Berzikir Dengan Suara Perlahan Atau Kuat:
Kita Lihat Pendapat Mazhab Syafi'e

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Masyarakat awam Malaysia secara umumnya sudah terbiasa untuk berzikir di setiap 
kali selesai solat (setelah salam) dengan cara berjama'ah dan suara yang kuat 
(dinyaringkan atau dilagukan (koir)).

Di antara dalil yang mereka gunakan adalah hadis dari Ibnu 'Abbas radhiyallahu 
'anhu sebagaimana berikut:


أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ 
الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ 
وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا 
سَمِعْتُهُ


Terjemahan: Bahawasanya mengeraskan suara di ketika berzikir setelah para 
jama'ah mendirikan solat fardhu, adalah biasa dilakukan pada zaman Nabi 
Shallallahu 'alaihi wa Sallam. (Berkata Ibnu 'Abbas):

Dahulu aku mengetahui bahawa berakhir solat (selesai solat) itu adalah apabila 
telah mendengar suara zikir. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shohih al-Bukhari, 
Kitab al-Azan, 3/345, no. 796. Muslim, 3/239, no. 919)

Disebabkan masyarakat kita secara umumnya telah sepakat bahawa kita di Malaysia 
mengamalkan Mazhab Syafi'e, di sini saya mengambil keputusan untuk 
mengetengahkan perkataan ulama Syafi'iyah sendiri dalam memahami hadis tersebut.

Imam asy-Syafi'e sendiri telah menjelaskan berkenaan hadis ini sebagaimana yang 
disebutkan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah:


وحمل الشافعي رحمه الله تعالى هذا الحديث على أنه جهر وقتا يسيرا حتى يعلمهم صفة 
الذكر لا أنهم جهروا دائما قال فاختار للإمام والمأموم أن يذكر الله تعالى بعد 
الفراغ من الصلاة ويخفيان ذلك الا أن يكون اماما يريد أن يتعلم منه فيجهر حتى يعلم 
أنه قد تعلم منه ثم يسر وحمل الحديث على هذا


Terjemahan: asy-Syafi'e rahimahullahu Ta'ala menjelaskan berkenaan hadis ini, 
bahawasanya (Nabi) mengeraskan suara di dalam beberapa tempoh waktu sahaja, ia 
adalah bertujuan untuk mengajar para sahabatnya berkenaan cara-cara berzikir, 
bukan bererti mereka (Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam dan sahabatnya) 
sentiasa mengeraskan suaranya. Beliau (asy-Syafi'e) berkata:

Aku berpendapat bahawa seseorang imam dan makmum hendaklah mereka berzikir 
kepada Allah, sebaik selesai menunaikan solatnya, dan hendaklah mereka 
merendahkan suara zikirnya, kecuali bagi seseorang imam yang mahu supaya para 
makmumnya belajar (berkenaan zikir) darinya, maka dia boleh mengeraskan 
zikirnya, sehingga apabila dia merasa (mengetahui) bahawa mereka telah memahami 
(belajar), maka hendaklah ia kembali merendahkan (memperlahankan) suaranya 
ketika berzikir. (Rujuk: Imam an-Nawawi, Syarah an-Nawawi 'ala Muslim, 5/84)

Imam an-Nawawi rahimahullah sendiri pula turut berkata:


يندب الذكر والدعاء عقب كل صلاة ويسر به. فإن كان إماما يريد تعليمهم جهر. فإذا 
تعلموا أسر


Terjemahan: Disunnahkan untuk berzikir dan berdoa di setiap kali selesai solat 
(fardhu) dan hendaklah ia merendahkan suaranya. Apabila seseorang imam dan 
hendak mengajarkan makmumnya (tentang bacaan zikir), maka ia boleh untuk 
mengeraskan suaranya, kemudian apabila mereka telah mengetahui, ia kembali 
merendahkan (suara zikirnya). (Imam an-Nawawi, at-Tahqiq fil Fiqh asy-Syafi'e, 
m/s. 219. Dinukil dari Muhammad Ariffin Badri, Zikir 'Ala Tasawuf, m/s. 
152-154. Rujuk juga: Edisi e-Book (manuskrip))

