Utusan Online - Kesihatan
Kembali muda secara sihat
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Gambar ABY BAIZURA HARUN
buah-buahan membekalkan karbohidrat yang diperlukan oleh tubuh.
________________________________
SEMAKIN maju sesebuah negara itu, semakin banyak penduduknya menghidapi
penyakit terutamanya yang kronik. Ini kerana, perubahan persekitaran, gaya
hidup, pemakanan dan daya tahan penyakit yang agak berbeza, turut mempengaruhi
jangka hayat seseorang.
Jika dahulu, penyakit lebih kepada jangkitan kuman kerana tiada imunisasi dan
vaksin, menyebabkan ramai yang meninggal dalam usia yang muda.
Bagaimanapun, zaman berubah, kini perkhidmatan kesihatan semakin bagus dan
wujudnya imunisasi dan vaksin terbaru bagi menyembuhkan penyakit, penjagaan
kebersihan bertambah elok, penyaluran air bersih sekali gus menyebabkan jangka
hayat seseorang menjadi lebih panjang.
Apabila jangka hayat itu menjadi lebih panjang, tidak semestinya seseorang itu
sihat. Misalnya usianya mencapai 80 tahun tetapi pada umur 60 tahun ia telah
berpenyakit, lumpuh dan tidak dapat menjalankan kegiatan harian. Jadi dari umur
60 hingga 80 tahun itu hidupnya tidak berfungsi.
Maka, inilah yang perlu diatasi, hidup lama tetapi dalam keadaan sihat dan
bukan sebaliknya. Ini kerana jika umur panjang tetapi menderita, tidak memberi
sebarang kebaikan malah bakal menyusahkan keluarga dan menjadikan kehidupan
tidak bahagia.
Justeru itu, anti penuaan diperlukan dalam gaya kehidupan seseorang untuk
sentiasa sihat walaupun dalam usia yang lanjut. Anti penuaan mempunyai matlamat
untuk memanjangkan jangka hayat dan jangkamasa seseorang itu berada dalam
keadaan sihat.
Pemilik Klinik Mempermuda Kulit dan Anti Penuaan, Timeless, Dr. Mahathir
Mohamed berkata, prinsip utama dalam anti penuaan ialah pemakanan. Ini kerana
pemakanan yang betul iaitu makanan anti keradangan boleh membantu seseorang itu
kembali muda dalam keadaan sihat.
''Gula di dalam badan merupakan bahan yang boleh merosakkan badan dan
menghasilkan hormon yang dipanggil insulin.
''Apabila badan banyak insulin, gula itu akan bertukar dan disimpan sebagai
lemak. Kebanyakan orang percaya jika kita makan lemak kita akan menjadi gemuk
tetapi pada hakikatnya gula lebih teruk daripada lemak.
''Dalam masa konsultasi, seseorang itu akan diajar bagaimana memilih makanan
yang betul. Dalam badan kita ada tiga pemakanan utama iaitu karbohidrat,
protein dan lemak,'' katanya ketika ditemui di kliniknya di Petaling Jaya,
Selangor baru-baru ini.
Menurut Mahathir, karbohidrat yang elok ialah dari sayur dan buah dan ini telah
mencukupi untuk keperluan karbohidrat badan dan tidak perlu ditambah dengan
gula sebab ini sahaja badan perlukan.
Protein pula terdiri daripada ayam, ikan, daging, tauhu manakala lemak yang
paling kaya dan tidak diperlukan ialah lemak trans. Badan tidak boleh
memprosesnya lalu terhasillah keradangan di dalam badan dan seterusnya
menyebabkan penyakit kronik. Contoh lemak trans ialah marjerin dan seeloknya
diganti dengan butter.
Lemak yang elok ialah minyak zaitun (mono tidak tepu) dan minyak ikan (omega 3)
penting kerana dalam kajian membuktikan omega 3 yang tinggi boleh melawan
proses keradangan dan mengelak pembentukan pembekuan darah serta tersumbatnya
saluran darah ke jantung.
Selain itu, minyak kelapa dara juga sesuai dan elok untuk pemakanan. Ia
mengandungi medium chain triglyceride. Ia tidak disimpan sebagai lemak di dalam
badan. Minyak-minyak ini stabil manakala minyak-minyak lain mungkin berubah
menjadi lemak trans.
''Semasa makan, seeloknya di dalam pinggan 1/3 terdiri daripada protein iaitu
sebesar tapak tangan manakala selainnya diisi dengan sayuran. Elakkan mengambil
nasi dan jika memerlukan hanya mengambil beras basmathi.
''Di samping itu pula, karbohidrat mengandungi cglycemic index. Jika kita makan
kentang, cglycemic indexnya tinggi dan kandungan gula di dalamnya akan menyerap
cepat di dalam badan. Maka badan akan mengeluarkan hormon insulin. Bila
seseorang berehat sahaja, insulin yang banyak akan menolak gula dan disimpan
sebagai lemak, gula turun mendadak sehingga ke bawah paras normal, menyebabkan
rasa menggigil, lapar, emosi tidak stabil dan letih.
''Seeloknya makanan kita mempunyai cglycemic index yang rendah, kentang boleh
ditukar kepada keledek kerana cglycemic rendah. Apabila rendah, maka gula akan
naik perlahan, stabil dan tidak akan turun di bawah paras normal. Dengan cara
ini insulin tidak terlalu banyak dan tidak akan menyimpan gula sebagai lemak,
kencing manis dapat dielakkan,'' katanya.
