assalamualaikum w.b.t.
Hati cermin nilai peribadi, jati diri
Penulis asal: Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Marilah kita sama sama memahami article dibawah untuk kita jadikan panduan.
SIFAT MAHMUDAH: Amalan membaca al-Quran perlu disemat dalam jiwa anak agar
menjadi generasi beriman.
Taraf manusia bukan diukur daripada paras rupa, kekayaan, nasab keturunan
MANUSIA adalah makhluk ciptaan Allah terbaik dan paling sempurna kejadiannya
berbanding makhluk lain yang menghuni alam ini. Dalam hal ini, Allah
mengiktiraf kesempurnaan penciptaan manusia berdasarkan firman-Nya dalam surah
al-Tin, ayat 4 bermaksud:
Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan
berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
Manusia diciptakan daripada beberapa elemen utama hingga mewujudkan identitinya
sebagai manusia iaitu jasad, akal, roh, nafsu dan hati. Namun, daripada semua
elemen menghiasi seseorang manusia itu, ada satu unsur paling penting dalam
ajaran Islam yang diambil kira daripada keseluruhan amalan keagamaan adalah
intinya, bukannya kulitnya, bentuk dalamannya bukannya bentuk luarannya dan
hatinya bukannya jasadnya atau lisannya.
Oleh itu, Rasulullah bersabda bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak
kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada
hati kamu. Maka, sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat
mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling
dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu. (Hadis
riwayat Muslim dan Tabrani).
Hati manusia juga bertindak sebagai raja bagi keseluruhan anggota tubuh badan
yang lain. Dengan kata lain, baik dan buruk, sejahtera atau sengsara, sihat
atau sakit dan sebagainya amat bergantung kepada kedudukan hatinya.. Sekiranya
baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah
sebaliknya. Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda bermaksud:
Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka
baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh
jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati. (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)
Hati memainkan peranan penting dalam mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau
kehinaan peribadi serta jati diri seseorang sama ada sebagai seorang yang salih
mahu pun sebagai seorang yang toleh. Malahan, hati juga dianggap agen penentu
kepada hidup dan matinya jasad manusia. Tidak berfungsinya anggota tubuh badan
manusia secara keseluruhannya adalah kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam
hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam
ketika yang lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq dan sifat
mazmumah.
Yang paling menarik, dalam helaian al-Quran perkataan hati biasa disebut
sebagai al-qalb yang membawa maksud sesuatu yang tidak tetap, berubah-ubah dan
berdolak-dalik. Bertepatan dengan konotasi al-qalb, maka hati begitu mudah
berubah-ubah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain. Di dalam hati ada dua
unsur kekuatan yang sentiasa berlawanan antara satu sama lain iaitu antara iman
dengan kufur, kebaikan dan keburukan, taat dan ingkar, hak dan batil dan
sebagainya.
Apabila ditinjau dalam al-Quran, ada banyak rangkaian ayat membicarakan
mengenai hal hati terutama hati yang bersih lagi suci daripada sebarang karat
dosa dan maksiat. Hati yang bersih lagi suci itu ialah hati yang diterangi
dengan cahaya Ilahi dan tidak terselit sedikit pun perasaan keraguan dan
kesyirikan dalam hatinya. Seterusnya, hati yang bersih menyakini bahawa segala
apa yang wujud di alam semesta ini dicipta Allah yang Maha Berkuasa, sekali gus
bertindak sebagai pentadbir mutlak ke atas sekalian alam ini.
Hati yang bersih juga adalah hati yang terhindar daripada sebarang penyakit
hati seperti dendam kesumat, dengki, fitnah dan lain-lain lagi sifat yang
tercela. Hati yang bersih adalah dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan
takwa. Di dalamnya, sarat dengan gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan
ketundukan yang kudus kepada Allah. Justeru, hati ialah tempat bertapaknya
nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah,
pemaaf dan lain-lain lagi sifat mahmudah.