Imam Yahya B. Abil Khoir al-'Imrani (bermazhab Syafi'e), setelah menyebutkan 
beberapa riwayat berkenaan zikir-zikir Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa 
Sallam, beliau memberikan kesimpulan:


فتحمل رواية من روى أنه دعا وجهر. على أنه أراد بذلك ليتعلم الناس. وتهمل رواية من 
روى أنه مكث قليلا ثم انصرف على أنه دعا سرا بحيث يسمع نفسه


Terjemahan: Riwayat perawi yang meriwayatkan bahawa beliau (Shallallahu 'alaihi 
wa Sallam) berdoa (berzikir) dan mengeraskan suaranya, ditafsirkan bahawa 
beliau (Shallallahu 'alaihi wa Sallam) melakukan perkara tersebut supaya para 
sahabatnya dapat belajar dari beliau (Shallallahu 'alaihi wa Sallam). Dan 
riwayat perawi yang menyebutkan bahawa beliau Shallallahu 'alaihi wa Sallam 
diam sejenak (setelah selesai solat) kemudian bangun dan pergi, difahami bahawa 
beliau berdoa dengan merendahkan suaranya, sehingga beliau hanya 
memperdengarkan untuk dirinya sahaja. (Yahya B. Abil Khoir, al-Bayan, 2/250. 
Dinukil dari: Muhammad Ariffin Badri, Zikir 'Ala Tasawuf, m/s. 133)

Berkenaan hadis tersebut juga, Syaikh 'Abdullah B. 'Abdurrahman al-Bassam di 
dalam Syarahnya ke atas 'Umdatul Ahkam berkata:

Di sini sebenarnya harus difahami bahawa Ibnu 'Abbas masih kecil dan dia tidak 
turut serta dalam solat berjama'ah. Dia mendengar suara tahlil dari luar 
masjid. Dapat juga diertikan bahawa beliau menyertai solat berjama'ah, tetapi 
beliau di shaf yang jauh sehingga tidak ada orang yang menyambung suara 
kepadanya, menjadikan beliau tidak mengetahui telah berakhirnya solat 
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam melainkan dengan mendengar suara 
tahlil dari saf-saf yang awal. ('Abdullah B. 'Abdurrahman al-Bassam, Syarah 
Hadis Pilihan Bukhari Muslim, m/s. 266. Edisi Terbitan/terjemahan Darul Falah)

Alasan yang sama turut dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqolani yang 
bermazhab Syafi'e:


فقال عياض الظاهر أنه لم يكن يحضر الجماعة لأنه كان صغيرا ممن لا يواظب على ذلك 
ولا يلزم به فكان يعرف انقضاء الصلاة بما ذكر وقال غيره يحتمل أن يكون حاضرا في 
أواخر الصفوف فكان لا يعرف انقضاءها بالتسليم وإنما كان يعرفه بالتكبير وقال بن 
دقيق العيد يؤخذ منه أنه لم يكن هناك مبلغ جهير الصوت يسمع من بعد


Terjemahan: Berkata 'Iyadh (al-Qadhi 'Iyadh), bahawa Ibnu 'Abbas tidak hadir 
menyertai solat jama'ah tersebut kerana usianya yang masih kecil, ia tidak 
termasuk di antara orang-orang yang terus-menerus menghadiri jama'ah, maka 
beliau mengetahui habisnya solat berdasarkan keadaan tersebut. Ulama selainnya 
mengatakan, kemungkinan Ibnu 'Abbas hadir di akhir Saf, maka beliau tidak 
mengetahui selesainya solat berdasarkan salam, akan tetapi beliau mengetahuinya 
dengan takbir. Ibnu Daqiq al-'Ied berpendapat, dari sini dapat dibuat 
kesimpulan bahawa di ketika itu tidak ada orang yang menyampaikan takbir imam 
(muballigh) supaya didengar oleh orang-orang yang berada di akhir saf. (Rujuk: 
al-Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 2/326)

Demikianlah penjelasan berkenaan hadis Ibnu 'Abbas di atas berdasarkan para 
ulama dari kalangan mazhab Syafi'e.

