Orang-orang politik semua. Tolonglah hentikan perbalahan politik sesama parti 
dan luar parti. Ini, tolong tengok masalah rakyat ni. Jangan gembar gemburkan 
isu lain, untuk mengalihkan masalah rakyat.

Sesi persekolahan 2010 , ibu bapa , para pelajar dan guru terbeban dengan 
pelbagai kenaikan yuran. Yang duduk asrama pula ada yang di suruh balik setiap 
minggu kerana tak mampu nak tanggung kos makan. APA NI ?

Tak lama lagi keputusan SPM dan STPM akan keluar. Dengar cerita tiada lagi 
tawaran biasiswa untuk ke luar negara. Jadi, belajarlah semua dalam Malaysia. 
Ada tambah bilangan penerima biasiswa tak kalau belajar dalam Malaysia ? Atau 
kena buat juga pinjaman PTPTN.

Kepada ibu bapa, para pelajar TOLONG BACA artikel berkenaan Dilema Peminjam 
PTPTN yang disiarkan dalam akhbar Harian Metro di bawah ini :


**************************** 
Dilema peminjam PTPTN 
Harian Metro 

KEPRIHATINAN Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasinal (PTPTN) memberi 
pinjaman pendidikan kepada pelajar amat dipuji. Dengan pinjaman pendidikan ini, 
pelajar yang tidak berkemampuan memperoleh bantuan pinjaman pendidikan bagi 
merealisasikan impian melanjutkan pengajian di IPTA atau IPTS. 

Tetapi, terdapat beberapa perkara perlu dikaji kerajaan khususnya Kementerian 
Pengajian Tinggi bersama Kementerian Pendidikan kerana terdapat perkara 
'tempang' yang mencacatkan skim pinjaman pendidikan ini. 

* Kes 1: Permohonan pinjaman 

Permohonan pinjaman pendidikan diberi kepada sesiapa yang layak. Kebiasaannya, 
borang permohonan pinjaman dijual pada hari pendaftaran di universiti dan 
kolej. Kini diperkenalkan permohonan secara on-line. 

Begitu mudah permohonan pinjaman PTPTN diluluskan. Timbul persoalan, adakah 
pelajar lepasan SPM dan STPM faham kontrak pinjaman dipohon? Tahukah mereka 
maksud kontrak? Sebagai saksi yang menurunkan tandatangan, adakah mereka 
mengenali latar belakang pemohon? Rata-rata pemohon atau pelajar memohon 
pinjaman ini kerana terdesak dan ingin melanjutkan pelajaran di peringkat 
tinggi. Tidak semua ibu bapa faham kontrak pinjaman kerana perbezaan latar 
hidup. 

Sememangnya majoriti ibu bapa menggalakkan anak membuat pinjaman pendidikan 
ini, tetapi adakah anak yang menandatangani kontrak pinjaman pendidikan pada 
usia belasan tahun faham perkara ini? 


* Kes 2: Akaun pinjaman berbeza 

Pelajar lepasan diploma yang pernah menerima pinjaman pendidikan seterusnya 
diberi peluang bagi memohon pinjaman untuk pengajian peringkat ijazah sarjana 
muda. Malah, pemohon yang pernah menerima pinjaman di peringkat diploma dan 
ijazah masih berpeluang memohon untuk pengajian seterusnya. Lama-kelamaan 
setelah tamat pengajian, pemohon atau pelajar lepasan diploma dan ijazah 
dibebani hutang pendidikan puluhan ribu ringgit sebelum melangkah ke alam 
pekerjaan. 

Bukan semua pelajar lepasan diploma dan ijazah mempunyai nasib yang sama. Ada 
yang mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian, tetapi majoritinya akan 
menganggur sekurang-kurangnya enam bulan atau setahun, malah mungkin lebih dari 
tempoh berkenaan. 

PTPTN pula mengasingkan akaun pinjaman mengikut peringkat pengajian. Sekiranya 
pemohon atau pelajar pernah menerima pinjaman untuk peringkat diploma dan 
ijazah, mereka mempunyai dua akaun iaitu akaun diploma dan akaun ijazah. Kenapa 
kedua-dua akaun berkenaan tidak disatukan? 


