Dipetik dari:
http://muzir.wordpress.com/2009/08/07/mudahnya-untuk-mendapat-ganjaran-allah/

Mudahnya Untuk Mendapat Ganjaran ALLAH
Posted on August 7, 2009 by shahmuzir
 
Dalam kehidupan seharian, kita sentiasa mempunyai pilihan samada untuk berbuat 
kebaikan atau keburukan. 
 
Seseorang yang melakukan solat, puasa, zakat, menggembirakan ibubapanya, 
menuntut ilmu, menyebarkan  seruan ALLAH dan RasulNya, menyampaikan hajat 
saudaranya, membuang halangan di jalanan dan lain-lain amalan mulia, sudah 
pasti itu semua termasuk dalam perkara-perkara yang terpuji dan diganjari ALLAH 
subhanahu wata’ala dengan ganjaran pahala.
 
Sebaliknya, seseorang yang tidak solat, menderhakai ibubapanya, tidak amanah, 
menyakiti hati jiran dan rakan, mengumpat, menfitnah dan bermacam lagi 
perbuatan tidak bermoral lain, sudah tentu akan      mengundang kemurkaan ALLAH 
dan berdosa.
 
Pilihan di tangan kita.  Sangat beruntung orang yang memilih untuk membuat 
kebaikan.  Bukan sahaja akan disukai oleh makhluq, malah mendapat ganjaran yang 
berganda-ganda dari Tuhan yang Maha Pemurah.
 
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi 
wasallam bersabda:
 
>“ALLAH Azza wa Jalla berfirman:  Jika hambaKu hendak melakukan suatu 
>kejahatan, maka janganlah kalian menulisnya hingga dia melakukannya.  Jika dia 
>melakukan kejahatan itu, maka tulislah dengan kejahatan yang sama.  Jika dia 
>meninggalkan kejahatan tersebut kerana-KU, maka tulislah untuknya satu 
>kebaikan.  Dan jika dia hendak melakukan kebaikan, lalu dia tidak 
>melakukannya, maka tulislah untuknya satu kebaikan.  Jika dia melakukan 
>kebaikan itu, maka tulislah untuknya dengan sepuluh kali ganda sampai tujuh 
>ratus kali.”  (HR Muttafaq ‘Alaih)
 
SubhanALLAH, Maha Suci ALLAH, mudahnya untuk kita mendapat pahala.  Dengan 
hanya memasang niat untuk membuat perkara baik pun, sudah diberi pahala.  
Apatah lagi jika niat yang baik itu direalisasikan.  Berganda-ganda lagilah 
pahala.  Susahkah?
 
Maha Pemurahnya ALLAH.  Sayangnya DIA kepada kita.  Kasihnya DIA kepada kita.  
DIA tidak lokek untuk mengurniakan pelbagai ganjaran kepada hambaNYA.  Asalkan 
kita memilih untuk membuat kebaikan.
 
Tetapi sebaliknya, apabila kita berniat untuk melakukan perkara kejahatan, dosa 
hanya akan diberi jika kita melakukannya.  Itulah yang telah    disabdakan Nabi 
sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Bagi orang yang sihat imannya, hadith di atas sudah cukup memberikan harapan 
yang besar kepadanya untuk sentiasa membuat kebaikan.  Ia cukup untuk 
memotivasikan diri agar sentiasa memikirkan dan mengusahakan kebaikan dalam 
setiap masa kehidupannya.
 
Ayuh muslimin sekalian, berlumba-lumbalah kita dalam mengejar pahala dan 
ganjaran yang bakal tersedia di akhirat nanti.
 
Memang ALLAH subhanahu wata’ala nak beri kepada kita bermacam nikmat 
keseronokan di syurga nanti.  Tetapi, terlebih dahulu kita hendaklah sentiasa 
berlumba-lumba membuat kebaikan.
 
Hari-hari yang kita tempuhi, tersedia di hadapan peluang dan ruang untuk kita 
melakukan perkara kebaikan.  Jangan kita katakan perbuatan baik yang kita 
lakukan sia-sia.  ALLAH nampak.  ALLAH tahu.  ALLAH dengar.  Dan pastinya 
setiap kebaikan yang kita lakukan akan diganjari ALLAH subhanahu wata’ala 
dengan pahala yang berganda-ganda.
 
Jangan kita remehkan setiap perbuatan baik yang hendak kita lakukan.  Walau 
hanya dengan memberikan senyuman pun, ia dikira sebagai suatu kebaikan.
 
Semoga tulisan yang ringkas ini bisa memberikan kita semua sedikit peringatan 
bahawa  ALLAH Maha Pemurah dengan nikmat, rezeki dan pahala untuk dikurniakan 
kepada hamba-hambaNYA.  Mudahnya untuk mendapat pahala…
 
WAllahu Ta’ala A’lam. 
 
SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
7 Ogos 2009
 
 
 
SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR
Takaful IKHLAS - Financial Advisor
h/p  :  019-3826408
email:  [email protected]

www.takafulonline.net 


      

Kirim email ke