*
Di dalam sebuah hadith yang sohih, Baginda Rasulullah SAW bersabda:-
Maksudnya: " Setiap orang Islam ke atas orang Islam yang lain,
diharamkan darahnya (yakni tidak boleh membunuhnya), hartanya (tidak
boleh dirampas) dan kehormatannya (tidak boleh dicaci hina)".

Justeru itu, Islam sebagai agama kemulian, agama perdamaian dan agama
perpaduan melarang keras umatnya daripada perbuatan menyakiti kaum
muslimin yang lain dengan sebarang perilaku buruk dan cabul, atau
dengan kata bicara yang lojik dan menghina, lebih-lebih lagi Islam
melarang umatnya mengutuk, maki hamun, mencerca dan mengeluarkan
kata-kata mencarut terhadap orang lain. Semua perilaku tersebut adalah
termasuk di dalam kategori dosa-dosa besar yang dibenci oleh agama
Islam maha suci. Kerana ianya tidak menawarkan apa-apa pulangan baik
dan keuntungan yang memberangsangkan, melainkan ia akan menarik kepada
perselisihan dan permusuhan di antara umat Islam.

Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab: ayat 58:- Maksudnya: " Mereka yg
menyakiti orang-orang mu'min lelaki dan perempuan, terhadap suatu
perkara yg tidak mereka lakukan, sesungguhnya mereka memikul fitnah dan
dosa yang nyata".

Suatu kali, Baginda Rasulullah SAW bercerita: "Bahawa pada malam
Baginda di israkkan oleh Allah,. Baginda telah melepasi segolongan
manusia yg berkuku tajam daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan
dada mereka sendiri tanpa henti, lalu memancutlah darah keluar beserta
daging muka dan dada mereka koyak dalam keadaan yg amat mengerikan.
Lalu Baginda bertanya kepada malaikat; Wahai Jibril! siapakah gerangan
orang-orang itu? Malaikat Jibril menjawab: itulah, mereka yg memakan
daging manusia (yakni suka mengumpat sentiasa dan mencemarkan
kehormatan orang lain)".

Benarlah apa yg difirmankan oleh Allah di dalam surah Al-Hujurat, ayat
10 - 12, yang melarang kita daripada enam perkara yg boleh menjejaskan
perpaduan dan keutuhan kita umat Islam.

1. Jangan mencemuh dan merendah-rendahkan puak atau orang lain.
2. Jangan sekali-kali menyata dan menjatuhkan keaiban orang lain.
3. Jangan panggil memanggil dengan panggilan yg buruk atau menghinakan.
4. Hindarilah diri daripada berburuk-sangka.
5. Jangan hendaknya suka mengintip atau mencari-cari kesalahan orang
lain.
6. Jangan suka umpat mengumpat dan keji mengeji di antara kita umat
Islam.

Marilah atas dasar dan semangat cintakan kehidupan yang diredhai Allah,
sama-sama kita hidup dalam suasana harmoni, hidup saling hormat
menghormati, saling kasih mengasihi dan saling bantu membantu di antara
Islam lain.

Walau apa pun alasan kita, Islam melarang keras umatnya daripada sikap
kutuk mengutuk, hina menghina dan mengeji orang lain. Sebagaimana kita
tidak mahu orang mencarut dan menghina kita, maka begitulah juga orang
lain.

Wassalam


Oleh : Yusofia
*

--
Posted By Lenggang Kangkung to TAZKIRAH at 10/09/2009 08:08:00 AM

Kirim email ke