Al-FATIHAH MENYUSUN STRUKTUR PERASAAN DAN FIKIRAN INSAN
Pujian yang seluas-luasnya hanya layak dipanjatkan kepada Allah SWT yang telah menetapkan segala musabab sehingga sebab-sebab agar tercapainya sebuah keinginan menjadi kenyataan. Allah SWT sahajahlah yang layak mendapat pujian atas apa yang telah terlaksana. Sungguh diri mengakui kelemahan yang hakikatnya tidak mampu mencapai apa-apa melainkan dengan persetujuan dan ketentuan Allah yang Maha segala Maha. Selawat dan salam tidak terlupakan untuk nabi Muhammad SAW yang sangat mulia dengan akhlaknya. Kegigihannya menjalani kehidupan manusiawi sambil mengemban amanat suci menjadi ingatan kita sepanjang hayat. Sabarnya baginda sehingga rela menderita asalkan risalah ini sampai ke pangkuan kita. Allah SWT dan para malaikat bersalawat ke atasmu ya Rasulallah.. Alhamdulillah, tiada kata yang mampu terucap melainkan ungkapan rasa syukur. Siapa yang menyangka pada akhirnya sebuah buku berjaya disiapkan. Kami sangat menyedari kelemahan diri, kekurangan ilmu dan ketumpulan analisa, namun kami masih memaksakan diri untuk berani menulis. Semoga Allah menghadiahkan kami 'tawfiq dalam amal, setelah usaha memahami dan memahamkan dilaksanakan. Semoga Allah menjadikan kami seorang yang semakin tersuluh sinar hidayah dengan ilmu dan bukan yang semakin jauh dari Allah karena ilmu. *Manizdada 'ilman lam yazdad hudan lam yazdad minallahi illa bu'dan! Wal 'iyazubillah!* Surah Al-Fatihah bukanlah sebuah surah yang asing bagi kita umat Islam. Lafaznya lancar mengalir dari lidah kita. Keseringan kita melantunkan ayat-ayat surah ini sehingga 17 kali sehari seharusnya menghantarkan kita kepada sebuah keadaan yang menginsafkan kita dan menjadikan kita terkesima akan keagungan makna yang terkandung disebalik ayat-ayatnya yang tersurat. Namun adakah lantunan yang mengalir dari lidah kita itu menyapa minda untuk merenung dan menyirami hati agar segar bertenaga!? Pernah suatu ketika Ustaz Amru Khaled, seorang dai terkemuka di Timur Tengah melaksanakan solat berjemaah di masjid. Seorang pemuda disebelahnya menangis ketika sedang solat. Penuh kekhusyukan. Usai solat beliau bertanya, "Sahabat, apa yang menyebabkan anda menangis ketika solat tadi?" Pemuda itu menjelaskan dengan semangat, "Saya ingin menikmati khusyuk di dalam solat, maka saya hadirkan ke dalam minda peristiwa yang mampu membuatkan saya menangis seperti peristiwa kelakuan dosa yang pernah saya lakukan, dengan harapan Allah SWT memperhatikan kesungguhan ibadah saya.." Beliau diam seketika sebelum menjawap. "Sahabat, bukan begitu caranya kita menimbulkan perasaan khusyuk di dalam solat. Allah SWT sengaja mensyariatkan agar imam memperdengarkan bacaannya ketika solat. Pensyariatan itu pasti mempunyai sebab dan tujuan yang tertentu." Al-Quran adalah kalamullah sedangkan solat adalah sebuah bentuk interaksi yang formal bersifat ritual antara Allah dan manusia. Maka, ketika disyariatkan kita membaca kalamullah dalam solat, ia seakan-akan menyuruh kita untuk mendengar dan menyimak apa yang Allah perkatakan kepada kita dalam interaksi formal kita dengan Allah. Bagaimana mungkin ketika imam membacakan ayat mengenai pembahagian harta warisan lalu kita sebagai makmum membayangkan tentang dosa dan menangis! Adakah itu yang dinamakan khusyuk!? Mungkin beliau mengatakan hal sebegini kepada pemuda itu atas dasar mereka memang berbangsa arab. Tidak pelik jika ada ulamak yang sangat menekankan pemahaman bahasa Arab bagi masyarakat muslim bahkan ada diantara mereka yang mewajibkan. Perbincangan mengenai hal di atas sangat relevan. Bagaimana mungkin ayat-ayat Allah akan memberikan kesan kepada manusia jika ia dibaca tanpa pemahaman? Sudut pandang inilah yang pada mulanya memberikan inspirasi untuk menyumbang sesuatu kepada diri sendiri. Maka usaha meningkatkan pemahaman mengenai Al-Fatihah dilakukan. Demi mencapai tujuan ini, kami dengan sukarelanya telah menawarkan kepada sahabat-sahabat untuk mengkongsikan hasil usaha ini bersama mereka. Maka, terbentuklah sebuah halaqah kecil membahaskan ayat-ayat Al-Fatihah di sebuah markaz milik Akademi Al-Quran Medik Malaysia yang berada di sebuah sudut kota kaherah. Ayat demi ayat diperbincangkan. Suatu yang agung yang tidak dimiliki surah-surah lain adalah kelengkapan makna yang terkandung di dalam surah ini. Maha suci Allah yang telah meletakan surah ini di urutan pertama Al-Quran. Maka tepatlah ia dengan namanya iaitu Fatihah atau pembuka. Ia seakan-akan menjadi pintu kepada segala topik yang diperbincangkan Al-Quran. Tidak hairanlah jika ia turut digelar ummul furqan atau ummul kitab kerana ia umpama jantung yang memainkan peranan yang cukup besar dalam keseluruhan (holistik) sebuah