Melimpah bukan melimpah banjir, tapi melimpah permintaan ibu bapa nak hantar
anak melimpah.
Itulah dilema ibu bapa sekitar Seremban yang hendak hantar anak mereka ke
Sekolah Menengah Agama samada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama mahu pun
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
Selepas UPSR ibu bapa tercari-cari Sekolah Menengah Agama sekitar Seremban.
Yang ada hanya SHAMS dan SMAP Labu yang memerlukan pelajar cemerlang 5 A. SMAD
Klana minimum 2 A tiada D.
Ramai anak teman-teman saya yang saya kenali anak mereka yang dapat 1 A, 2 A
ada D, mereka tak dapat nak hantar anak ke sekolah agama. Nak hantar sekolah
swasta mereka tak mampu.
Itu pun ada saya jumpa si ayah yang hantar anak ke sekolah rendah agama swasta
kata dia sekeluarga ikat perut nak hantar anak sekolah agama dulu. Itu dulu,
sekarang anak-anaknya ramai yang dah bekerja.
Ada juga Sekolah Menengah Kebangsaan yang ada Aliran Agama. Tapi dengar cerita
dimasukkan pula Sekolah Sukan. Macam rojaklah jadinya sekolah tadi.
Sekolah Agama sebaiknya biarlah suasananya Sekolah Agama.
Nampaknya Sekolah Menengah Agama di Seremban dan Negeri Sembilan ini tidak
berkembang pesat, walaupun pemintaan untuk masuk melimpah ruah. Sehinggakan ada
ibu bapa dari Lembah Kelang yang hantar anak sekolah menengah agama di Seremban.
Sesuatu harus dilakukan. Kalau kerajaan negeri dan kerajaan pusat tak mampu
hendak lakukan , kitalah umat Islam kena bangkit bantu sekolah agama swasta
kerana permintaan terlalu banyak.
Tapi kalau kerajaan negeri dan kerajaan pusat mampu lakukan, lakukanlah.
Antara tindakan kerajaan pusat dan kerajaan negeri boleh lakukan untuk
menampung kekurangan tempat di sekolah menengah agama ialah :
1. Membina Sekolah Menengah Agama yang baru di kawasan yang padat penduduk
Islam seperti di Seremban dan Senawang
2. Menggunakan bangunan milik MAINS, JHEAINS yang sedia ada untuk dijadikan
bangunan sementera Sekolah Menengah Agama, antaranya seperti di Pusat Dakwah
dan beberapa bangunan kedai milik MAINS.
3. Memberi bantuan biasiswa kepada pelajar miskin yang tidak mendapat tempat di
SMKA dan SABK untuk belajar di Sekolah Menengah Agama Swasta atau Maahad Tahfiz
Swasta.
4. Mengutamakan anak Seremban dan anak Negeri Sembilan untuk belajar di SMKA
dan SABK di Seremban.