20 pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu
Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Nov 06, 09 | 9:45:51 am MYT
Analisis:
Sejak 52 tahun lalu, negara ini hanya diperintah oleh Umno/BN/Perikatan, selain
itu tiada parti lain yang berjaya menjadi pemerintah di negara yang majoriti
penduduknya Melayu.
�
�
�
�
�
Adapun parti yang memerintah negeri-negeri seperti Kelantan (PAS- kini),
Terengganu (PAS 1999-2004); Perak (Pakatan Rakyat,DAP-PAS-KeADILan sejak Mac
2008-Februari 2009); Selangor Mac 2008-kini), Kedah (Mac 2008-kini) dan Pulau
Pinang (Mac 2008-kini), semuanya dianak-tirikan dari menerima bantuan
pembangunan oleh kerajaan pusat.
Sejak itu juga, Umno/BN menggunakan 'kesempatan' dengan agensi kerajaan, media
dan kuasa untuk mencengkam jiwa-jiwa orang melayu dan kaum-kaum lain bagi
mengekalkan kuasa mereka.
Malah dengan akta-akta seperti Ordinan Darurat, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Umno/BN berjaya 'menutup' mulut-mulut
rakyat, dan setiap kali getir melanda periuk nasi Umno/BN, pastinya akta-akta
ini digunakan bagi emnakut-nakutkan rakyat.
Dalam masa yang sama, bak kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi
Awang dalam satu pertemuan dengan kakitangan Harakah pada 28 Oktober lalu di
Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, Umno/BN memperbodohkan rakyat dengan
akhbar-akhbar mereka hingga rakyat menjadi 'pak turut'.
Berita-berita yang dimuatkan dalam media milik Umno/BN hanya memaparkan
pandangan sebelah pihak, selebihnya menghentam dan memfitnah pembangkang.
Sejarah pastinya tidak akan melupai akan Umno/BN lah yang mengurangkan kuasa
Raja-raha Melayu, yang menderhaka kepada Sultan apabila di Terengganu, selepas
pilihan raya umum 2008, Umno/BN tidak bersetuju dengan perkenan Sultan
Terengganu melantik Dato' Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar menggantikan
Dato' Seri Idris Jusoh.
Mereka (Umno/BN) turun ke jalan-jalan raya bagi membantah tindakan Sultan
hinggakan slogan 'natang' ditujukan kepada Sultan dan Istana.Penderhakaan ini
tidakpun diambil tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa hingga kini.
Sementara AJK PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar pada satu majlis di Gombak
satu ketika lalu pernah mengingatkan bahawa rakyat tidak akan lupa, Umno telah
melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap orang-orang Melayu semenjak
pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohammad sehingga sekarang di bawah Dato' Seri
Najib Tun Abdul Razak.
Ujarnya pada zaman Dr Mahathir, beliau telah menghapuskan imuniti raja-raja
Melayu. sedangkan Institusi Raja Melayu adalah simbol ketuanan orang Melayu.
Seterusnya, pengkhianatan Umno yang kedua, dengan merosakkan sistem kehakiman
negara yang juga dilakukan bermula pada zaman pemerintahan Dr Mahathir
hinggalah hari ini apabila sistem kehakiman semakin dibobrokkan.
Bekas Perdana Menteri (Dr Mahathir) itu juga, telah campur tangan di dalam
sistem kehakiman negara, yang menjadi simbol kedaulatan undang-undang negara
dan krisis ini membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.
Kemudian, selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan Terengganu jatuh ke
tangan PAS, kerajaan Umno menarik balik royalti minyak di sana.
Walhal, majoriti besar rakyat negeri Terengganu adalah daripada orang-orang
Melayu dan Umno sanggup berbuat demikian demi membalas dendam akibat kalah
teruk dalam pilihan raya berkenaan.
Pada zaman Dr Mahathir juga, Umno/BN memperkenalkan dasar Pembelajaran dan
Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang secara terang
melanggar Perlembagaan Malaysia.Hak tunggal bahasa Melayu ini dicabuli dan
pemimpin Umno/BN mempertahankannya.
Akibatnya, dasar yang digubal dan dilaksanakan itu akhirnya melemahkan
pencapaian anak-anak Melayu dalam subjek Sains dan Matematik, selain keciciran
Melayu di kawasan pedalaman.
Rakyat pastinya tidak akan lupa dengan tindakan Umno/BN menarik semula geran
peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menjadi tempat belajar
anak-anak orang Melayu.Umno/BN melaungkan bahawa SAR tempat melahirkan
pengganas, dan ia adalah menurut kajian orang kanan Najib, Abdul Razak Baginda
yang pernah dikaitkan dengan dakwaan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuyaa
Shaariibuu.
Berikut adalah antara senarai pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu:
1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu.
2. Melemahkan sistem kehakiman negara.
3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti orang
Melayu.
4. Memperkenalkan PPSMI; menghapuskan bahasa Melayu.
5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama
anak-anak Melayu.
6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.
7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu.
8. Persempadanan semula pilihan raya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti
orang Melayu.
9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.
10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Melayu.
11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh
Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu
boleh memiliki saham TH Plantation.
12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby,
Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu
daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.
13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Dato' Harussani Zakarian 250 ribu orang
Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.
14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang
Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.
15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang
menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.
16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan
usahawan-usahawan Melayu.
17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar
Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.
18. Mendedahkan pelaburan wang Tabung Haji satu ketika lalu dalam dengan
syarikat Judi Pan Sweep, seperti yang didedahkan dalam buku Exco Kerajaan
Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.
19. Enggan membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sejak tahun 2004.
20. Mengkhianati amanah rakyat dengan merampas kerajaan negeri Perak dari
tangan Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak bermoral pada Februari 2009.
Selain itu, Kerajaan Umno/BN juga mengadakan hubungan erat dengan Israel sebuah
negara Yahudi yang ganas walaupun dasar negara tidak mengiktiaf negara yahudi
itu.Talam dua muka yang mengkhianati sokongan bangsa sendiri yang menentang
keganasan Zionis terhadap rakyat Palestin.
Umno/BN juga hanya memberi kontrak yang diperuntukkan untuk bumiputera kepada
kroni iaitu Umnoputra yang rapat dengan pemimpin pemerintah yang kemudianya
menjual projek kepada tauke tauke kaya dengan keuntungan berjuta ringgit tanpa
membuat sebarang kerja.
Sementara tauke ini akan membuat projek berkenaan dengan baki modal yang kurang
dari yang diperuntukkan. Maka jadilah lebuhraya retak, bangunan bocor,
projek-projek tidak siap seperti PKFZ dab landasan berkembar Ipoh Rawang yang
rugi sekitar RM1.14 billion, masjid runtuh, jambatan runtuh dan stadium di
Terengganu yang runtuh.