http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23470:-qumno-kini-busuk-hingga-ke-ususnyaq-mahathir&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=125
�
"Umno kini busuk hingga ke ususnya" - Mahathir PDF� |�Print�| �E-mail
Harakahdaily ��
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS,
Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan Umno
bercadang untuk menyokong PAS kerana "Umno busuk hingga ke ususnya."
"Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi," kata
bekas pemimpin kanan Umno itu kepada Mahathir sebagaimana yang ditulis beliau
dalam blognya.
"Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat
sesuatu kerana menyokong Umno. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak
boleh diberi kepercayaan.
" Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab Umno tidak lagi akan diberi
peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai
lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah
menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli Umno juga," tulis Mahathir
lagi.
Berikut adalah tulisan penuh Mahathir dalam blognya Chedet yang disiarkan pada
30 November 2009 jam 12:07 tengahari.
1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi
rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana
seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan
berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).
2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau
juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah
bersara dan mereka speendapat dengannya.
3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi
katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya
sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi
pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu
dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor
Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.
4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan
sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih
daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti
melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak
mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar
dikawal, bahkan sukar disogok pun.
5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO.
Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam,
jurutera dan lain-lain profesyen.
6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan
beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang
lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana
sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang
berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang
masa.
7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya
mengesahkan keadaan yang sebenar.
8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka
menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah
nasib mereka kepada perasuah.
9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan
lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam
Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat
Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan
menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada
orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO
menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka
menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun)
Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada
UMNO.
10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat
sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak
boleh diberi kepercayaan.
11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi
peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai
lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah
menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.
12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka
tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.
13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat
ini untuk pengetahuan umum sahaja.