SAYA berkahwin kira-kira enam tahun. Akhir-akhir ini, saya mengesyaki suami 
menipu mengatakan dia bekerja tetapi sebenarnya ke Genting Highlands, mungkin 
untuk berjudi. 
Saya mengetahui pergerakan suami dengan memasang alat 'friend and family 
finder' apabila kita boleh mengetahui lokasi seseorang melalui frekuensi 
telefon bimbitnya. 

Suami juga panas baran dan jarang bersolat kecuali bila dia rasa senang, tapi 
hanya sembahyang Jumaat. 

Saya sudah lama bersabar dan menasihatinya berkali-kali. Saya tidak mahu makan 
duit haramnya, tapi dia marahkan saya.

Saya sayangkan dia, tapi ada masanya hendak berpisah apatah lagi rasa ini tidak 
dirahmati Allah apabila hidup dan tinggal dengan kaki judi.

Apa hukum makan duit daripada perjudian dan bolehkah saya berpisah dengan suami 
kerana perbuatannya itu?

AZIMMIZA

Kuala Lumpur

JUDI adalah penyakit masyarakat yang banyak membawa kesan buruk kepada 
individu, keluarga dan negara. Sebab itu Islam mengharamkan perjudian.

Ini jelas apabila Allah berfirman: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) 
mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada 
pula manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada 
manfaatnya. Dan mereka bertanya kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan 
(dermakan)? Katakanlah: (Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan 
(kamu)". Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (keterangan 
hukum-Nya) supaya kamu berfikir. (al-Quran al-Baqarah ayat 219).

Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan 
mengundi nasib dengan batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada 
perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. 
Sesungguhnya syaitan itu hanya bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan 
kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi serta mahu memalingkan kamu 
daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, 
mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau 
kamu masih berdegil)? (al-Quran, al-Maidah ayat 90-91).

Amalan berjudi bertentangan dengan Islam yang menuntut umatnya berusaha keras 
secara bekerja. Berjudi adalah cara mudah bagi mendapatkan wang tanpa bekerja. 
Harta yang ada pula dihabiskan secara tidak sah dan dilarang apabila terbabit 
dengan judi. Islam melarang perpindahan harta secara tidak sah tanpa jual beli 
dan sebagainya. Judi juga boleh membawa permusuhan dalam keluarga dan 
masyarakat. Mereka yang terbabit dalam aktiviti perjudian akan mengabaikan 
tanggungjawab dan kewajipan agama, keluarga dan masyarakat. Dengan sebab itu, 
mana-mana individu dan masyarakat yang mengamalkan budaya judi akhirnya akan 
hancur. 

Apabila suami menjadi kaki judi dan banyak nasihat sudah diberikan, anda boleh 
memilih untuk berpisah dengannya. Lebih-lebih lagi apabila suami tidak 
menjalankan tanggungjawab keluarga seperti memberi nafkah dan sebagainya. 
Mudah-mudah ia membawa keinsafan kepada suami dan kebaikan kepada anda.


      
_______________________________________________________________________________________
Connect instantly with friends on your blog and personal website. Create your 
latest Pingbox today! http://my.messenger.yahoo.com/pingbox

Kirim email ke