Dato' Dr Haron Din
Fri | Jul 25, 08 | 11:42:08 am MYT

SOALAN: Politik Malaysia hari ini sudah sampai ke kemuncak kalut atau kelam
kabut. Selepas satu isu, beralih kepada isu lain yang kebanyakannya
membebankan fikiran rakyat jelata. Terbaru rakyat dikejutkan dengan isu
rasuah berprofil tinggi, dakwaan Dato' Seri Anwar Ibrahim terbabit dalam kes
liwat lagi dan pelbagai isu lain. Sebagai seorang Muslim saya amat keliru,
soal dosa pahala tidak diperdulikan lagi, media dengan bebas mengasak dengan
bangga mengaibkan hamba-hamba Allah yang tidak dipastikan kebenarannya,
mengapa hal sebegini Dato'? - HASBULLAH MARZUKI, Bandar Baru Bangi


JAWAPAN:

Memang benar kata anda itu, bahawa keadaan politik di Malaysia amat-amat
kalut dan berserabut.
Jika rakyat yang mengikutinya akan pening kepala, sudah tentu mereka yang
terbabit dalam politik lebih merasai keserabutannya.
Terlalu banyak isu yang menyentuh negara, melibatkan kredibiliti pemerintah,
sekali gus meletakkan rakyat keseluruhannya dalam keadaan kebingungan dan
huru hara penghidupan.

Perihal ketidak puas hati rakyat terhadap kerajaan semakin jelas apabila
kenaikan harga barang-barang keperluan seharian amat menekan, diikuti dengan
indeks rasuah yang semakin melonjak, kes-kes rasuah berprofil tinggi
terbongkar satu demi satu dan diikuti dengan fitnah yang tidak habis-habis.

Tuduhan liwat serta fitnah yang melampau ini kadang-kadang dilihat sebagai
suatu sandiwara.
Mengapa semuanya ini berlaku? Jawabnya mudah, ia adalah kerana manusia tidak
takut dosa, tidak gerun dengan ancaman Allah SWT, tidak peduli apa yang
hendak terjadi pada hari pembalasan.
Manusia kini seolah-olah tidak memperdulikan soal neraka dan syurga. Asalkan
hati mereka mendapat kepuasan di dunia, mereka sanggup melakukan apa sahaja.


Soal maruah, soal mengaibkan manusia dan apa sahaja yang seumpama dengannya
tidak pernah menjadi perhitungan.
Inilah sebabnya hal-hal yang saya nyatakan di atas boleh berlaku.

Malah berbagai-bagai konspirasi boleh dilakukan tanpa segan silu kerana
manusia telah dikuasai oleh tuntutan keduniaan yang melampau dan gila kuasa
yang tidak terbatas.

Merujuk kepada fitnah liwat yang saudara bangkitkan dalam persoalan, pada
saya, jika hukum-hukum Islam berjalan atau berfungsi, saya tidak fikir orang
berani melontar fitnah sebegitu.
Ini kerana sekadar mendakwa seseorang itu melakukan liwat tanpa cukup bukti
yang nyata dan kukuh, hukuman sebaliknya akan dijatuhkan ke atas si penuduh.


Orang yang membuat tuduhan tanpa cukup saksi, akan dijatuhkan hukuman qazaf
mengikut suatu pendapat fuqaha.
Qazaf adalah menuduh zina, tanpa membawa empat orang saksi yang adil, yang
benar-benar melihat perbuatan tersebut.
Jika penuduh gagal membuktikannya, maka si penuduh akan dikenakan hukuman,
seperti firman Allah (mafhumnya): "Dan orang-orang yang menuduh
wanita-wanita yang baik pekertinya melakukan zina tanpa membawa empat orang
saksi, maka hendaklah disebat mereka dengan 80 kali sebatan (selepas itu);
janganlah kamu menerima persaksian mereka buat selama-lamanya, kerana mereka
adalah orang-orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 4)

Ayat ini tidak merujuk kepada wanita sahaja, tetapi kepada sesiapa sahaja
yang menuduh zina tanpa cukup bukti, maka akan dikenakan hukuman qazaf.
Timbul persoalan, bolehkah qazaf ini digunakan juga kepada sesiapa yang
menuduh orang lain melakukan liwat? Atau didakwa dia diliwat, apakah
termasuk dalam konteks ini?

Dalam mazhab as-Syafie, dengan merujuk kepada Kitab al-Muhazzab, juzuk dua,
halaman 237, ada dinyatakan, maksudnya; "Sekiranya seseorang berkata
(menuduh) kepada seorang lain, 'kamu adalah peliwat atau si fulan meliwat
saya atau mengaku dirinya diliwat' (tanpa paksaan), maka itu adalah kazaf,
sama dengan kazaf zina, wajib dikenakan hukuman qazaf."
Ini bererti bahawa yang menuduh liwat, sama dengan menuduh zina, wajib
diproses mengikut hukuman yang ditetapkan oleh Allah SWT.


Apabila hukum Islam tidak berfungsi dan diketepikan maka berleluasalah
tuduhan-tuduhan yang seperti itu, kerana tidak ada sesuatu yang menjadi
penghalang atau merasa gerun untuk melakukannya.
Alangkah rugi dan kecohnya masyarakat apabila tuduhan-tuduhan liar sebegini,
masih menjadi mainan orang-orang tertentu menuduh orang-orang lain dengan
pelbagai tuduhan.
Ingatlah, meskipun hukuman-hukuman had seperti yang disebutkan di atas,
tidak dapat dilaksanakan buat seketika ini, akan tetapi insafilah bahawa
hukuman Allah di akhirat nanti, pasti menunggu semua yang terlibat.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang mahsyur
(mafhumnya): "Sesungguhnya hukuman dunia adalah lebih ringan daripada
hukuman di akhirat."

Ini membawa maksud, bahawa segala kesalahan yang ada peruntukkannya dalam
al-Quran atau as-Sunnah, jika dilaksanakan di dunia seperti kehendak Allah,
maka ianya adalah paling ringan bagi orang yang terlibat menerimanya.
Jika mereka terlepas daripada menerimanya di dunia, maka di akhirat nanti
mereka akan menerima hukuman yang lebih berat daripada Allah SWT.

Wallahua'lam - lanh

<[email protected]>

Kirim email ke