ANTARA aksi yang dilakukan sekumpulan pelajar yang menghina cara orang Islam 
menunaikan solat di dalam sebuah gereja di Betong.


KUCHING: Sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di Betong, Sarawak,
merakamkan perbuatan mereka meniru cara umat Islam bersolat jemaah
termasuk melaungkan azan di dalam sebuah gereja dan dipaparkan dalam
laman web You Tube.

Dalam rakaman dua minit 13 saat itu, sekurang-kurangnya lapan remaja
termasuk dua perempuan berusia 12 hingga 15 tahun dilihat ketawa dan
menjerit ketika empat rakan mereka melakukan 'solat jemaah'.

Empat remaja lelaki kelihatan berdiri di ruang hadapan gereja atau
altar sambil meniru cara solat jemaah dengan seorang daripada mereka
melakonkan watak imam.

Ketika itu, laungan seperti azan jelas kedengaran dipercayai dilakukan
rakan lain, manakala kumpulan remaja berkenaan 'bersolat' dengan
mengangkat takbir beberapa kali, sujud, duduk antara dua sujud sebelum
duduk tahyat akhir.

Kumpulan remaja yang melakonkan watak jemaah turut berbaring beberapa
kali dan menggayakan tarian 'shufle' serta berguling. Seorang daripada
remaja berkenaan turut dilihat mengajuk cara pondan bersolat sebelum
remaja yang merakam berkata "ada pondan ke dalam masjid".

Mereka memakai pakaian baju T dan seluar jeans dengan seorang daripada
mereka memakai baju sekolah yang tertera nama dan logo Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) St Augustine, Betong.




ANTARA aksi yang dilakukan sekumpulan pelajar yang menghina cara orang Islam 
menunaikan solat di dalam sebuah gereja di Betong.

Perbuatan dipercayai dilakukan di sebuah gereja sekitar Betong,
kira-kira 350 kilometer dari sini dengan tiada individu dewasa
kelihatan berada dalam rumah ibadat berkenaan.

Pada penghujung rakaman, seorang remaja lelaki turut berkata "no more
muslim, muslim is ajaran sesat". Rakaman berkenaan dihantar ke sebuah
laman web oleh seorang penghantar bernama 'Harisha2012' pada 20 Oktober
lalu.

Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama),
Datuk Daud Abdul Rahman, berkata perbuatan itu dilakukan sekumpulan
pelajar nakal dan meminta umat Islam tidak cepat melatah.

Katanya, Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) sudah dimaklumkan mengenai
perbuatan kumpulan remaja berkenaan dengan siasatan dilakukan beberapa
pegawai Jais.

"Sebagai umat Islam, memang kita tidak gembira, namun saya harap ia
tidak menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini. Ia dilakukan
sekumpulan kecil budak nakal dan ia tidak mencerminkan keadaan sebenar
hubungan kaum dan agama yang sememangnya baik sejak dulu lagi," katanya
ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk
merujuknya kepada pemimpin di kawasan berkenaan bagi memastikan ia
tidak berulang.

"Setakat ini tiada laporan rasmi dibuat mana-mana pihak, namun saya
akan meminta pegawai Jais membuat laporan agar siasatan lebih
terperinci dilakukan," katanya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Dr Julaihi
Bujang, berkata pihaknya sudah memaklumkan kejadian kepada polis dengan
tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan pelajar berkenaan.

...::Dipetik drpd Berita Harian 2 November 2009::.. 
 http://zailina88.blogspot.com



      

Kirim email ke