*
Cara bentengi iman daripada godaan Iblis

Ada cara dan doa Rasulullah untuk berlindung daripada syaitan

DALAM Quran, jelas sekali Allah swt mendedahkan bahawa musuh manusia
bukanlah manusia tetapi Iblis yang ingkar akan perintah-Nya untuk sujud
kepada Adam.

Oleh kerana disingkirkan dari syurga, Iblis berjanji untuk membinasakan
Adam dan anak cucunya hingga ke hari akhirat. Allah swt telah
mengizinkannya.

Allah mengingatkan agar kita sentiasa berwaspada daripada pengaruh
syaitan. Ia melihat dan hidup bersama kita tetapi kita tidak dapat
melihatnya. Dia selalu mengacau sekalipun dalam solat. Ia menghiaskan
kita dengan pelbagai maksiat.

Bagaimana kita dapat mengatasi, menolak segala rupa ancaman serta
bisikannya yang mendorong kepada kesesatan?

Pertama, hendaklah kita menganggapnya sebagai musuh utama di dunia ini.
Bahaya syaitan yang paling kita khuatiri ialah bahawa ia mengetahui
kelemahan jiwa manusia.

Ulama telah memberikan pandangannya tentang dunia syaitan. Syaitan
mempunyai zuriat sama seperti manusia sebagaimana yang difirmankan
Allah yang bermaksud:

"Patutkah kamu mengambil ia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin
selain daripadaKu, sedang mereka adalah musuhmu?" -- Al-Kahf: 50.

Jika syaitan itu bukan daripada unsur malaikat tetapi serba sedikit ada
menyerupainya. Tatkala Allah swt memerintah malaikat sujud kepada Nabi
Adam
as, iblis terus menyampuk sambil berkata: "Patutkah aku tunduk dan
sujud kepada makhluk yang dijadikan daripada tanah?'' Apabila iblis
enggan melaksanakan
perintah Allah swt, maka ia terus disingkir daripada rahmat-Nya. Allah
berfirman:

"Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya."
-- Al-Kahf: 50

Iblis bukan sahaja menderhakai Allah swt malah bersumpah dengan
kekuasaan Allah bahawa ia akan tetap menggoda segala makhluk Allah
melainkan hamba-Nya yang ikhlas dan taat. Al-Quran menyebut:

"Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka
semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka
(orang-orang yang telah diberi taufik untuk mentaati segala petunjuk
dan perintah Allah)." -- Shaad: 82,83.

Justeru itu, Allah swt selalu mengingatkan kita akan godaan syaitan.
Setiap insan ada syaitannya yang sering menggoda, menyesat dan
menghiaskan baginya pelbagai maksiat.

Dalam hal ini, para ulama telah mengemukakan beberapa dalil. Antaranya
hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, yang berkata:

"Rasulullah saw telah keluar pada satu malam dari kamarku. Secara
sepontan, aku berasa cemburu padanya. Apabila Rasulullah saw datang
melihat keadaanku, maka Baginda pun bertanya: Apa yang telah terjadi
padamu ya Aisyah? Adakah kamu cemburu padaku? Aku menjawab: Adakah aku
pernah cemburu seperti yang aku hadapi sekarang? Rasulullah saw
berkata: Adakah syaitanmu telah menguasaimu? Aku menjawab: Wahai
Rasulullah! Adakah syaitan bersamaku juga? Jawab Rasulullah: Ya.

"Aku teruskan pertanyaanku. Adakah syaitan juga bersamamu ya
Rasulullah? Baginda menjawab: Ya, Tetapi Tuhanku telah melindungiku
hinggalah aku terselamat daripadanya."

Ada juga sepotong hadis yang maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu masuk
lari ke dalam tubuh anak Adam melalui saluran darahnya."

Syaitan mempunyai pelbagai cara perangkap dan komplot. Syaitan sangat
suka menyesatkan orang-orang yang jahil atau kurang ilmu.

Ia menghiaskan mereka dengan amalan telek-menelek dan kepercayaan karut
sehingga dapat menyakinkan manusia dengan ilmu ghaib.

Ia juga memperdaya orang-orang jahil supaya memberi fatwa tanpa
pegangan ilmu yang sahih dan juga menyebarkan perkara bidaah serta
memesongkan manusia dengan ajaran-ajaran sesat yang bertentangan dengan
Islam.

Kita dapat mempertahankan hasutan dan tipu-daya syaitan dengan memohon
perlindungan daripada Allah. Allah swt menyifatkan orang-orang yang
bertakwa sahajalah yang dapat menentang ancaman syaitan daripada
menembusi hatinya seperti firman-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa wasangka
daripada syaitan mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka
melihat kesalahan-kesalahan mereka." -- Al-A'raaf: 201.

Tipu-daya syaitan itu lemah jika dinisbahkan dengan seorang Mukmin yang
teguh imannya.

Apabila syaitan mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, dirinya
menjadi kecil seperti ukuran lalat dan apabila mendengar seruan azan
pula, ia lari lintang-pukang dek ketakutan. Allah swt telah mengajar
kita bagaimana kita dapat menolak syaitan sehingga ia mengundurkan
dirinya. Allah berfirman:

"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah
kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
--
Al-A'raaf: 200.

Rasulullah saw juga telah mewasiatkan umatnya supaya membaca ayat
al-Kursi sebelum tidur, seperti sabdanya yang bermaksud:

"Apabila salah seorang daripada kamu hendak tidur, maka bacalah ayat
al-Kursi. Sesungguhnya dia sentiasa dalam jagaan Allah dan syaitan
tidak akan mengganggunya sehinggalah waktu fajar."

Terdapat juga doa-doa menentang godaan syaitan iaitu seperti doa
Rasulullah yang berbunyi: "Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah
yang sempurna daripada kemarahan-Nya, seksaanNya, kejahatan hamba-Nya
dan juga daripada bisikan-bisikan syaitan."

Oleh MOHD YUSOP HASSIM Penulis khas

--
Posted By Lenggang Kangkung to TAZKIRAH at 12/07/2009 08:20:00 AM

Kirim email ke