Ujarnya, anti penuaan kedua ialah senaman. Ramai kata tidak ada masa melakukan
senaman. Sebenarnya itu bukan alasan yang munasabah. Senaman bukan semata-mata
boleh dibuat di gim atau mengambil masa yang lama, bahkan boleh dilakukan di
rumah, tanpa peralatan dan tidak lebih empat minit.
''Bila bersenam ada dua perkara yang penting iaitu kadar denyutan nadi ini
perlu sampai ke sesuatu tahap bergantung kepada umur seseorang. Jika selagi
jantungnya tidak laju, tidak akan mendapat faedah daripada senaman itu. Ini
kerana ia perlu jantung mengepam dengan laju dan ia menguatkan jantung.
''Kedua, latihan ketahanan yang penting untuk lelaki dan wanita. Contohnya
senaman yang boleh dilakukan di rumah ialah ketuk ketapi, bengkok tangan dan
tolak ke atas kepala; satu atau tangan berputar, breakdance dan push up.
''Senaman-senaman yang digelar senaman Tabata mengambil nama penciptanya
saintis dari Jepun, Izumi Tabata hanya mengambil masa empat minit.
''Mula apabila jarum saat sampai ke angka 12, kita mulakan senaman selama 20
saat iaitu hingga angka 4, kita rehat 10 saat. Bila jarum saat sampai angka 6,
kita mula bersenam semula selama 20 saat hingga angka 10, kemudian rehat 10
saat. Ulangi perkara yang sama selama empat kali.
''Selalunya senaman ini dilakukan selang sehari dan berlainan jenis senamannya
bergantung kepada seseorang itu.
''Senaman yang dilakukan ini untuk kaki dan bahagian badan. Sebenarnya senaman
ini menguatkan otot dan buat gaya yang begitu cepat, ia akan membakar lemak dan
digunakan lemak sebagai tenaga. Metabolisme meningkat dan menyebabkan badan
membakar lemak sepanjang hari,'' jelasnya.
Menurut Mahathir, anti penuaan yang ketiga ialah pengambilan suplemen. Kini,
kebanyakan tanah, sayur, haiwan kekurangan nutrien, maka apabila menjadi sumber
makanan, zat yang diperoleh daripadanya sangat berkurangan, maka ada sesetengah
orang memerlukan suplemen atau vitamin. Tetapi tidak semua orang memerlukan dan
bergantung kepada masalahnya, contohnya pesakit lulut disebabkan oleh radang
dalam badan.
''Kita syorkan omega 3 daripada minyak ikan yang mempunyai Deoxyhexanoic Acid
(DHA) dan Eicosapentanoic Acid (EPA). Lain-lain suplemen seperti ekstrak kunyit
(mengurangkan radang) serta glucosamine dan chondroitin sulphate (kedua-dua
bahan ini menghasilkan pelincir untuk lutut),'' ujarnya yang mengharapkan lebih
ramai yang sedar tentang anti penuaan tersebut.
Selain itu, katanya, bagi anti penuaan, penggantian hormon lelaki atau wanita
harus dilakukan bagi mengembalikan mereka kepada paras lebih muda.
''Ramai yang tidak menyedari hormon di dalam badan sebenarnya tidak mencukupi.
Contohnya hormon tiroid yang berfungsi untuk metabolisme badan, sistem imun,
penting untuk rambut dan kulit. Kekurangan hormon ini akan menyebabkan
seseorang itu cepat letih, tidak bertenaga, rambut gugur, kuku rapuh, kulit
kering dan kitaran haid tidak teratur.
''Sama juga dengan seorang wanita yang menopaus, hormon yang kurang ialah
estrogen dan progesteron. Maka wanita ini perlu membuat ujian darah untuk
meningkatkan balik hormon ke paras yang normal. Kedua-dua hormon ini penting
untuk daya ingatan, dan jika kurang kemungkinan akan nyanyuk.
''Bagi lelaki pula, apabila berlaku andropaus, maka hormon lelaki tidak
menghasilkan testosteron dan akan kehilangan otot (lembik), lemak bertambah,
sakit jantung dan kadang kala susah untuk berjalan. Apabila penggantian hormon
dijalankan maka, seseorang itu akan beransur sembuh dan berat badan akan
bertambah,'' katanya yang juga diplomat American Board of Anti-Aging and
Regenerative Medicine (ABAARM).
Anti penuaan yang terakhir ialah mengurangkan stres, jelasnya, jika beragama
Islam, maka dinasihatkan supaya khusyuk dalam solat.
''Bila seseorang itu stres, bakal menghadapi risiko sakit jantung. Bagi wanita
pula, hormon menjadi tidak stabil dan peredaran haid tidak teratur. Maka
seseorang itu harus menjalani konsultasi bagi mengatasi masalah ini sekali gus
hidup lebih panjang dalam keadaan yang sihat,'' katanya diakhir perbualan.
p/s: Pls FORWARD to you circle of friens, family, etc..
Wassalam.
AFFINBANK - "BANKING WITHOUT BARRIERS"
Noorshamsudin Hj. Mohd Darus
IS Audit, Group Internal Audit
1st Floor Menara AFFINBANK
80 Jalan Raja Chulan, KL
Tel: 03-27315246 (Ofis) / 012-2923403 (H/P) / 03-61040412 (Home)