Husam sedia dedah dokumen royati jika Mustapa minat
Posted on Monday, February 22 @ 06:53:21 PST
Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih
 Sumber Harakah

BACHOK, 22 Feb: Datuk Husam Musa berkata, segala dokumen mengenai istilah 
royalti ada
dalam simpanannya dan sedia mendedahkan sekiranya Pengerusi Perhubungan
Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berminat.

"Saya
sedia mengemukakan bukti itu kepada pemimpin Umno terbabit sekiranya
berminat. Saya sedia hadir ke Kuala Lumpur sekiranya diminta berbuat
demikian,” katanya pada ceramah penjelasan isu royalti di Pekan
Jelawat, malam tadi.


Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Ustaz
Nasaruddin Mat Isa, Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad, Adun
Jelawat, Abdul Aziz Kadir dan Setiausaha PAS kawasan, Mohd Huzaimy Che
Husin.
Katanya, bayaran tunai lima peratus yang diterima kerajaan
Terengganu sejak petroleum dikeluarkan di perairan negeri tersebut
dikenali sebagai royalti tetapi malangnya istilah royalti tiba-tiba
ditukar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada wang
ihsan pada 2000 selepas PAS menguasai Terengganu.
Malam Jumaat lalu Perhubungan Umno Kelantan menganjurkan program penjelasan isu 
wang ihsan di perkarangan pejabat Umno.
Program
seumpama itu difahamkan kali ketiga diadakan. Sebelumnya diadakan di
Hotel Renaissance dan padang Sekolah Menengah Zainab.
Kehadiran
yang begitu mengecewakan Umno pada dua program berkenaan menyebabkan
program ketiga diadakan malam Sabtu. Sekitar 1,000 orang hadir biar pun
media proUmno menggambarkan lebih 5,000 hadir.
Umno juga
kepanasan dengan isu tersebut apabila terpaksa mengeluarkan iklan satu
muka surat dalam semua akhbar berbahasa Melayu semalam.
Iklan tersebut disebut dikeluarkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan 
Kebudayaan Malaysia.
Husam
yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Perancangan Ekonomi dan
Kebajikan negeri berkata, buat apa perjanjian yang ditandatangani pada
1975 antara kerajaan negeri dan Petronas sekiranya tiada kaitan dengan
royalti minyak.
“Tidakkah melalui perjanjian tersebut negeri memberi kuasa kepada pusat untuk 
mengeluarkan minyak dengan syarat dibayar royalti.
“Ini
kerana telah ditetapkan dalam undang-undang semua perkara berkaitan
dengan perlombongan termasuk galian atau minyak diletak di bawah bidang
kuasa kerajaan negeri,” katanya di hadapan ribuan orang ramai di kedai
Jelawat.
Pengerusi Bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti
Minyak (Gegar), Dr Abdul Halim Yusof berkata, usaha dilakukan kerajaan
pusat melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
menjelaskan isu tuntutan hasil petroleum melalui iklan dalam akhbar
semalam sebagai usaha menegak benang basah.
“Jelas usaha yang dilakukan mereka bagi memperbodohkan rakyat Kelantan,” 
katanya.
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, tindakan
dilakukan Umno mengiklan isu tuntutan royalti sebagai langkah yang amat
terdesak.
Katanya, mereka cuba menghalalkan cara dengan cara menafikan hak yang 
sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan.
Malah
menurut beliau penjelasan tersebut tidak menyelesaikan masalah
sebaliknya telah menggelirukan rakyat kerana bertentangan dengan apa
yang mereka fahami sebelum ini.
“Rakyat sudah faham dengan
penjelasan yang diberi pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah. Mana
rakyat lebih percaya orang yang bertanggungjawab menubuh Petronas
dengan pemimpin baru yang tidak faham apa-apa,” katanya.


      

Kirim email ke