Utusan Online - 15DIS09 - BICARA AGAMA
Assabiah melulu membawa kezaliman
MEGA: Apakah yang dimaksudkan dengan assabiah yang merupakan satu perkara yang
dilarang oleh Islam? Adakah ia sebagaimana yang difaham daripada pemakaian
biasa atau berlainan?
AHMAD HUSNI: Assabiah satu istilah Arab yang diambil dari kata akarnya asaba.
Secara literaturnya, ia membawa maksud saudara atau keturunan keluarga dari
sebelah bapa. Dinamakan sebegini kerana masing-masing memperkukuhkan kedudukan
antara satu sama lain dalam keluarga. Jika dilihat daripada kerangka istilah
assabiah bermaksud sokongan sesuatu pihak terhadap puak atau kumpulannya atau
keluarganya tidak kira sama ada benar atau salah, ditindas atau menindas.
Penentuan terhadap kumpulan ini boleh berlaku dalam pelbagai ragam sama ada
warna kulit, kecenderungan, pola pemikiran, tempat lahir, etnik,
kewarganegaraan, mazhab mahupun minat.
Assabiah terhasil dari perasaan 'lebih daripada orang lain' atau takbur
sehingga melihat orang yang tidak bersama kita sebagai lebih rendah martabat
dan kedudukannya.
Wajah asalnya boleh dilihat menerusi perbualan iblis membantah arahan Allah
tatkala diarah sujud (hormat) kepada Nabi Adam a.s dengan katanya: "Apakah aku
perlu sujud kepadanya? Engkau jadikan aku daripada api sedangkan dia dijadikan
daripada tanah."
Atas dasar inilah Islam memandang serius persoalan Assabiah yang membarahi umat
sehingga mampu melumpuhkan kesatuan ummah dan mencacatkan perpaduan sehingga
mengubah ukhuwah kepada permusuhan, kasih sayang kepada benci, hormat kepada
khianat dan pelbagai bentuk keburukan yang mungkin terhasil.
Hasil daripada pemerhatian, boleh dikatakan pemahaman dan pemakaian terhadap
istilah assabiah punya perbezaan, namun konteksnya hampir sama, menghampiri
atau mungkin mempunyai ciri-ciri assabiah yang ditegah oleh Islam.
Apakah sifat-sifat assabiah?
AHMAD HUSNI: Sifat-sifat assabiah ini boleh kita fahami dalam memerhatikan
kategorinya. Kategori pertama ialah assabiah berpuak / kabilah atau etnik juga
dikenali sebagai kebangsaan. Ini adalah bentuk tertua dan terkuat dalam
assabiah. Semakin rapat hubungan semakin kuat assabiah. Semakin jauh hubungan
maka, makin lemah jiwa assabiah itu. Suku kaum, puak, etnik dan nasionalisme
termasuk dalam kategori assabiah ini. Daripada inilah timbulnya slogan jahiliah
yang menyebutkan 'bantulah saudaramu yang menindas atau ditindas'.
Kategori kedua pula ialah assabiah prinsip, mazhab atau pemahaman. Kumpulan ini
adalah golongan yang sangat kuat berpegang kepada mazhab atau pandangan
kumpulan masing-masing sehingga membawa kepada bentuk ketaksuban yang
membahayakan. Pengikut dalam kumpulan ini sanggup mempertahankan prinsip dan
pandangan sehingga mampu menolak pandangan lain yang juga punya kebenarannya.
Kategori ketiga pula ialah assabiah dari aspek benua. Fahaman ini terbentuk
daripada kalangan individu yang tinggal dalam sesebuah benua. Kumpulan ini
memikirkan bahawasanya mereka yang tinggal dalam benua yang sama adalah lebih
eksklusif daripada yang tinggal di benua yang lain.
Penyakit ini merebak dalam kelompok umat Islam pasca kejatuhan Khalifah
Uthmaniyyah. Pemikiran ini sebenarnya merupakan perancangan musuh-musuh Islam
dan mereka berjaya menyuburkannya dalam jiwa umat Islam dengan cara yang begitu
licik sehingga umat terjerat sendiri dalam perangkap yang dibina hasil sifat
assabiah ini. Inilah juga yang mengakibatkan kejatuhan Andalusia suatu ketika
dahulu.
Kategori terakhir ialah assabiah ialah perkauman (racism). Kumpulan ini
terbentuk hasil persamaan warna kulit dan mereka yang berbeza warna kulit sudah
tentu dipandang rendah dan hina. Alhamdulillah, senario assabiah ini tidak
wujud dalam dunia Islam dan hanya berakar umbi di kalangan penduduk Barat.