Kemudiannya, kaedah di dalam persoalan ini sebenarnya dapat dilihat secara umum 
dan khusus:

1 – Secara umumnya, adab dalam berzikir itu adalah dengan suara yang perlahan 
dan bukan dikeraskan.

Ini dijelaskan melalui dalil berikut yang bersifat umum:


وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا


Terjemahan: Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah 
pula merendahkannya. (Surah al-Israa', 17: 110)

Imam asy-Syafi'e rahimahullah berkata tentang ayat ini:

Maksud kata الصلاة (ash-Sholah) wallahu Ta'ala a'lam adalah doa. لا تَجْهَرْ 
(Laa Tajhar): Janganlah engkau mengangkat suaramu, وَلا تُخَافِتْ (wa laa 
tukhofit): Janganlah engkau rendahkan sehingga engkau sendiri tidak 
mendengarnya. (Rujuk: Imam asy-Syafi'e, al-Umm, 1/127)

Juga firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ 
الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ


Terjemahan: Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri 
dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, 
dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. (Surah al-A'raaf, 7: 205)

Ini dijelaskan lagi dengan larangan daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa 
Sallam berdasarkan kepada riwayat berikut:

Dari sebuah hadis dari Abu Musa al-'Asy'ari, beliau menceritakan:


رفع الناس أصواتهم بالدعاء في بعض الأسفار، فقال لهم النبي صلى الله عليه وسلم: 
"أيها الناس، أربعوا على أنفسكم، فإنكم لا تدعون أصمَّ ولا غائبًا؛ إن الذي تدعونه 
سميع قريب


Terjemahan: Ketika itu, orang ramai mengeraskan (memperkuatkan) suaranya di 
dalam berdoa di ketika melakukan safar (perjalanan), maka Nabi Shallallahu 
'alaihi wa Sallam pun berkata (membantah perbuatan mereka yang mengeraskan 
suara dalam berdoa):

Wahai manusia, kasihanilah diri kamu. Kerana kamu sebenarnya tidak menyeru 
kepada yang tuli (pekak) dan yang jauh, sesungguhnya Dzat yang kamu seru adalah 
Maha Mendengar lagi sangat dekat. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir 
al-Qur'anil Adzim, 3/539)

Dalam riwayat yang lain, dari Abu Musa al-'Asya'ari:


كنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في غَزَاة فجعلنا لا نصعد شَرَفًا، ولا نعلو 
شَرَفًا، ولا نهبط واديًا إلا رفعنا أصواتنا بالتكبير. قال: فدنا منا فقال: "يا 
أيها الناس، أرْبعُوا على أنفسكم؛ فإنَّكم لا تدعون أصمّ ولا غائبًا، إنما تدعون 
سميعًا بصيرًا، إن الذي تدعون أقربُ إلى أحدكم من عُنُق راحلته. يا عبد الله بن 
قيس، ألا أعلمك كلمة من كنوز الجنة؟ لا حول ولا قوة إلا بالله"


Terjemahan: Ketika kami bersama Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam di 
dalam sebuah peperangan, tidaklah kami mendaki tanah tinggi, memanjat bukit, 
dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir. 
Kemudian beliau pun mendekati kami lalu bersabda:

Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa 
kepada Tuhan yang Maha mendengar dan Maha melihat. Sesungguhnya Tuhan yang kamu 
seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kamu daripada leher binatang 
tunggangannya. Wahai 'Abdullah B. Qais, mahukah engkau aku ajarkan sebuah 
kalimah yang termasuk perbendaharaan Syurga? Iaitu ucapan "La haula walaa 
quwwata illaa billah" (Tidak ada daya dan kekuatan melainkan hanya dengan 
pertolongan Allah). (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, no. 19599. Tahqiq 
Syaikh Syu'aib al-Arnauth: Isnadnya sahih berdasarkan syarat dua kitab sahih 
(Bukhari dan Muslim))

Maka, secara umumnya, adab dalam berzikir itu adalah dengan suara yang perlahan 
dan bukan dikuatkan. Cukup dengan sekadar diri sendiri yang mendengarnya.

