Gempa bumi: Gegaran kecil di Batu Niah dan Suai, Sarawak
25/01/2010 12:36pm

KUALA LUMPUR 25 Jan. 2010 – Gegaran kecil dilaporkan dirasai di Batu Niah dan 
Suai di Sarawak berikutan gempa bumi berskala rendah yang berlaku berhampiran 
Batu Niah pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), gegaran berskala 3.2 
Richter itu berlaku pada 7.47 pagi berpusat kira-kira 26km dari Batu Niah, 90km 
barat daya Miri dan 99km di timur laut Bintulu.

Menurut kenyataan itu lagi, sebelum ini, gegaran lemah berskala 3.3 Richter 
pernah berlaku di kawasan itu pada 12.13 tengah hari 23 Disember tahun lalu. – 
Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_10.htm

Teori `senjata ekologi' menukar cuaca dunia
Oleh RUHANIE AHMAD
Utusan Malaysia 7 April 2005

Tsunami di Aceh, gempa bumi di Pulau Nias, perlanunan di Selat Melaka. Adakah 
ketiga-tiganya mengandungi agenda geopolitik asing terhadap Malaysia dan 
Indonesia di abad ke-21?

Soalan ini wajar dihalusi oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia yang prihatin 
terhadap kesejahteraan Asia Tenggara, khususnya wilayah Nusantara yang mewarisi 
sejarah persahabatan sejak zaman berzaman.

Keprihatinan ini wajar berpaksikan hakikat bahawa di abad ke-21 memang ada 
kuasa besar yang mahu menguasai beberapa lokasi strategik di Asia Tenggara.

Antara lokasi tersebut ialah Selat Melaka yang dikuasai bersama oleh Malaysia 
dan Indonesia.

Selat Melaka dipercayai mahu dikuasai pihak asing kononnya untuk membanteras 
perlanunan dan terorisme yang dikatakan membahayakan pengangkutan minyak dan 
gas cecair asli dari Asia Barat dan Asia Tengah ke lain-lain destinasi di Asia 
Timur dan Lingkungan Pasifik.

Utara Sumatera dipercayai ideal dijadikan pangkalan laut tentera asing untuk 
menguasai pintu masuk ke Selat Melaka dari arah utara. Selatan Filipina 
dipercayai mahu dikuasai untuk dijadikan pangkalan laut tentera asing bagi 
mengawal Laut China Selatan.

Tenggara Thailand pula dikatakan ideal untuk dijadikan pangkalan udara tentera 
asing bagi memperkukuhkan pertahanan udara tentera asing berkenaan di Laut 
China Selatan.

Kekuasaan tentera asing ke atas seluruh lokasi strategik tersebut dikatakan 
akan melengkapkan strategi pertahanan tentera asing berkenaan bagi menghadapi 
sebarang ancaman yang mungkin ditimbulkan oleh China di abad ke-21.

Oleh itu, apabila tsunami membunuh lebih 250,000 rakyat Indonesia, salahkah 
kalau rakyat Malaysia-Indonesia bertanya, benarkah ia bencana alam? Mungkinkah 
tsunami itu angkara pihak yang mahu menguasai Indonesia, Thailand atau Malaysia?

Kalau tidak mungkin, mengapakah bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat 
(AS), William Cohen, pernah memberitahu satu seminar counter-terrorism pada 
April 1997, bahawa teroris sudah mula menggunakan `senjata ekologi' untuk 
menukar cuaca, meledakkan gempa bumi atau meledakkan gunung berapi secara jarak 
jauh dengan menggunakan gelombang elektromagnatik.

Menurut Cohen, perkembangan seperti di atas adalah benar. Lantaran itulah 
beliau menggesa supaya usaha-usaha counter-terrorism AS diperhebatkan untuk 
menangani gejala berkenaan.

Oleh itu, tidak mungkinkah yang dimaksudkan dengan `usaha-usaha 
counter-terrorism AS diperhebatkan' membawa erti bahawa AS juga wajar menguasai 
teknologi dan teknosains dalam bidang menukarkan cuaca, meledakkan gempa bumi, 
meledakkan gunung berapi secara jarak jauh menggunakan teknologi 
elektromagnatik dengan lebih baik dan lebih canggih daripada yang dikuasai oleh 
pihak teroris?

Jika hakikatnya demikian, tidak mungkinkah AS merupakan satu daripada kuasa 
dunia yang mempunyai teknologi dan teknosains mengenai peperangan cuaca ini?

Sebab itukah banyak pihak mempercayai bahawa tentera udara AS kini mempunyai 
kemampuan memanipulasikan cuaca, sama ada untuk ujian atau kegunaan sebagai 
senjata ketenteraan?

Sebab itukah maka ada pihak yakin bahawa antara kapabiliti ketenteraan AS 
mutakhir termasuklah teknologi pembikinan banjir, ribut taufan, kemarau dan 
gempa bumi?

Secara umumnya, teknologi memanipulasikan cuaca ini dikenali sebagai teknologi 
High-Frequency Active Auroral Research Program atau HAARP yang wujud sejak 
1992. Pihak-pihak yang sinis terhadap HAARP menggelarkannya sebagai `teknologi 
maut'.

Ini kerana modifikasi cuaca dikatakan boleh menjejaskan plat tektonik di dasar 
lautan sehingga menyebabkan gempa bumi dan peralihan plat itu. Jika ini 
terjadi, akan meledaklah gempa bumi yang dahsyat sehingga mencetuskam tsunami.

Banyak pihak pula berpendapat bahawa teknologi ini boleh digunakan secara 
unilateral, secara ofensif, secara defensif, atau digunakan sebagai usaha-usaha 
pencegahan.