Rasulullah amat menggalakkan umatnya memiliki hati yang bersih ini hingga
dianggap sebagai seorang manusia terbaik. Dalam hal ini, Baginda pernah ditanya
oleh seorang sahabat:
Siapakah manusia yang terbaik. Baginda menjawab: Orang mukmin yang bersih
hatinya. Kemudian baginda ditanya lagi: Siapakah orang mukmin yang hatinya
bersih? Lantas Nabi pun menjawab: Iaitu orang yang bertakwa, hatinya bersih,
tidak melakukan kedurhakaan dan pergkhianatan terhadap Allah, tidak berdendam
dan mendengki kepada orang lain. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Perlu ditegaskan Allah akan memberikan ganjaran kepada setiap hamba-Nya yang
berniat melakukan sesuatu kebajikan, tetapi Allah tidak pula mencatatkan
keburukan ataupun dosa kepada seorang yang hanya berniat di hatinya untuk
melakukan kejahatan dan kejahatan tidak pula dilakukannya di dalam alam
realiti. Demikianlah betapa Allah bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
terhadap hamba-Nya.
Selanjutnya, Allah hanya akan menilai apa diperbuat dan dilakukannya sebagai
balasan dan bekalan pada hari kemudian kelak. Sehubungan itu, orang tidak akan
menilai lagi apa terpendam dalam hati seseorang, sebaliknya apa dizahirkan dan
dilahirkan melalui anggota tubuh badan seseorang adalah cerminan apa yang
tersemat dalam hati itulah yang akan menjadi neraca penilaian.. Oleh itu,
amalan tidak beretika dan bermoral yang semakin berleluasa di dalam masyarakat
kita itu adalah isyarat hati seseorang kotor, hati ketandusan nilai kerohanian
yang luhur dan jauh daripada prinsip ajaran Islam yang sebenarnya.
Pernah berlaku peristiwa seperti diriwayatkan Sahl bin Sa'ad berkata: Ada
seorang lelaki yang lalu melewati hadapan Rasulullah, lalu Baginda bertanya
kepada sahabat yang duduk di sebelah Baginda: Apakah pendapatmu mengenai orang
ini? Maka sahabat itu pun berkata: Dia adalah seorang lelaki daripada kalangan
terhormat. Demi Allah! Orang ini sangat layak dinikahi jika dia datang melamar,
diberi syafaat jika dia meminta syafaat. Rasulullah pun diam seketika.
Kemudian, datang pula seorang lelaki melewati hadapan Baginda. Baginda kembali
bertanya: Apakah pendapatmu mengenai orang ini pula? Lantas sahabat itu pun
berkata: Wahai Rasulullah! Dia ini adalah daripada kalangan orang fakir miskin.
Dia ini sememangnya layak ditolak jika datang melamar, tidak layak diberi
syafaat jika dia meminta dan juga tidak layak diberi perhatian jika dia
berbicara. Maka Rasulullah bersabda bermaksud: Orang ini (yang kedua) jauh
lebih baik daripada orang yang pertama tadi.
Jelas kisah dipaparkan itu bahawa nilai dan taraf seseorang manusia bukannya
diukur daripada kebesaran rupa lahiriahnya, bukannya daripada kekayaannya,
bukan daripada kemuliaan nasab keturunannya, bukan dari ketrampilannya yang
menarik dan bukan pula daripada kemasyhuran atau ketinggian pangkatnya.
Sebaliknya, neraca piawaian yang sebenarnya di sisi Allah ialah sepohon iman
yang bertapak kukuh di dasar hatinya, buah amal yang dihasilkan pepohon iman
dibajai dengan keikhlasan, ketakwaan dan ketundukan yang penuh tulus ke hadrat
Allah.
" wahai tuhan ku, aku tak layak kesyurgamu ...namun tak pula aku sanggup
keNerakamu.. .......,kami lah hamba yang mengharap belas darimu ........Ya
Allah jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa.... ..ampunkan dosa2 kami, kedua
ibubapa kami, dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah
meninggal dunia.
__________________________________________________________________________________________
Surf faster. Internet Explorer 8 optmized for Yahoo! auto launches 2 of your
favorite pages everytime you open your browser. Get IE8 here!
http://downloads.yahoo.com/my/internetexplorer/