Orang berkulit hitam rasa ditindas dan dihina oleh orang yang berkulit putih.
Banyak penumpahan darah dan kezaliman berlaku dan akhirnya mengakibatkan
keruntuhan hidup bermasyarakat yang serius.
Adakah membantu kaum seperti memberi kelebihan kepada orang Melayu dalam DEB
dan kini Dasar Pembangunan Nasional tergolong dalam assabiah?
AHMAD HUSNI: Isu ini adalah melibatkan hak Bumiputera dan golongan asal
penduduk sesuatu negara. DEB merupakan perancangan pihak pemerintah untuk
membantu meningkatkan ekonomi masyarakat. Walaupun ia memihak kepada suatu kaum
sahaja, dalam masa yang sama nasib kaum lain juga tidak dilupakan menerusi
perancangan ekonomi yang berbeza. Bagi saya ini tidak termasuk dalam kategori
assabiah, wallahu a'alam.
Rasulullah SAW pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa': "Wahai Rasulullah!
Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-assabiah? Sabda Baginda:
Tidak, sebaliknya assabiah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas
kezaliman." (riwayat Abu Daud). Apakah huraian lanjut hadis ini?
AHMAD HUSNI: Hadis ini merupakan hadis yang jelas tentang sifat utama yang
dibawa oleh assabiah itu sendiri. Ia sangat berkait rapat dengan kezaliman.
Jiwa assabiah akan membutakan penilaian yang adil dan menjejaskan tindakan yang
terhasil daripada pengamatan yang telah dikaburi oleh kabus assabiah. Akibatnya
sesuatu kezaliman yang perlu ditegah dan dicegah sudah tidak lagi diperlakukan
sedemikian.
Alasannya ialah tidak mengapa kerana ia dilakukan oleh kaum sendiri atau
kumpulan yang tertentu. Yang hak perlu ditegakkan yang zalim perlu ditundukkan.
Itulah Islam. Namun hadis ini juga menganjurkan kecintaan kepada kaum yang
diasaskan kepada kebenaran dan bukan kecintaan membuta tuli sehingga membawa
kepada bahaya assabiah.
Apakah jaminan bahawa keadilan dalam Islam itu tertegak walaupun dalam kes
melibatkan suku kaum? (dengan merujuk surah al-Maidah ayat 8).
AHMAD HUSNI: Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 8: Wahai
orang-orang yang beriman. Hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang
selalu menegakkan kebenaran kerana Allah. Janganlah sekali-kali kebencianmu
terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah
sesungguhnya itu lebih dekat kepada takwa. Bertakwalah kamu kepada Allah,
sesungguhnya Allah mengetahui setiap perkara yang kamu lakukan.
Ayat ini jelas menyatakan pendirian Islam terhadap berlaku adil dan jaminan
bahawasanya keadilan pasti akan tertegak dengan mendahului yang hak mahupun
kepada musuh sendiri. Prinsip ini jelas dapat dilihat menerusi perlakuan
Rasulullah SAW dan tindakan Baginda SAW menegakkan keadilan walaupun tatkala
melibatkan musuh terutama dalam medan peperangan.
Ibnu Kathir menjelaskan ayat ini dalam tafsirnya meriwayatkan satu hadis
daripada Nu'man bin Basyir mengenai hadiah pemberian bapanya sehingga ibunya
'Amrah binti Rawahah mencadangkan agar dipersaksikan pemberian itu di hadapan
Rasulullah SAW dan setelah itu Baginda bersabda kepada ayahanda Nu'man: "Apakah
setiap anakmu diberikan hadiah sedemikian? Jawabnya : "Tidak" Maka Nabi lantas
bersabda : "Bertakwalah kamu kepada Allah dan berbuat adil terhadap
anak-anakmu. Sesungguhnya aku tidak akan menjadi saksi kepada ketidakadilan."
Mengenai berlaku adil walaupun dalam hal melibatkan keluarga sendiri pula,
jelas pendirian Nabi SAW ketika menghakimi pertanyaan tentang Fatimah
al-Makhzumiyyah yang mencuri apakah harus dipotong tangannya. Maka jawab
Baginda SAW: Demi Allah! Jikalau yang mencuri itu Fatimah binti Muhammad
sekalipun, nescaya akan ku potong tangannya! (riwayat Bukhari dan Muslim).
Wassalam.
AFFINBANK - "BANKING WITHOUT BARRIERS"
Noorshamsudin Hj. Mohd Darus
IS Audit, Group Internal Audit
1st Floor Menara AFFINBANK
80 Jalan Raja Chulan, KL
Tel: 03-27315246 (Ofis) / 012-2923403 (H/P) / 03-61040412 (Home)