Sedangkan nama pemohon dan nombor kad pengenalan adalah sama. Tidakkah perkara 
ini menjadi beban ketika proses bayaran balik kerana bukan satu faedah bayaran 
yang dikenakan, tetapi dua faedah bayaran perlu dijelaskan. Jumlah akaun 
peminjam pula tertakluk kepada berapa banyak pinjaman dipohon. 


* Kes 3: Kecuaian dan sambil lewa 

Kepincangan PTPTN mengakibatkan peminjam mengalami beban tidak diduga, 
sedangkan kelalaian di pihak PTPTN. 

Sebagai contoh, pemohon yang sudah membuat surat penangguhan bayaran kerana 
melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya telah menyerahkan surat itu sama 
ada secara pos atau serahan tangan kepada PTPTN, tetapi didakwa oleh PTPTN 
mereka tidak pernah menerima surat penangguhan berkenaan walaupun telah 
berkali-kali dibuat peminjam. 

Ada peminjam dimaklumkan kakitangan PTPTN, mungkin staf di kaunter penerimaan 
tidak menyerahkan kepada pihak sepatutnya. Peminjam dipersalahkan kerana tidak 
membuat rujukan semula selepas surat penangguhan diserahkan, malah memohon 
bukti serahan itu dibuat sama ada secara cop rasmi mahupun tandatangan pegawai 
yang menerima, walaupun pemohon mengemukakan salinan surat yang pernah 
diserahkan kepada PTPTN. 

Kelemahan sistem PTPTN telah mengakibatkan peminjam menanggung beban kerana 
proses bayaran balik untuk peringkat diploma mula dikira ketika peminjam masih 
berstatus pelajar di peringkat ijazah. 

Bagaimana peminjam hendak membuat bayaran balik pinjaman sedangkan mereka 
berstatus pelajar? Walaupun tanpa surat penangguhan, PTPTN pasti mempunyai data 
penuh peminjam. Perlu diingat, dengan memasukkan nombor kad pengenalan di dalam 
sistem PTPTN, keseluruhan data peminjam akan dikenal pasti. Tetapi, PTPTN terus 
mengira permulaan bayaran balik pinjaman setelah peminjam tamat pengajian 
peringkat pertama. 

Perkara sama turut berlaku, apabila peminjam tidak pernah menerima surat PTPTN 
yang menyatakan untuk sekian tempoh ditetapkan, peminjam perlu membuat bayaran 
balik pinjaman. Bukan itu saja, ada peminjam tidak menerima notis atau surat 
peringatan PTPTN. 

Kemudian, peminjam terus dikenakan tindakan hadir ke mahkamah dan disenarai 
hitam imigresen, sedangkan mereka belum pernah menerima surat melainkan surat 
berkaitan mahkamah dan senarai hitam imigresen serta penyata tahunan. 

Apabila hal ini diajukan kepada PTPTN, kakitangannya menyatakan, di dalam 
sistem komputer mereka menunjukkan surat atau notis telah diserahkan mengikut 
sekian tarikh. Tetapi, mana surat atau notis itu? 

Peminjam seterusnya akan ditanya sama ada telah bertukar alamat dan sebagainya. 
Bagaimana pula sekiranya alamat peminjam tidak pernah bertukar? Tiada jawapan 
daripada PTPTN selain mereka berkeras menyatakan surat telah diposkan ke alamat 
berkenaan. Bermulalah segmen mencari kesalahan bermula seolah-olah peminjam 
menipu, mengabaikan surat yang dihantar, terlupa dan sebagainya. Semuanya 
diletakkan atas bahu peminjam. Adakah ini adil? Peminjam berusaha datang ke 
pejabat PTPTN atau menelefon PTPTN untuk menyelesaikan masalah mereka dan bukan 
menambah kekusutan dan kekeliruan peminjam. 