Al-Quran. Hal ini jelas terasa ketika diperintahkan membaca ayat-ayat yang termampu dari Al-Quran setelah bacaan Al-Fatihah dalam solat. Wujud keterkaitan yang nyata antara Al-Fatihah dan apa saja ayat dari Al-Quran. Persoalan yang timbul, adakah ke-holistik-an Al-Fatihah dan kesinambungannya dengan segala topik perbincangan di dalam Al-Quran, disedari dan dihayati oleh setiap individu yang membaca Al-Fatihah? Atau, Al-Fatihah masih lagi menjadi sebuah mantera yang hanya perlu dibacakan tanpa perlu memahami isi kandungannya? Buku ini, masih membicarakan Al-Fatihah dengan segala maknanya yang terkandung di dalam kitab-kitab tafsir yang terkemuka. Usaha saya disini bukanlah menghadirkan makna atau pemahaman baru di dalam Al-Fatihah. Tetapi apa yang menjadi fokus adalah bagaimana Al-Fatihah yang selama ini kita pahami ini, memberikan sebuah suntikan baru sehingga membentuk sebuah kitaran yang saling terkait antara satu dengan yang lain. Keterkaitan kita selaku makhluk yang dicipta tidak pernah terlepas dari Zat yang mencipta kita. Keterkaitan kita sebagai hamba yang bertugas mempersembahkan tidak akan terpisah dari Zat yang selayaknya menerima persembahan itu. Keterkaitan kita antara kehendak dan ketentuan atau ketetapan. Keterkaitan-keterkaitan yang tanpa penghujung ini perlu disatukan kemudian disusun sehingga menjadi sebuah tatanan yang jelas di mana permulaannya dan di mana pula penghujungnya. Ke-holistik-an Al-Fatihah menjadikan usaha menyusun struktur itu menjadi mudah dan tepat kerana *big picture* itu dirumus dalam satu formula yang sederhana, ringkas tanpa mengurangkan mana-mana aspek atau menggugurkan mana-mana inti. Maha suci Allah yang memperlihatkan sisi *'ijaz*nya Al-Quran di sini. '*Al-Fatihah Menyusun Struktur Perasaan dan Fikiran Insan*<http://i185.photobucket.com/albums/x314/attaqiyyubillahi/Untitled-1-2.jpg>' yang diterbitkan oleh *Pelima Media Sdn Bhd*<http://pelimamedia.blogspot.com/>ini, sangat sesuai untuk dibaca oleh mereka yang bakal menempuh kehidupan sebagai *mukallaf. *Ia insyaAllah berupaya membuka minda pembaca agar dapat melihat di mana kedudukan dirinya di dalam sebuah *big picture* di hadapan Allah. Atau dalam bahasa lain, ia memperkenalkan seseorang siapa dirinya dan apa tujuannya dihidupkan. Al-Fatihah sendiri telah disifatkan oleh ramai ulama sebagai 'manhajul hayat' yang menjaga corak dan pola kehidupan seorang muslim. Maka, ia adalah suatu topik yang sangat baik dibaca oleh golongan ini. Selain golongan ini, golongan dewasa juga sesuai menjadikan buku ini sebagai sebuah *tazkirah* yang segar. Ia mensajikan maklumat-maklumat yang pernah kita dengar dengan sajian yang menarik dan dibahas dari sudut-sudut yang pelbagai. Sebagaimana Al-Fatihah setiap kali ia dibaca menghadirkan makna yang baru diminda kita sesuai dengan keadaan dan situasi yang kita alami. Maka, buku ini juga menghadirkan rangsangan-rangsan itu kepada minda dan hati sebagai wakil kepada fikiran dan perasaan. Suka juga saya cadangkan jika buku ini dihadiahkan kepada mereka yang baru ingin mengenal Islam. Ia akan menjadi sebuah buku yang tepat memandangkan kandungan Al-Fatihah itu sendiri menyediakan maklumat yang padat dan menyeluruh umpama wajah sempurna bagi Islam. Kita perlu mengakui bahawa buku ini tidak tepat jika dikategorikan sebagai buku tafsir. Buku tafsir mempunyai ciri-ciri dan kriteria-kriteria yang khusus sehingga ia menjadi sebuah disiplin ilmu yang kukuh. Buku ini bukan ditulis untuk tujuan itu. Maka, bagi mereka yang ingin membahas Al-Fatihah dari sudut disiplin ilmu maka ini bukanlah buku yang tepat hanya saja buku ini tidak kehausan mutiara ilmu pengukuh dan penguat isi kandungan yang ingin diketengahkan. Pada akhirnya sebagai penulis, saya perlu mengakui bahawa buku ini sangat kaya dengan kekurangan dan cacat cela. Namun tanpa malu saya menadahkan tangan kepada Sang Maha Pemberi petunjuk agar kebaikan yang sedikit yang terkandung di dalam buku ini terpancar jelas sehingga menutupi kekurangannya yang begitu banyak. *Allahumma amien*. Sungguh kepadaMu ya Allah kami persembahkan usaha kecil ini. Semoga ia sentiasa menjadi pedoman bagi diriku sebagai penulis yang mengemis hidayah dariMu sebagaimana besarnya harapan kami agar ia menjadi manfaat kepada para pembaca. Semoga segala yang baik terus mengalir dan memenuhi atmosfera kita ini umpama haruman kasturi yang tersebar ke seluruh penjuru. Semoga buah tangan yang tak seberapa ini mengukir senyuman anda ketika melangkah meninggalkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010<http://www.kualalumpurbookfair.com/>. Selamat membaca dan semoga peroleh manfaat! attaqiyyubillahi Nasr City, Cairo, Egypt http://taqeyyabella.naemy.net
