Assalamu'alaikum...

Tulisan berikut saya tujukan khas buat muslimah yang beristiqamah bertudung 
labuh, terutama ditujukan buat isteri tercinta.  Alhamdulillah, tahniah buat 
kalian semua :)

Dipetik dari :
http://muzir.wordpress.com/2009/11/14/muslimah-dan-tudung-labuh/

Muslimah dan Tudung Labuh
Posted on November 14, 2009 by shahmuzir

Seorang lelaki muslim yang bagus imannya akan terpaut hatinya kepada wanita 
muslim yang bagus imannya juga.  Begitu juga sebaliknya.  Ini adalah fitrah 
manusia.  Saling tertarik apabila mereka mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang 
hampir sama.
 
Manusia tidak dapat menilai kebaikan seseorang manusia lain melainkan setelah 
mengenali di antara satu sama lain.  Jadi, perkara pertama yang menjadi ukuran 
seseorang pastinya melalui penampilannya.  Melalui penampilannya, seseorang 
dapat diukur secara zahir bagaimana peribadinya.  Samada seseorang itu baik, 
rajin, pandai, kelakar, garang, malas dan sebagainya masih belum pasti.  First 
impression comes first.
Awal-awal Bertudung Labuh

Sila klik gambar!
 
Wanita yang bertudung labuh atau dipanggil juga bertudung bulat memberi 
impressi (tanggapan pertama) bahawa dia wanita yang bagus agamanya.  Ia cuma 
impressi sahaja.  Belum tentu dia solehah atau tidak.  Dan kebiasaannya wanita 
yang memakai tudung labuh ini berlatar belakangkan sekolah agama.  Kerana 
mereka diwajibkan untuk memakai tudung labuh.
 
Ada sebahagian pelajar-pelajar agama ini, di sekolah mereka bertudung labuh.  
Tetapi apabila berada di luar sekolah mereka tidak lagi mengenakan pada diri 
mereka tudung labuh.  Ada yang memakai tudung biasa sahaja.  Tudung tiga segi, 
malahan skaf pun ada.  Ada juga yang tidak menutup aurat secara sempurna, 
tetapi bilangan mereka sedikit sahaja.
 
Sekolah agama memberikan tarbiyyah.  Ia membentuk anak-anak didiknya agar 
berada di landasan yang betul.  Bagi pelajar muslimah di sekolah-sekolah agama, 
mereka diajar untuk menerapkan pakaian muslimah yang sejati pada diri mereka.  
Ini bertujuan untuk merealisasikan tuntutan ISLAM dalam berpakaian khas untuk 
wanita beriman.
 
ALLAH subhanahu wata’ala telah berfirman dalam al-Quran berkaitan etika 
berpakaian wanita beriman yang maksudnya:
Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, 
dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang 
(biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung 
kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya…”  (Surah ke-24 an-Nur, ayat 
31)
Pelajar-pelajar sekolah agama ini dikehendaki memakai uniform sekolah dan 
bertudung labuh, baju kurung yang longgar (tidak ketat), jenis kain yang tidak 
nipis dan berstoking panjang.  Bukan itu sahaja, malahan hal batasan ikhtilat 
(percampuran lelaki & perempuan) turut diajar kepada mereka.  Lelaki dan 
perempuan dipisahkan tatkala makan di kantin, tangga khas lelaki-perempuan, 
aktiviti kurikulum & ko-kurikulum kebanyakannya dipisahkan antara 
lelaki-perempuan dan sebaginya.  Ini semua untuk dijadikan bekalan ilmu buat 
mereka serta mengamalkannya.
 
Bukan semua yang gembira dengan peraturan ini.  Mereka terpaksa.  Tetapi, 
memang begitulah proses pentarbiyyahan perlu dilakukan.  Tanpa peraturan, 
mereka tidak akan patuh dengan kod pakaian yang ‘menyusahkan’ itu.  Mereka 
pastinya mahu bebas dan bersantai-santai dalam berpakaian.  Peraturan untuk 
berpakaian Islami ini adalah untuk kebaikan mereka sebenarnya.  Kebaikan yang 
diukur dari kaca mata agama.
 
 
Sejuk mata tatkala terpandang...
 
Tahun demi tahun dalam keterpaksaan, lama-kelamaan mereka berasa selesa dengan 
bertudung labuh.  Malahan ada yang jatuh cinta dengan cara berpakaian tudung 
labuh pula.  Mereka membawa cara berpakaian yang penuh kesederhanaan ini ke 
luar sekolah.  Hatta, sehingga habis sekolah.  Sampai ke universiti, sampai ke 
alam pekerjaan. 
 
Tetapi bilangan mereka yang tetap dengan tudung labuh tidak ramai disebabkan 
oleh beberapa faktor.  Antara faktor-faktornya ialah kesesuaian pekerjaan 
(nature of work), trend, fesyen, akibat keluarga dan sebagainya.  Yang paling 
penting ialah mereka MENUTUP AURAT dengan SEMPURNA.  Samada bertudung labuh 
atau tidak, bukanlah menjadi ukuran utama.  Kerana syariat hanya menyuruh 
mereka menutup aurat.  Asal sahaja sudah menepati syariat, nah silakan…
 
Pandangan Masyarakat Terhadap Wanita Bertudung Labuh
Pentingkah pandangan masyarakat jika sesuatu yang diperbuat itu betul?  
Pentingkah untuk kita ambil pusing dengan kata-kata orang lain, jika apa yang 
kita amalkan menepati tuntutan syar’iyyah?  Tak perlu, bukan?  Saya sengaja 
melontarkan persoalan itu untuk sama-sama kita fikirkan.  Agar kita tetap 
dengan pendirian kita jika apa yang kita buat itu betul, walaupun barangkali 
ada yang berkata itu dan ini. 
 