Teknologi ini dipercayai pernah digunakan ke atas beberapa `negara samseng'. 
Sebab itulah negara-negara terbabit telah mengalami pertukaran cuaca yang 
drastik sejak beberapa tahun lalu.

Manipulasi

Contohnya, Korea Utara dikatakan telah mengalami musim kemarau yang panjang dan 
kemudiannya diikuti pula oleh hujan dan banjir. Keadaan ini telah memusnahkan 
seluruh sistem pertanian di negara tersebut. Tidakkah ini akibat modifikasi 
cuaca yang digunakan sebagai senjata strategik?

Negara-negara seperti Iraq, Iran dan Syria juga mengalami keanehan cuaca 
sepanjang 1999. Adakah ini satu kebetulan? Atau, inikah kesannya manipulasi 
cuaca?

Afghanistan pula mengalami kemarau empat tahun berturut-turut sebelum ia 
dilanda Peperangan Antikeganasan Global (PAG) pada 2001. Akibatnya, seluruh 
ekonomi negara itu musnah dan rakyat jelatanya dicengkam kebuluran.

Adakah ini satu kebetulan? Bukankah ini kesan manipulasi cuaca yang digunakan 
sebagai senjata strategik oleh sesetengah kuasa besar dunia?

Dalam sesuatu peperangan, yang penting adalah matlamat, bukannya cara. 
Contohnya, sistem pertanian Korea Utara musnah tanpa sebarang ledakan bom 
ataupun kedatangan bala tentera asing untuk memusnahkan ladang-ladang di negara 
tersebut. Ia musnah akibat manipulasi cuaca.

Oleh itu, salahkah kalau hari ini ada pihak berpendapat bahawa manipulasi cuaca 
adalah satu senjata yang amat berkesan. Ia boleh digunakan ke atas negara musuh 
atau negara sahabat yang mahu dihuru-harakan atas sesuatu sebab tertentu?

Oleh itu juga, mustahilkah tsunami pada 26 Disember 2004 dan gempa bumi pada 28 
Mac 2005 di perairan barat Sumatera adalah akibat persenjataan ekologi seperti 
di atas?

Adakah satu kebetulan apabila pada 17 Disember 2004, Presiden George W. Bush 
mengeluarkan arahan eksekutif memberikan AS kuasa mengawal seluruh lautan di 
dunia, dan sembilan hari sesudah itu terjadi gempa bumi dan tsunami di perairan 
Aceh, Indonesia?

Adakah ini satu kebetulan? Atau, adakah ini memang dirancang kerana Aceh adalah 
satu-satunya lokasi strategik sebagai pintu masuk ke Selat Melaka dari arah 
utara?

Bukankah lokasi Aceh strategik kerana di sana beroperasi sebuah syarikat 
petroleum yang besar? Di sana juga ia mempunyai rizab gas asli yang besar? 
Bukankah Aceh strategik kerana di sana terdapat Gerakan Aceh Merdeka yang 
disifatkan sebagai teroris sekutu Al-Qaeda?

Bayangkan. Kini Aceh jadi padang jarak, padang tekukur. Kesan tsunami di sana 
lebih teruk daripada ledakan bom nuklear. Dan, tanpa meledakkan sebutir bom 
atau sebiji peluru, ratusan ribu rakyat Indonesia telah pun terkorban.

Tanpa meledakkan sebutir bom atau sebiji peluru, beribu-ribu tentera AS sudah 
berada di Aceh. Inikah yang dikatakan sebagai peperangan strategik atau 
taktikal?

Soalan ini mesti ditanya, khususnya apabila `misi kemanusiaan' AS ke Aceh 
dikepalai oleh Leftenan Jeneral Blackman, jeneral perang yang mengepalai 
pencerobohan AS ke Baghdad pada Mac 2003.

Pada 29 Mac 2005, satu lagi gempa bumi yang besar berlaku di perairan pantai 
barat Sumatera. Gegarannya turut menggemparkan ribuan rakyat Malaysia dari 
Perlis hingga ke Johor.

Soalnya, adakah gempa itu juga benar-benar satu bencana alam? Mungkinkah ia 
akibat senjata ekologi seperti yang dihuraikan di atas?

Tidak mungkinkah gempa bumi berkenaan bertujuan mengalihkan tumpuan masyarakat 
Indonesia dan Malaysia daripada sesuatu yang lebih besar yang sedang dirancang 
dan boleh terjadi di Selat Melaka tidak lama lagi?

Kalau tidak, mengapakah kebelakangan ini gerakan perlanunan di Selat Melaka 
seolah-olah mendapat suatu nafas dan tenaga baru? Mungkinkah ini tindakan 
`lanun upahan' untuk merintis sesetengah kuasa besar menguasai Selat Melaka?

Atau, mungkinkah wujud sesetengah rakyat Nusantara sendiri yang sedang 
bersubahat dengan pihak asing untuk menghuru-harakan Malaysia dan Indonesia 
bagi memudahkan kuasa asing mencapai agenda geopolitiknya di Selat Melaka?

Rakyat Malaysia dan Indonesia yang prihatin wajar merenungkan seluruh huraian 
dan pertanyaan di atas. Kerajaan Malaysia dan Indonesia pula wajar berwaspada 
setiap masa walaupun teori konspirasi seperti ini disifatkan keterlaluan.

Wartawan Malaysia dan Indonesia juga perlu proaktif dalam pengutipan maklumat 
dan berita yang boleh menggemparkan Nusantara dengan ledakan yang mungkin lebih 
dahsyat daripada tsunami di Aceh atau gempa bumi di Pulau Nias.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm




Kirim email ke