Peniaga merintih kedai bakal diroboh
Sinar Harian 6 Dis 09

KOTA - Peniaga kecil di sini, mengeluh mengenang nasib kedai yang bakal 
dirobohkan tidak lama lagi atas tujuan pembangunan untuk projek menaik taraf 
jalan.

Difahamkan, sebanyak lapan unit kedai terlibat dan peniaga kedai bukan setahun 
dua berniaga di kawasan itu tetapi kebanyakan sudah mencecah puluhan tahun 
kerana menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan paling utama untuk 
mencari rezeki.

Suhaimi Mustafa, 49, berkata, perniagaan kedai makan dan minum ini diwarisi 
daripada bapanya yang sedang uzur.

Menurutnya, sudah lebih 30 tahun keluarganya mengusahakan kedai ini dengan 
menggunakan modal sendiri untuk membina nya.

Mereka dimaklumkan mengenai projek menaik taraf jalan ini dua tahun lalu, 
namun, dia memohon supaya pihak berkaitan mengubah keputusan tidak merobohkan 
kedainya kerana mendakwa pelan itu tidak mengenai kedainya tetapi hanya 
longkang di depan kedainya sahaja terlibat.

“Saya harap kedai saya dikecualikan daripada projek itu kerana saya tidak 
memiliki pendapatan lain selain berniaga di sini apatah lagi saya perlu 
membesarkan empat anak. Salah seorang daripadanya orang kelainan upaya (OKU) 
dan dua pula meneruskan pelajaran di kolej. Selain itu, saya turut menjaga ayah 
yang sudah uzur,” katanya ketika ditemui di kedainya berhampiran Simpat Empat 
di Kampung Astana Raja.

Menurutnya, masalah ini menyebabkan dia hilang punca mata pencarian ditambah 
pula dia tidak memiliki tapak dan modal untuk membina kedai lain.

“Sepatutnya pihak berkaitan prihatin dengan nasib peniaga kecil seperti kami 
kerana kami tidak memiliki modal dan hanya bergantung harap pada perniagaan 
sedia ada,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6133572.asp
http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2009/12/peniaga-merintih-kedai-bakal-diroboh.html




Kirim email ke