Restoran KFC yang baru telah beroperasi di tengah-tengah Bandar Seremban sejak 
akhir tahun 2009 yang terletak tidak jauh dari Bazaar MAINS.

Pelbagai persoalan timbul kerana terpampang di depan KFC ini papan tanda Tanah 
Hak Milik Pusat Zakat Negeri Sembilan , Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Antara beberapa persoalan yang timbul ialah :
1.  Adakah tanah tersebut tanah wakaf ?
2. Adakah tanah tersebut dipajak atau disewa pada KFC ?
3. Jika dipajak atau disewa berapa lama tempoh pajakan atau sewaan ?
4. Berapa sewa atau pajakan yang dibayar sebulan atau setahun ?
5. Adakah PZNS atau MAINS mempunyai saham dalam KFC tersebut ?
6. Siapakah pemegang saham utama dalam KFC tersebut ?
7. Kenapa tidak dibina saja KFC di Bazaar MAINS agar dapat membantu para 
peniaga di Bazaar MAINS yang terlalu kurang pengunjung atau tak laku ?
8. Adakah pajakan, sewaan atau pelaburan ini mendapat kelulusan EXCO, 
Jawatankuasa Syariah , Majlis Fatwa dan sebagainya ?

Untuk melihat KFC tersebut dan papantanda Pusat Zakat di depan KFC sila ke 
pautan berikut : 
http://pasns.blogspot.com/2010/01/kfc-baru-seremban-atas-tanah-pusat.html

KELUHAN PENIAGA MELAYU BAZAAR MAINS DI BAWAH :

Peniaga 'dahaga' pembaharuan
Sinar Harian 31 Dis 09

SEREMBAN - Sunyi tanpa pengunjung.

Itu suasana di Bazaar Mains, Seremban, dekat sini, menyebabkan peniaga menggesa 
supaya pembaharuan segera dapat dilakukan pihak pengurasan.

Bangunan yang gah berdiri di tengah-tengah bandar itu mula beroperasi sejak 
2006, namun selepas hampir tiga tahun ia masih gagal menarik kunjungan orang 
ramai malah masih ada kurang mengenali menyebabkan peniaga mula dibelenggu 
resah kerana terpaksa berdepan risiko kerugian.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kira-kira jam 10.30 pagi mendapati bahagian 
dalam bazar terbabit nyata suram selain beberapa buah kedai sahaja dibuka.

Setiap bulan ada peniaga 'gulung tikar'

Peniaga, Nor Azian Mohd Nordin, 36, berkata, pihak pengurusan perlu mencari 
jalan terbaik bagi mempromosi bazaar kepada orang ramai sebelum keadaan menjadi 
semakin parah.

Menurutnya, sejak tiga tahun berniaga di situ, hampir setiap bulan ada sahaja 
peniaga terpaksa gulung tikar atau mengambil keputusan berpindah ke lokasi lain 
kerana masing-masing sudah tidak tahan lagi dengan keadaan bazar yang kurang 
pengunjung.

“Malah, saya percaya ada juga kalangan peniaga di sini yang hanya menunggu masa 
untuk menutup kedai sekiranya tidak ada sebarang perubahan dilakukan untuk 
kemajuan bazar ini.

“Saya sendiri pun bergantung kepada promosi melalui laman web. Jika mahu tunggu 
pelanggan datang ke sini, susahlah,” katanya.

Azian berkata, pihak pengurusan perlu memandang serius masalah ini bazaar ini 
memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi serta sektor perniagaan 
bumiputera.

Kurang parkir, tiada papan tanda

Pengusaha perubatan Homeopati, Dr Ruslan Yussof, 46, berkata, faktor kekurangan 
parkir menjadi salah satu sebab mengapa bazar itu sukar dikunjungi.

“'Parking' memang ada, tapi selalunya penuh di bahagian depan dan belakang 
kedai. Kadang-kadang pusing empat lima kali pun susah untuk mendapat 'parking' 
di sini.

“Tambahan pula bila jam 5 petang, kenderaan diletakkan di hadapan bazar 
terpaksa dialihkan kerana perniagaan pasar malam mula beroperasi,” katanya.

Oleh itu, katanya, rata-rata peniaga memilih menutup kedai pada jam 5.00-6.00 
petang disebabkan tiada pengunjung.

Bagaimanapun, Dr Ruslan yakin bazar terbabit berpotensi menjadi pusat 
perniagaan bumiputera yang maju suatu hari nanti sekiranya pelbagai usaha 
mempromosikannya dapat dilakukan.

Pihak pengurusan turut digesa menggantikan papan tanda tertulis Bazaar Mains di 
bahagian atas bangunan berikutan ramai tidak sedar kehadirannya.

Izan Yahya, 37, berkata, papan tanda berkenaan terlalu tinggi dan kurang jelas.

“Banyak yang komen mereka tidak nampak papan tanda dan lebih mengejutkan ada 
yang datang ke bazar ini bertanya di mana Bazzar Mains sedangkan mereka sudah 
berada di dalamnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Lokasi strategik, kurang promosi

Sementara itu, pengusaha batik, Abdul Majid Awang, 60, berpendapat lokasi bazar 
terbabit amat strategik kerana terletak di tengah bandar selain dikelilingi 
beberapa kedai lain.

“Bagi saya, lokasi ini sudah cantik dan saya percaya bazar ini mampu dimajukan 
pada masa akan datang sekiranya kita sama-sama memikirkan sesuatu untuk 
perubahan bazar ini,” katanya.

Menurut Abdul Majid, setakat ini dia banyak bergantung kepada pelanggan luar 
seperti agensi kerajaan dan swasta yang membuat tempahan.

Bagaimanapun, mereka mendakwa kekurangan promosi dan perhatian pihak berwajib 
menjadikan suasana perniagaan di situ ibarat hidup segan mati tidak mahu.

"Masing-masing yang kekal meneruskan perniagaan di sini mengharapkan pihak 
pengurusan dapat mencari jalan penyelesaian dan mengambil kira maklum balas 
setiap peniaga.

"Mereka bersedia memberi kerjasama terbaik sekiranya diperlukan pihak 
pengurusan bagi memastikan Bazaar Mains terus hidup di bandar Seremban," 
katanya.

Antara cadangan peniaga adalah meletakkan satu konsep jelas untuk bazar 
misalnya memberi fokus kepada jenis perniagaan yang harus diberi perhatian, 
mengubah susun atur kedai, membina kelengkapan dewan untuk kegunaan ramai dan 
penjenamaan semula Bazaar Mains bersesuaian keadaan persekitaran.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6286648.asp

http://amkns.blogspot.com/2010/01/peniaga-dahaga-pembaharuan.html




Kirim email ke