2 – Zikir boleh dikuatkan (diperdengarkan suara bacaannya kepada yang lain) 
dengan beberapa sebab yang mengkhususkannya. Ini dapat dilihat melalui beberapa 
dalil sebagaimana salah satunya dari Ibnu 'Abbas di atas, yang dijelaskan oleh 
para ulama sebagai bertujuan untuk mengajar.

Ini dapat kita fahami bahawa, dalam soal mahu mengajar sudah tentu zikir perlu 
diperdengarkan demi untuk memberi tahu kepada para pelajarnya. Namun, dalam 
praktik untuk ibadah, hendaklah kita mematuhi dengan baik adab-adabnya setelah 
mengetahui dari apa yang telah dipelajarinya. Demikianlah sebahagian adab dalam 
berzikir yang merupakan salah satu bentuk ibadah yang mulia dengan tatacaranya, 
yang bukan untuk dilaksanakan mengikut hawa nafsu.

Prinsip dalam berzikir ini diperkuatkan lagi dengan beberapa penjelasan ulama 
yang lainnya, antaranya adalah al-Hafiz Ibnu Katsir yang bermazhab Syafi'e, 
katanya:


أي: اذكر ربك في نفسك رهبة ورغبة، وبالقول لا جهرًا؛ ولهذا قال: { وَدُونَ 
الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ } وهكذا يستحب أن يكون الذكر لا يكون نداء ولا جهرًا 
بليغًا؛ ولهذا لما سألوا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقالوا: أقريب ربنا فنناجيه 
أم بعيد فنناديه؟ فأنزل الله: { وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي 
قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ }


Terjemahan: Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rasa penuh harap dan 
takut, dan dengan suaramu (lisanmu) tanpa mengeraskannya, dengan sebab itulah 
Allah berfirman: Dan dengan tidak mengeraskan suara. Dan demikianlah yang 
disunnahkan, hendaklah zikir itu dengan suara yang tidak sampai seperti suara 
orang memanggil, dan (bukan dengan) suara yang keras, oleh sebab itu juga di 
ketika para sahabat bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam:

Adakah Tuhan kita itu dekat, sehingga kita bermunajat (berdoa dengan 
berbisik-bisik) kepada-Nya ataukah jauh sehingga kita memanggilnya?

Maka Allah pun menurunkan firman-Nya:


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ 
إِذَا دَعَانِ


Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku 
adalah dekat, Aku memperkenankan permohonan orang yang memohon bila ia memohon 
pada-Ku. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur'anil Adzim, 3/538)

Sekali lagi dipetik perkataan Imam an-Nawawi dari sumber yang lain dalam 
syarahnya ke atas hadis Abu Musa al-'Asy'ari, beliau berkata:


ارفقوا بأنفسكم واخفضوا أصواتكم فان رفع الصوت انما يفعله الانسان لبعد من يخاطبه 
ليسمعه وأنتم تدعون الله تعالى وليس هو بأصم ولاغائب بل هو سميع قريب وهو معكم 
بالعلم والاحاطه ففيه الندب إلى خفض الصوت بالذكر اذا لم تدع حاجة إلى رفعه فانه 
إذا خفضه كان أبلغ فى توقيره وتعظيمه فان دعت حاجةالى الرفع رفع كما جاءت به أحاديث


