Pesara tentera di Negeri Sembilan di bawah ini yang terlantar sakit hanya 
mahukan katil beroda.

**************************
Sinar Harian 6 Mac 2010

Katil beroda harapan warga emas

SERI MENANTI – Mungkin agak pelik, tetapi itulah yang berlaku kepada seorang 
warga emas di Kampung Padang Biawas, di sini, apabila hanya dapat mandi 
seminggu sekali.

Ini kerana ketiadaan bekalan air bersih serta kemudahan peralatan mencukupi 
memandangkan warga emas berkenaan, Raja Zainuddin Raja Said, 74, juga terlantar 
sakit.

Bekas tentera Rejimen Askar Melayu itu berharap supaya satu hari nanti 
mempunyai kemudahan seperti katil beroda bagi memudahkan isterinya Tenku 
Khadimah Tenku Mahadi, 75, membantu membersihkan badannya, memandangkan hanya 
mereka berdua tinggal di rumah berkenaan.

Bagaimanapun, keupayaan Tenku Khadimah agak terhad kerana menghidap penyakit 
jantung, darah tinggi dan kencing manis selain keupayaan untuk mengangkat 
suaminya itu juga semakin berkurangan.

Difahamkan, Zainuddin tidak boleh menguruskan dirinya sendiri sejak jatuh di 
tandas kira-kira lapan bulan lalu, sehingga menyebabkan kakinya sakit dan kini 
hanya mampu terlantar di atas katil.

“Akibat jatuh di bilik mandi, saya tidak boleh berjalan dan kini terbaring. 
Minum dan makan juga tidak boleh. Saya makan bubur sahaja. Isterilah yang 
menemani saya sepanjang hari.

“Walaupun ada anak seramai tujuh orang, tetapi mereka sibuk bekerja di 
Seremban. Namun mereka tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai seorang anak. 
Sentiasa datang melihat keadaan saya dan isteri walaupun seminggu sekali.

Menurutnya, anak-anaknya pernah berusaha membawa ke hospital untuk menerima 
rawatan lanjut berkenaan tulang belakang yang telah lari daripada kedudukan 
asal akibat terjatuh tetapi tiada perkembangan baik dan kekal seperti itu juga.

Menantu perem- puannya, Rabinah Anim Hamzah, 45, berkata, bapa mentuanya perlu 
diberi perhatian bukan saja penjagaan rapi, malah dari segi kasih sayang.

Beliau berkata, kos rawatan bapa mentuanya itu mencecah kira-kira RM500 sebulan.

Zainuddin berkata, dia hanya mohon sebuah katil memudahkan pergerakan di 
samping meringankan beban isterinya.

“Saya hanya mohon katil beroda kepada pihak berkaitan memandangkan keadaan saya 
yang terlantar. Tidak mampu bergerak hanya dibantu oleh anak-anak sahaja. Buat 
masa ini saya memiliki kerusi roda tetapi sukar untuk bergerak,” katanya yang 
tidak pernah mohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6900816.asp




Kirim email ke