Jika kita ke pejabat PTPTN, beberapa kaunter dibuka bagi memudahkan pemohon 
atau peminjam berbincang dengan pegawai PTPTN. Malangnya, hanya dua atau tiga 
kaunter dibuka malah pernah satu kaunter beroperasi sedangkan ramai pemohon dan 
peminjam hadir. 

Apa yang menyedihkan ialah maklumat diperoleh melalui telefon kadang-kala 
berbeza ketika bersemuka dengan pegawai PTPTN. Lebih mengundang kemarahan, 
setiap kali berurusan di kaunter, setiap kali juga menerima maklumat berbeza. 
Lain pegawai, lain maklumat. 


* Kes 4: Mahkamah dan senarai hitam imigresen 

PTPTN menguatkuasakan senarai hitam imigresen kepada peminjam yang gagal 
membuat bayaran balik di samping membawa peminjam yang gagal membuat bayaran 
balik ke mahkamah. 

Terdapat peminjam yang hadir di mahkamah kerana gagal membuat bayaran balik. 
Peminjam disoal sama ada mengaku pernah menerima pinjaman pendidikan PTPTN. 
Sekiranya mereka mengaku pernah menerima pinjaman pendidikan, kes ditutup dan 
mereka diarah ke PTPTN bagi berbincang cara penyelesaian atau proses bayaran 
balik. 

Tetapi, PTPTN masih mengekalkan nama peminjam dalam senarai hitam imigresen 
jika mereka gagal membuat bayaran penuh pinjaman. PTPTN juga mengekalkan nama 
peminjam dalam senarai hitam imigresen walaupun peminjam mula membuat bayaran 
ansuran setiap bulan. Senarai hitam imigresen kekal selagi jumlah keseluruhan 
pinjaman tidak selesai. Atau, peminjam boleh mengemukakan rayuan pengeluaran 
nama daripada senarai hitam imigresen setelah membuat bayaran 50 peratus, 
tetapi 50 peratus lagi hendaklah diselesaikan dalam tempoh enam bulan. 

Apabila ditanya kepada pegawai PTPTN cara penyelesaian lain, akan dijawab tiada 
jalan penyelesaian dan inilah penyelesaiannya. Ada juga yang menjawab, 
sekiranya peminjam bekerja, sila keluarkan wang daripada akaun kedua KWSP bagi 
mengurangkan bebanan. Malah, ada yang menggalakkan peminjam membuat pinjaman 
peribadi bagi menyelesaikan keseluruhan pinjaman jika ingin nama dikeluarkan 
dari senarai hitam imigresen. 

Kes di mahkamah ditutup setelah peminjam mengaku pernah memohon dan menerima 
pinjaman pendidikan daripada PTPTN, tetapi kenapa nama peminjam masih tidak 
dikeluarkan dari senarai hitam imigresen? Atas alasan apa senarai hitam 
dikenakan walaupun sudah hadir di mahkamah dan peminjam telah mula membuat 
bayaran ansuran bulanan di samping mengeluarkan sebahagian wang daripada akaun 
KWSP? Bagaimana dengan nasib peminjam yang dikenakan tindakan mahkamah dan 
penguatkuasaan senarai hitam imigresen akibat kecuaian PTPTN? 

Apabila perkara ini diajukan ke Bahagian Senarai Hitam Imigresen PTPTN, 
peminjam akan menerima jawapan: "Bagaimanapun, encik perlu membuat bayaran 
penuh pinjaman sekiranya mahu nama dikeluarkan dari senarai hitam imigresen, 
ini saja jalan penyelesaiannya". 

Bagaimana dengan peminjam yang baru bekerja dan kerjayanya memerlukan ke luar 
negara? Tidakkah kerjanya terganggu? Bagaimana pula jika dibuang kerja kerana 
alasan ini? Bagaimana peminjam ingin teruskan bayaran balik pinjaman sekiranya 
hilang pekerjaan? Adalah elok jika peminjam mula membuat bayaran balik walaupun 
secara ansuran daripada mereka terus kesal dan lari daripada membayar hutang 
pendidikan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/jpitih/Article 



      

Kirim email ke