Terjemahan: Kasihanilah dirimu, dan rendahkanlah suaramu, kerana mengeraskan 
suara, biasanya dilakukan seseorang, kerana orang yang diajak berbicara berada 
di tempat yang jauh, agar ia mendengar suaranya (apa yang hendak disampaikan). 
Sedangkan kamu sedang menyeru Allah Ta’ala, dan Dia tidaklah tuli dan tidak 
juga jauh, akan tetapi Dia Maha Mendengar dan Maha Dekat dan bersama kamu 
dengan ilmunya sehingga dalam hadis ini mengandungi anjuran supaya merendahkan 
suara zikir, selagi mana tidak ada keperluan untuk mengeraskannya, kerana 
dengan merendahkan suara itu lebih menunjukkan tanda penghormatan dan 
pengagungan. Dan bila ada keperluan untuk mengeraskan suara, maka boleh untuk 
dikeraskan, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis. (Rujuk: Imam 
an-Nawawi, Syarah an-Nawawi 'Ala Muslim, 17/26)

Dari penjelasan Imam an-Nawawi ini kita dapat melihat bahawa secara asasnya 
setiap orang yang berzikir itu hendaklah dengan merendahkan suaranya, melainkan 
apabila ada alasan untuk mengeraskannya, sebagai contoh misalnya apabila 
seseorang imam atau guru (cikgu) yang hendak memberi tunjuk-ajar dan membimbing 
makmumnya (atau orang-orang tertentu dari para pelajar) memahami wirid-wirid 
atau zikir-zikir yang dahulu diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Sallam, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam asy-Syafi’e rahimahullah.

Perkara ini dikuatkan dengan dalil sebuah riwayat sebagaimana yang dilakukan 
oleh Ibnu Abbas radiallahu 'anhu ketika beliau menjadi imam di dalam solat 
jenazah di saat dia hendak mengajarkan kepada makmumnya bahawa disunnahkan 
membaca al-fatihah dalam solat jenazah:


عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ صَلَّيْتُ خَلْفَ ابْنِ 
عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَلَى جَنَازَةٍ فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ 
الْكِتَابِ قَالَ لِيَعْلَمُوا أَنَّهَا سُنَّةٌ


Terjemahan: Dari Thalhah bin ‘Abdillah bin ‘Auf, beliau berkata: Aku pernah 
mensolatkan jenazah dengan berimamkan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, maka 
beliau membaca surat al-Fatihah (dengan suara keras), kemudian beliau berkata: 
Supaya mereka mengetahui bahawa ini (membaca al-fatihah dalam solat jenazah) 
adalah sunnah.” (Riwayat Bukhori, 1/448, hadis no: 1270)

Berdasarkan sedikit kupasan di atas ini, alhamdulillah dapat dibuat kesimpulan 
dengan beberapa point bahawa:

1 – Mazhab asy-Syafi'e menyatakan bahawa amalan berzikir di setiap kali setelah 
selesai solat fardhu adalah sunnah (dianjurkan).

2 – Cara berzikir selepas solat adalah dilaksanakan dengan secara individu.

3 – Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan, cukup sekadar 
diri sendiri yang mendengarnya.

4 – Boleh dikeraskan bacaan sekiranya bertujuan untuk mengajar dan memberi 
bimbingan kepada orang lain yang mahu memperlajarinya.

Untuk melihat contoh-contoh zikir yang disunnahkan untuk diamalkan apabila 
telah selesai solat fardhu (sebaik selepas salam), bolehlah melihat artikel 
saya yang lalu bertajuk: No. 98 – Zikir-zikir Selepas Solat Fardhu Yang Tsabit 
Dari Sunnah.



@Brother Nawawi
+60126887715 
YM: [email protected] 
MSN: [email protected] 
http://an-nawawi.blogspot.com 
http://galeriniaga.blogspot.com
 

                                          
_________________________________________________________________
Hotmail: Trusted email with Microsoft's powerful SPAM protection.
http://clk.atdmt.com/GBL/go/177141664/direct/01/
http://clk.atdmt.com/GBL/go/177141664/direct/01/

Kirim email ke