Palong 2 bagai dianaktirikan
Sinar Harian 19 Jan 2010

PALONG 2 – Ketiadaan lampu jalan terutama di persimpangan masuk ke Palong 2 
memang mengecewakan penduduk yang mendakwa kawasan mereka seperti 
‘dianaktirikan’ apabila kemudahan yang sudah lama dipohon itu tidak mendapat 
maklum balas daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Menurut mereka, ada pihak yang cuba lepas tangan dan tidak mahu mengambil 
peduli aduan supaya lampu jalan dipasang di persimpangan masuk ke Palong 2.

Mereka mendakwa, akibat sikap lepas tangan itu, penduduk dan peneroka di Palong 
2 terpaksa berhadapan dengan risiko kemalangan setiap hari di tambah pula jalan 
itu dilalui kenderaan berat pada waktu malam.

Seorang peneroka, Zainal Abidin Ishak 55, berkata, dia kesal dengan sikap 
pihak-pihak berkaitan yang tidak mengendahkan langsung aduan yang dibuat oleh 
penduduk di sini.

“Saya ‘letih’ dengan sikap pihak-pihak berkaitan yang seakan sengaja memberi 
alasan, padahal kemudahan lampu jalan itu memang amat diperlukan penduduk 
terutamanya di simpang masuk ke Palong 2 ini," katanya.

Dia yang sudah tinggal kira-kira 30 tahun di sini, berkata, memang bahaya 
terutama pada waktu malam apabila tidak ada lampu jalan di persimpangan masuk 
ke sini.

“Memang gelap sangat di simpang masuk itu pada waktu malam dan membahayakan 
kenderaan yang keluar masuk,” katanya.

Menurutnya, Palong 2 seperti dianaktirikan dalam soal itu, memandangkan 
kemudahan lampu jalan dipasang di persimpangan masuk ke Palong 3.

“Saya mewakili penduduk dan peneroka di sini yang berasa kami seperti 
‘dianaktirikan’ dalam soal kemudahan itu kerana segala aduan yang dibuat, tidak 
diendahkan malah aduan ini pun telah masuk kali ketiga.

“Harapan penduduk dan peneroka di Palong 2 selama ini adalah untuk mendapatkan 
maklum balas yang baik daripada pihak berkaitan tetapi amat menghampakan," 
katanya.

Zainal berkata, jarak di antara Palong 2 ke Palong 3 cuma 500 meter sahaja 
tetapi simpang masuk ke Palong 2 tidak disediakan kemudahan asas sebegitu.

Seorang lagi peneroka, Awalludin Samah 56, mendakwa, sebelum ini memang pihak 
Tenaga Nasional Berhad (TNB) ada memberi maklum balas berkenaan dengan alasan 
‘tiada peruntukan’.

“Sampai bila mahu menggunakan alasan begitu, sedangkan kami sudah membuat 
banyak kali permohonan dan aduan.

“Saya duduk di sini pun sudah 32 tahun. Sepanjang tempoh itu tiada langsung 
inisiatif daripada pihak berkaitan mahu memasang lampu jalan di simpang masuk 
itu.

“Sepatutnya lampu jalan di simpang masuk itu sudah lama diletakkan memandangkan 
di simpang Palong 3 pun sudah mempunyai lampu jalan tetapi keadaan kami di sini 
tidak ada sesiapa pun yang mengambil peduli," katanya.

Menurutnya, keadaan pada waktu malam di sini lebih berbahaya jika dibandingkan 
dengan Palong 3 dan Palong 1 yang persekitarannya lebih ‘selamat’ kerana 
mempunyai banyak penempatan.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6385438.asp




Kirim email ke