Ada sebahagian dalam masyarakat memandang wanita yang bertudung labuh ini 
ketinggalan zaman, kolot, tak moden, tak ikut trend dan sebagainya.  Namun, ada 
sebahagiannya juga memandang hormat, tinggi, segan dan mulia kepada mereka ini.
 
Hampir 100% pandangan yang saya temui mempunyai pandangan yang kedua, iaitu 
memandang tinggi dan hormat kepada wanita yang bertudung labuh.  Malahan 
sebahagian yang tidak bertudung labuh ada yang menanam hasrat untuk bertudung 
labuh, tetapi segan dan malu disebabkan tidak pernah berpakaian seperti itu.  
Mahu, tetapi malu.
 
Saya secara peribadi ingin berterus-terang bahawa saya selalu didatangi 
perasaan yang damai tatkala terpandang wanita yang bertudung labuh.  Apabila 
ternampak mereka dari jauh, rasa sejuk hati ini.  Saya rasa ramai lelaki yang 
mempunyai perasaan seperti ini.  Tetapi, kalau mat-mat rock, mat-mat punk, 
mat-mat rempit, mat-mat disko dan seumpama dengannya, saya rasa mereka takdelah 
perasaan macam ni.  Eh, entah-entah pun ada perasaan yang sama…?  Agaknya 
mereka pun rasa tersentuh, rasa beragama…
 
Perasaan yang datang apabila terlihat wanita bertudung labuh bukanlah perasaan 
ingin melakukan yang ‘bukan-bukan’.  Sebagaimana apabila seseorang lelaki 
nampak perempuan seksi, apa yang terlintas di dalam hatinya pastilah sesuatu 
yang berkaitan dengan seks.  Syahwat segera bernyala-nyala tatkala melihat 
wanita yang ‘buka-buka’.
 
Tetapi apabila ternampak wanita bertudung labuh, perasaan damai datang.  Rasa 
ingin membimbing, membela dan mendidik wanita itu segera hadir.  Malah datang 
juga perasaan beragama pada diri.  Juga rasa ingin berkeluarga, keluarga yang 
soleh.
 
Ini bukan kesimpulan yang saya buat bagi diri saya sahaja.  Malahan pernah saya 
dan kawan-kawan membicarakan hal ini suatu ketika dahulu.  Di forum-forum 
Islami di internet juga tidak lepas membicarakan perkara yang sama.  Ya, wanita 
bertudung labuh lambang wanita yang hidup beragama.
 
Isteri saya sendiri bertudung labuh.  Sejak beliau di bangku sekolah, di 
universiti sehinggalah kini bekerja dan berumahtangga.  Saya suka isteri saya 
bertudung labuh.  Rasa damai dan tenang apabila saya berjalan di tengah ramai 
sambil saya memimpin tangan isteri.  Rasa cinta dan rasa hidup beragama 
sentiasa mekar sehingga kini.  Mudah2an beliau terus dengan bertudung 
labuhnya.  Kerana mata dan hati ini sejuk apabila melihat beliau berpakaian 
begitu.
 
Kesimpulan
Tulisan ini bukan ditulis tanpa tujuan.  Tulisan ini diharap dapat memberi 
motivasi kepada diri muslimah remaja yang berkira-kira ingin membuang tudung 
labuh dari tubuhnya.  Sebahagian mereka rasa ketinggalan zaman.  Rasa ‘takde 
orang nak’ orang yang bertudung labuh ini.  Rasa terpinggir dengan berpakaian 
tudung labuh ini.
 
Percayalah, cara berpakaian sedikit sebanyak boleh mengawal diri dari kita 
melampaui batas.  Dengan bertudung labuh, pasti akan ada setitik penyedar. Kita 
ingat siapa kita.  Kita tak mahu diri terfitnah.  Kita tak mahu agama 
terfitnah. 
 
Janganlah dibuang tudung labuh itu dari tubuh kalian.  Kalian nampak ayu dan 
sopan bertudung labuh.  Kalian menimbulkan rasa ingin beragama di kalangan 
sebahagian manusia.  Samada lelaki atau wanita, rasa beragama tiba-tiba datang 
tatkala kalian muncul.  Yang paling penting ialah berpakaian seperti itu jika 
betul niatnya dan caranya, kalian akan diredhai ALLAH.
 
Akhir sekali, ingatlah!  Bahawa beramallah kerana ALLAH.  Ikhlas kerana ALLAH.  
Ikut cara ALLAH.  Bermatlamatkan ALLAH.  Bukan disebabkan hal lain.  Mudah2an 
kita semua digolongkan di dalam golongan solihin, amin…
 
 
SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
14 NOVEMBER 2009
 
SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR
Takaful IKHLAS - Financial Advisor
h/p  :  019-3826408
email:  [email protected]

www.takafulonline.net 


      

Kirim email ke