KENYATAAN PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG (CAP)

Coca-Cola: Pelaburan tidak baik untuk komuniti, kesihatan awam
CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat bimbang apabila mendapati 
Syarikat Coca-Cola akan mendirikan kilang pembotolan minumannya di Negeri 
Sembilan, Malaysia. Ketika majlis pecah tanah yang diadakan pada 16 Mac 2010 di 
Bandar Enstek, Nilai, wakil syarikat menyatakan bahawa Coca-Cola akan menguasai 
pasaran minuman tempatan yang akan mensasarkan lebih daripada 60% penduduk 
iaitu mereka yang berusia di bawah 30 tahun.

Minuman Coca-Cola itu sendiri sebenarnya tidak elok, ia tidak lebih daripada 
karbonat, pewarna, asid, perisa, air yang dimaniskan yang berbahaya kepada 
kesihatan. Syarikat Coca-Cola juga tidak dapat lari daripada kontroversi kerana 
didakwa mencabuli hak asasi manusia dan alam sekitar di beberapa buah negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa minuman ringan yang dipenuhi dengan gula seperti 
Coca-Cola mempunyai kesan negatif ke atas kesihatan. Malaysia merupakan negara 
ke-8 pengguna gula tertinggi di dunia dengan purata 26 sudu teh gula sehari 
diambil oleh setiap rakyat Malaysia.

Ujian oleh CAP mendapati minuman ringan di dalam tin mempunyai kandungan gula 
antara 4 – 8 sudu teh dan Coca-Cola mengandungi 7 sudu teh gula. Apabila 
Syarikat Coca-Cola merancang untuk mensasarkan belia Malaysia, kami bimbang 
akan implikasi kesihatan yang akan dibawa olehnya.

Gula bukanlah sebahagian daripada diet semula jadi kita, jadi walaupun satu tin 
minuman ringan diambil sehari, ia adalah tidak sihat dan tidak perlu sama 
sekali. Malah pada hakikatnya terdapat lebih daripada 60 penyakit yang telah 
dikaitkan dengan pengambilan gula dalam dokumen perubatan. Kerajaan Malaysia 
melalui kementeriannya menjalankan kempen untuk mengurangkan pengambilan gula. 
Adalah menjadi satu ironi untuk membenarkan pembinaan kilang Coca-Cola di 
Malaysia memandangkan ia jelas merendahkan usaha untuk mengurangkan pengambilan 
gula.

Kami amat bimbang bahawa lebih ramai orang yang akan dijangkiti dengan penyakit 
yang dikaitkan dengan gula dan obesiti dengan menjemput Syarikat Coca-Cola 
untuk membina kilang pembotolan di negara ini dan berdasarkan strategi 
pemasarannya. Adakah kerajaan melakukan penyelidikan yang sempurna sebelum 
meluluskan pelaburan ini, yang jelas diluluskan secara cepat sepertimana yang 
dilaporkan bahawa syarikat itu hanya mengambil masa empat bulan selepas 
perbincangan awal untuk menubuhkan kilang itu di sini.

Bagaimana dengan permintaan untuk air bagi kilang ini? Berapa banyakkah air 
yang akan digunakan oleh kilang ini dan dari mana sumber air ini akan diambil? 
Baru-baru ini terdapat laporan berhubung catuan air di Seremban akibat kemarau 
panjang dan kekurangan hujan di kawasan tadahan air. Kekurangan air ini akan 
kerap berlaku akibat kesan daripada perubahan iklim.

Selepas kilang Coca-Cola ini mula beroperasi, kami bimbang air yang amat 
diperlukan oleh orang ramai ini akan dialihkan kepada pihak industri. Perkara 
ini perlu diambil serius memandangkan Syarikat Coca-Cola mempunyai reputasi 
yang buruk dalam bentuk konflik dengan komuniti dalam perjuangan mereka untuk 
mendapatkan air. Jawapan kepada kekurangan air bukanlah dengan membina lebih 
banyak empangan kerana empangan boleh menyebabkan kesan negatif kepada alam 
sekitar.

Perjuangan untuk mempertahankan alam sekitar terhadap Coca-Cola di India 
seharusnya menjadi amaran kepada kita. Amalan Syarikat Coca-Cola di beberapa 
negeri di India telah mengakibatkan kesukaran kepada komuniti, ia termasuklah 
kekurangan air yang serius, pencemaran, masalah kesihatan, kelaparan dan 
kehilangan pendapatan daripada pertanian.

Rekod buruk Coca-Cola tidak terhad kepada India sahaja, ia juga berdepan dengan 
dakwaan pencabulan hak asasi manusia, pencabulan terhadap buruh dan pencabulan 
terhadap buruh kontrak di Colombia, Turki, Pakistan, China, Afrika Selatan, dan 
Guatemala.

Kami berpendapat pembinaan kilang Syarikat Coca-Cola ini akan menjejaskan 
komuniti, kesihatan awam dan alam sekitar. Sehubungan itu, CAP menuntut agar 
kerajaan Malaysia membatalkan rancangan untuk membina kilang Coca-Cola di 
negara ini.

SM Mohamed Idris,
Presiden CAP

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=25579:coca-cola-pelaburan-tidak-baik-untuk-komuniti-kesihatan-awam-&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131




Kirim email ke