Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
[email protected]
2010/03/15
 
KUALA LUMPUR: Dia langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, jauh 
sekali menggenggam segulung ijazah, namun seorang warga emas berlagak ala 
profesor apabila dikesan merumus ribuan botol ubat sakit sendi dan pil 
rangsangan seks. Kegiatan `profesor gila' itu cukup berbahaya berikutan 
kebanyakan ubat-ubatan dihasilkannya menggunakan resipi pelbagai campuran bahan 
kimia berbahaya yang boleh mengancam nyawa penghidap sakit sendi dan mati pucuk.

Hasil kegiatan haramnya, warga emas terbabit mampu memiliki rumah dan deretan 
kereta mewah, dipercayai hasil kegiatan menjual ubat beracun berkenaan.

Kegiatan lelaki berusia lewat 60-an itu terbongkar apabila sepasukan pegawai 
penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan menyerbu rumahnya di Sungai Petani, 
Kedah, semalam.

Dalam operasi jam 9.30 pagi itu, pegawai penguat kuasa farmasi melakukan 
serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat selepas pemiliknya dikesan menjadi 
dalang penjualan pelbagai ubat-ubatan tradisional dan rangsangan seks.

Sumber penguat kuasa farmasi berkata, kediaman mewah yang dikawal beberapa 
anjing itu dikesan menjadi lokasi memproses dan mengilang pelbagai ubat-ubatan 
tradisional Cina yang sengaja dicampur bahan kimia berbahaya termasuk 
sildenafil dan steroid.
“Kedua-dua racun berbahaya itu boleh merosakkan sistem tubuh, mengakibatkan 
tulang reput selain mengancam nyawa orang ramai yang mengambilnya tanpa kawalan.

“Ramuan sulit lelaki itu dibongkar selepas pihak farmasi menjalankan siasatan 
rapi bagi mengesan `kilang' haram terbabit yang menjadi pengeluar utama 
ubat-ubatan berbahaya di pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan suspek sedang sibuk memasukkan cecair ubat-ubatan 
yang dirumusnya sendiri ke dalam botol kecil untuk dipasarkan.

“Ketika disoal siasat, suspek mulanya enggan mengaku menghasilkan sendiri ubat 
haram terbabit, sebaliknya mendakwa ia diimport dari China berdasarkan label 
pada botol. “Namun, penemuan pelbagai bahan mentah untuk membuat ubat-ubatan 
membuktikan segala-segalanya. Malah pegawai farmasi turut menemui pelekat 
hologram palsu kementerian yang ditampal pada kotak produk untuk mengelirukan 
pengguna,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat, lelaki itu mendakwa turut mengupah beberapa 
individu untuk membancuh ubat-ubatan haram terbabit.

“Malah, lelaki itu mengaku tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik dalam 
bidang perubatan atau menghasilkan ubat-ubatan tradisional. Semuanya dilakukan 
hasil kerja `suka-suka' selain berdasarkan maklumat dikumpulkan daripada 
rakan-rakan.

“Antara ubat-ubatan dirampas ialah pil ubat batuk cap Ibu, kapsul Renseng Du, 
kapsul Chu Fong Kee Sar dan pil ubat batuk yang semuanya menggunakan nombor 
pendaftaran MAL palsu dan disahkan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa 
Kawalan Dadah KKM,” katanya.

Menurutnya, semua produk termasuk mesin yang digunakan untuk pengilangan haram 
itu bernilai hampir RM200,000 kemudian dirampas.

“Kes disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 (Disemak 1989) dan Akta Racun 
1952. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda RM25,000 atau tiga tahun 
penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya
 
            
CINTA IBARATKAN KUPU2 YANG BERTERBANGAN, BUKAN MUDAH TUK MEMILIKI CINTA SEJATI, 
HANYA KETAQWAAN KEPADA_NYA, MAKA CINTA ITU ADALAH YANG TERINDAH
JOM SINGGAH DULU YE
PETUA KULIT CANTIK..
SMS MURAH2


      

Kirim email ke