Islam itu mudah, yang susah adat Melayu. Yang wajib akad nikah dan hidup 
berumah tangga menurut syariat Islam. Kenduri kendara hanya sunat, tak mampu , 
tak payah buat. Buat apa susahkan diri kalau tak mampu dengan pelamin, 
bersanding, hantaran berdulang-dulang, karaoke, bunga telur, kad jemputan wangi 
dan pelbagai lagi ?

Komen saya sebelum ini mengenai kenduri kahwin di 
http://waghih.blogspot.com/2010/02/buat-kenduri-kahwin-ikut-kemampuan.html

*******************************
Hutang kahwin faktor rumah tangga retak
Harian Metro 2 Mac 2010

KUALA LUMPUR: Kegagalan pasangan melangsaikan hutang pernah dibuat untuk 
menghadapi kenduri besar sewaktu mula memasuki alam rumah tangga dikesan 
menjadi antara faktor penyumbang keretakan institusi perkahwinan.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jabatan Agama Islam 
Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abd Rani, berkata pihaknya mendapati memang ada 
kes cerai yang terbawa-bawa dengan masalah untuk membayar hutang terbabit.

Menurutnya, disebabkan hutang itu, ada pasangan mengungkit di kemudian hari dan 
secara tidak langsung memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga.

“Kegagalan membayar hutang terbabit bukanlah faktor besar, cuma sampingan saja. 
Berdasarkan kes, kami dapati faktor utama perceraian di pihak suami ialah tidak 
bertanggungjawab, suami curang, berfoya-foya, mendera isteri dan panas baran.

“Di pihak isteri pula faktor ialah isteri ingkar perintah suami, kemudian 
isteri lari keluar rumah, tak bertanggungjawab iaitu tidak menjalankan tugas 
sebagai isteri dengan sempurna, termasuklah tidak patuh,” katanya.

Statistik nikah, cerai dan rujuk direkodkan Jais bagi tempoh sehingga Julai 
tahun lalu, menunjukkan 2,247 kes perceraian di Selangor, tidak termasuk 
kawasan Hulu Langat, manakala rujuk dengan 356 kes dan perkahwinan sebanyak 
7,280 pasangan.

Bagi 2008, sebanyak 16,021 pasangan direkodkan melangsungkan perkahwinan 
manakala perceraian 4,069 kes, dengan rujuk 628 kes, meningkat berbanding tahun 
sebelumnya dengan 14,747 perkahwinan, 3,685 kes cerai dan 521 kes rujuk.

Mohd Hidayat berkata, pihaknya menyedari dengan angka kes perceraian yang masih 
kurang memuaskan dan untuk itu pelbagai usaha dilakukan, termasuk 
memperkenalkan program keluarga sakinah.

Katanya, program keluarga sakinah membabitkan lima modul dilancarkan Februari 
lalu dijangka dapat mengurangkan kadar perceraian sekali gus memperkasakan 
institusi perkahwinan pasangan Islam. “Modul program terbabit digarap dengan 
sempurna, menyentuh pelbagai aspek seperti akidah, kehidupan berkeluarga dan 
bermasyarakat, kesan gejala sosial seperti akibat daripada perzinaan dan 
maqasid (kepentingan) syariah,” katanya.

“Pelaksanaannya bukan saja tertumpu di ibu pejabat Jais, tetapi turut 
diperluaskan ke semua pejabat agama daerah dan tidak hanya terbatas di masjid, 
malah boleh disampaikan di pelbagai institusi,” katanya.

Beliau berkata, Jais juga sentiasa mengalu-alukan kunjungan pasangan Islam yang 
menghadapi kemusykilan dan masalah di alam rumah tangga.

“Kami di seluruh negeri mempunyai unit khidmat nasihat bersedia menerima 
kehadiran mana-mana pasangan untuk mendapatkan kaunseling dan nasihat, supaya 
dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hutangkahwinfaktorrumahtanggaretak/Article




Kirim email ke