam tersebut dan tidak lagi mampu menahan air mata. 
Aku tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya, aku masih lagi dalam 
keadaan demikian. 

Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah 
bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu 
tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w 
tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap 
mereka sambil berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma 
mengetahui apa yang baik. 

Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan kamu malah 
wanita selain daripadanya masih ramai. Jika engkau bertanyakan pembantu rumah 
pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul. 

Saidatina Aisyah berkata: Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah (pembantu 
rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang 
meragukan tentang Aisyah? 

Barirah menjawab: Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku 
melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak 
lebih dari seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti 
keluarganya sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang 
memakannya. 

Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar 
meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh 
Abdullah bin Ubai bin Salul. 

Saidatina Aisyah berkata lagi: Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah: 
Wahai kaum Muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup 
melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. 
Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa 
dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali 
bersamaku.

Lalu Saad bin Muaz Al-Ansariy bangun berkata: Aku yang akan menolongmu daripada 
orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal 
lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan 
Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu 
itu. 

Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah 
bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang yang soleh tetapi 
kadang-kadang dia cepat radang kerana bongkak. Dia menjawab kepada Saad bin 
Muaz: Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak dapat membunuhnya dan tidak mampu 
untuk membunuhnya! 

Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz bangun menjawab kepada Saad bin 
Ubadah: Engkau bohong! Demi Allah, kami akan membunuhnya. Engkau seorang 
munafik yang membela orang-orang munafik. 

Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga 
mereka hampir membunuh antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w masih tetap 
berdiri di atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak henti-henti menenangkan mereka 
sehinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah s.a.w diam. 

Saidatina Aisyah berkata: Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari. Air 
mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah pada malam 
berikutnya. Dua ibu bapaku menganggap tangisanku itu boleh membawa kepada 
terbelahnya jantungku. 

Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta izin 
menemuiku. Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil 
menangis. 

Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w masuk memberi salam, lalu 
duduk bersama aku. Saidatina Aisyah berkata: Baginda tidak pernah berbuat 
demikian sejak berlakunya fitnah terhadapku sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak 
diturunkan kepada baginda mengenai keadaanku. 

Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah Syahadah 
ketika duduk kemudian bersabda: Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah 
diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti 
tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah 
keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya 
apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti 
akan menerima taubatnya.

Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai bersabda, aku 
bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aku berkata kepada 
ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang baginda katakan. 

Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada 
Rasulullah s.a.w. 

Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w. 

Ibuku juga menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan 
kepada Rasulullah s.a.w. 

Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca 
Al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu 
sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku 
katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui 
bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku. Begitu juga 
sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang mengetahui bahawa aku 
tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak 
mempunyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali kata-kata yang disebut 
oleh ayah Nabi Yusuf a.s: ÝóÕóÈúÑñ Ìóãöíáñ æóÇááøóåõ ÇáúãõÓúÊóÚóÇäõ Úóáóì ãóÇ 
ÊóÕöÝõæäó (Yang bermaksud: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya 
dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan 
itu). 

Saidatina Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat 
tidurku. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin diriku 
tidak bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah. Tetapi 
Demi Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang 
permasalahanku kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan oleh 
Allah s.w.t. 

Namun begitu aku mengharapkan agar Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya 
bahawa Allah s.w.t membersihkan aku dari fitnah itu. Saidatina Aisyah berkata: 
Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak beredar dari tempat duduk baginda dan tidak 
ada seorangpun di kalangan keluarga kami keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan 
wahyu kepada Nabi-Nya, baginda kelihatan berubah. Baginda duduk membongkok 
sambil berpeluh bagaikan mutiara pada musim sejuk kerana beratnya menerima 
firman Allah s.w.t yang diturunkan kepada baginda. 

Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w terus ketawa. Ucapan 
pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya: Bergembiralah, 
wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan kamu! Lalu ibuku 
berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w. 

Aku menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya 
akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat Al-Quran 
menyatakan kebersihanku. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat Åöäøó ÇáøóÐöíäó 
ÌóÇÁõæÇ ÈöÇáúÅöÝúßö ÚõÕúÈóÉñ ãöäúßõãú (Yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang 
yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu) 
sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat tersebut yang 
menyatakan kebersihanku. 

Saidatina Aisyah berkata: Lalu Sayidina Abu Bakar orang yang selalu memberi 
nafkah kepada Mistah kerana dia adalah salah seorang daripada kaum keluarga Abu 
Bakar dan seorang miskin berkata: Demi Allah! Aku tidak akan memberikan nafkah 
kepadanya lagi selepas dia memfitnahkan Saidatina Aisyah r.a. 

Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah s.w.t menurunkan ayat æóáóÇ 
íóÃúÊóáö ÃõæáõæÇ ÇáúÝóÖúáö ãöäúßõãú æóÇáÓøóÚóÉö Ãóäú íõÄúÊõæÇ Ãõæáöí ÇáúÞõÑúÈóì 
sehingga ayat ÃóáóÇ ÊõÍöÈøõæäó Ãóäú íóÛúÝöÑó Çááøóåõ áóßõãú (Yang bermaksud: 
Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya di antara kamu 
bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum keluarga sehinggalah 
kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: Tidakkah kamu suka supaya Allah 
mengampunkan dosa kamu). 

Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin Al-Mubarak menyebut: Inilah ayat yang 
paling aku harapkan dalam Kitab Allah. 

Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan keampunan Allah s.w.t. Lalu 
Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah sebagaimana biasa dan 
berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya. 

Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab binti Jahsyin 
isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui atau apakah 
pendapatmu? 

Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga pendengaran dan 
penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. 

Saidatina Aisyah berkata: Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w yang 
membanggakan aku. 

Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak berbanding dengan saudara 
perempuannya iaitu Hamnah binti Jahsyin yang turut serta menyebarkan fitnah. 
Maka celakalah dia bersama orang-orang yang celaka!
         
(Riwayat Muslim)

Kirim email ke