Dipetik dari:  http://muzir.wordpress.com/2009/11/04/milikilah-sifat-malu/

 
MILIKILAH SIFAT MALU

Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, 
merosotnya akhlaq dan tersebarnya kemaksiatan.  Sebahagian manusia telah hilang 
rasa malunya kepada orang lain.  Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai 
tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.
 
Malu adalah sebahagian daripada iman.  Sifat malu sangat penting untuk dimiliki 
oleh setiap muslim.  Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan 
insan yang sangat pemalu.  Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu 
‘alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam 
pingitannya.
 
Pentingnya memiliki sifat malu.  Kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada 
diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang 
dilarang.  Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat.  
Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya.  Dia akan malu untuk 
cuba-cuba sesuatu yang mungkar.  Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya.  
Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.
 
Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri rodhiyallohu ‘anhu Dia 
berkata: Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan 
para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (HR 
Bukhari)
Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu ‘alaihi 
wasallam ada sebahagiannya telah luput.  Namun, malu adalah antara ajaran yang 
tidak luput hingga sekarang.  Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang 
tinggi di dalam agama.
 
“Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk 
manusia berbuat sesuka hati.  Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang 
tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.  Maksud 
ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada 
diri seseorang.  Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan 
kemaksiatan.
 
Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat 
kepada sahabatnya tentang malu.  Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu 
dalam banyak hal.  Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam 
sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua.  Baginda sallAllahu ‘alaihi 
wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, 
dengan berkata:  “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”
 
Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang 
mafhumnya:
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:  Rasulullah saw. bersabda:  “Iman 
itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” 
(Shahih Muslim No.50)
>Hadis riwayat Imran bin Husaini ra., ia berkata: Nabi saw. pernah bersabda: 
>“Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Shahih Muslim No.53)
Muslimin-muslimat sekalian,
 
Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu 
dari dalam diri.  Anak mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa 
akibat sudah tidak malu.  Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila 
sudah hilang malu.  Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat hilang 
malu.  Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana hilangnya malu.  Si 
gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila malu mula luntur.  
Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana hilang malu.  Orang ramai 
mula meminta jawatan kerana tiada malu.  Masyarakat mula dihinggapi perasaan 
ingin popular seperti artis apabila malu mula hilang dari diri mereka.  VIP 
mula bersuara untuk mempertahankan jawatan kerana ghaibnya malu.  Pemerintah 
mula melakukan kezaliman juga akibat dari hilangnya rasa malu.  Dan macam-macam 
lagi.
 
Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, 
maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela.  Sebab itu 
sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara.  Jangan terpengaruh 
dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu.  
“Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat.  
Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun 
ia perlu diperhalusi.  Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang 
diajar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.
 
Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab 
menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong 
malu.  Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam 
tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.  
Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu.  Sifat ini wajar kita contohi. 
 
Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat 
jalan”.  Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan 
kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu.  Letaklah rasa 
malu di tempat yang sepatutnya.  Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab 
ilmu dan menyatakan kebenaran jangan pula malu menghalangi diri kita.  Malu 
akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas.
 
Mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata’ala memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada 
kita semua, amin.
 
SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR
Takaful IKHLAS - Financial Advisor
h/p  :  019-3826408
email:  [email protected]


      

Kirim email ke