----- Forwarded Message ----
From: Dr Harlina Halizah Siraj [email protected]
Kenyataan Media Jamaah Islah Malaysia (JIM)
12 Februari 2010
ISU PEMBUANGAN DAN PEMBUNUHAN BAYI PERLU PENDEKATAN HOLISTIK!
JIM ingin menarik perhatian kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000
sehingga 2006 yang melaporkan sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti
(532 – 92%) adalah bayi baru lahir, sementara 48 (8%) adalah janin ( Sumber
PDRM). Sementara menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan
Masyarakat Malaysia pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi
yang dilaporkan (Rujuk Jadual 1).
Jadual 1 : Bilangan Kes Pembuangan Bayi
Tahun 2006 2007 2008 2009
(sehingga Mei)
Jumlah kes 53 76 102 33
Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, dilaporkan menurut satu kajian
di Lembah Klang, seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Apa yang lebih
membimbangkan, fenomena ini tidak lagi hanya berlaku di bandar-bandar besar,
malahan semakin kerap dilaporkan di kawasan desa dan luar bandar. Bayi-bayi
juga pernah dilaporkan dibuang di dalam tandas sekolah dan premis menara gading
institusi pengajian tinggi.
Namun, secara umumnya, masyarakat Malaysia seolah-olah hanya mampu menyatakan
rasa kesal, mengecam tindakan zalim tersebut, menuding jari menyalahkan remaja
belia yang dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi-bayi
malang tersebut dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan
dikehendaki (unplanned and unwanted) oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup
melindungi lalu kemudiannya dibiarkan atau dibuang untuk menutup aib dan malu ,
maka kematian mereka tidak harus dibela?
JIM ingin menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh
pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk
mengendalikan sebarang kecemasan. Setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan
jagaan kehamilan yang sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang
masa. Setiap bayi baru lahir yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian
neonatal (bayi berusia tidak lebih empat minggu) yang secara tidak langsung
menandakan jagaan kesihatan yang tidak sempurna dan tahap kesihatan yang
rendah. Awal Julai lepas, dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita muda
di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanahair, bersama bayi yang
dilahirkannya sendirian. Kematian ibu yang melahirkan bayi tanpa bantuan
perubatan ini perlu dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang
sepatutnya boleh dielakkan (avoidable) sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan
dapat diberikan sebagaimana lazimnya.
JIM berpandangan pendekatan yang lebih pragmatik dan serius perlu segera
diambil dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Ianya tidak boleh hanya
dilihat dari sudut pandang gejala sosial dan seksual semata-mata. Pendekatan
tersebut mestilah holistik dan menjurus kepada penyelesaian akar umbi masalah,
dengan menekankan kedua - dua aspek pencegahan (preventive) dan rawatan
(prescriptive) secara serentak.
JIM menuntut semua pihak memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam
usaha mencegah gejala sosial yang sedang berleluasa dan semakin parah hari ini.
1. Ianya mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan
dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak,
bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya. Setiap individu tanpa mengira
gender, usia, pangkat dan kedudukan mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta
integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya.
1. Usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat
kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal
tingkahlaku ahli-ahlinya, selari dengan bertambahnya cabaran yang menghakis
nilai murni dalam komuniti.
1. Pihak berwajib mestilah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan
yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti
pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang
menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks.
1. Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan
ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni mesti dilipatgandakan dan
menjadi keutamaan di setiap peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk
pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata .
JIM akur, sekalipun langkah pencegahan dijalankan, masih terdapatnya kelompok
ahli masyarakat yang tetap akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual
berisiko tinggi. Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan seringkali
mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain
seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, pengguguran janin, penyakit jangkitan
kelamin, HIV/AIDS dan keganasan seksual. Dalam konteks ini, pendekatan rawatan
( prescriptive) mestilah diambil bagi menangani isu di atas :
1. Setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil dari perzinaan
mestilah diberikan peluang dan hak untuk hidup. Ini berpandukan kepada sirah
Rasulullah SAW, di mana seorang wanita Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas
berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Namun Rasulullah SAW
menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang bayi itu dilahirkan dengan
selamat dan selesai tempoh penyusuannya. Jelas betapa Islam mengambil
pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan
intipati ajarannya sebagai ` rahmatalil `alamin’ ( rahmat untuk sekelian alam).
Langkah praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat
perzinaan dalam masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil
keputusan melulu membuang dan membunuh bayi yang baru lahir.
1. Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun
belum, mesti mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan yang berhampiran
secara berkala untuk memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan
terpelihara. Wanita yang menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy)
seringkali berhadapan dengan risiko komplikasi seperti cubaan menggugurkan
kehamilan, kepucatan, preeklampsia, kelahiran pramatang atau kematian semasa
melahirkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka
sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan
kelahiran sendirian.
1. Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan
kehamilan mesti dipertanggungjawabk an. Perkembangan kajian saintifik yang
membabitkan DNA dan genetik hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal usul
keturunan manusia dibuat. Satu mekanisme perundangan perlu diusahakan agar
pasangan lelaki dalam perzinaan tidak boleh secara sewenang-wenangnya berlepas
tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya.
1. Pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkenaan mesti mengambil
langkah menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita yang hamil
di luar nikah menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Jagaan antenatal boleh
dijalankan dengan baik, kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih
dan proses pengangkatan bayi melalui saluran yang formal dapat dibuat sekiranya
siibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang lain. Walaubagaimanapun, pusat
perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit ( one-stop centre)
yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di luar nikah
semata-mata untuk melahirkan bayi sahaja!
Semoga cadangan pendekatan rawatan (prescriptive) dapat memberi ruang dan
peluang kedua kepada mereka yang telah terlanjur untuk bertaubat, tidak
mengulangi perbuat yang sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan
menurut kehendak syariah dengan kerahmatan Islam.
JIM mendesak agar langkah-langkah yang disarankan segera diambil tindakan bagi
menangani isu pembuangan bayi hingga ke akar umbi. Jangan biarkan Malaysia
menjadi sebuah masyarakat jahiliyyah moden yang tiada peri kemanusiaan lagi!
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
0123243134