PETIKAN BLOG i FOLLOW : http://genta-rasa.com
IJAB JANGAN TERHIJAB!

* <http://gentarasa.files.wordpress.com/2010/03/nikah.jpg>
*

**

*Minggu ini terlalu banyak peristiwa yang dialami. Perpisahan, kematian dan
pertemuan. Mudah-mudahan, Allah kurniakan kekuatan untuk menulis semuanya
nanti. Masih sayu kerana kepulangan insan yang banyak berbudi. Semoga rohnya
di tempatkan di kalangan para solehin. *

*Namun, buat pembaca dan pengunjung blog ini, saya tinggalkan satu tulisan…
Ya, buat yang baru bernikah atau yang baru menjadi bapa atau ibu mertua,
terimalah “hadiah” yang tidak sepertinya ini..*.* *

*IJAB JANGAN TERHIJAB!*

Dahulu melafaz qabul, “aku terima nikah…” Sebentar tadi baru melafazkan
ijab, “aku nikahkan akan dikau.” Puluhan tahun berlalu. Jarum waktu bergerak
begitu laju dalam arlogi takdir dan tadbir. Kalau dulu hatiku bergetar
kerana menerima tanggung-jawab, kini hatiku bimbang kerana ’melepaskan’
tanggung-jawab.

Bagaimana, mampukah aku mendidik isteriku? Begitulah suara hati ketika
tanganku bersalaman dengan Qadi puluhan tahun yang lalu. Sejuk, dingin,
terasa meresap ke seluruh anggota. Sejak saat itu ’masjid’ yang dibina
menagih seribu usaha, sejuta setia. Telah banyak kepedihan yang ditagih
menjadi baja keteguhan. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah
keindahan hidup. Yakin hakikat itu… suami-isteri berkayuh air mata menongkah
badai gelora!

Jika matlamat telah tepat, apakah ada pilihan lain selain meneruskan
perjalanan?Layang-layang hanya naik apabila melawan angin, bukan
mengikutnya. Dan begitulah jua hidup ini, dengan ujian barulah naik darjat
kita di sisi Allah.

Hidup selagi hidup. Jangan hidup sebagai bangkai bernyawa, yang hilang
semangat dan upaya.Kata bijak pandai, “jika tidak ada apa yang boleh
menggembirakanmu, jika tidak ada apa yang boleh menyedihkanmu, dan jika
tidak ada apa lagi yang ingin kau perjuangankan dalam hidupmu… Itu
petandanya kau sudah mati.

Zahirnya sahaja kau masih bernyawa, tetapi hakikatnya kau adalah ‘mayat’
dalam keranda maya.” Alhamdulilah, sampai kini aku masih mampu ketawa dan
menangis… masih menyala cita-cita dan harapan… petanda aku masih hidup.

Itu ceritaku sewaktu bernikah dulu. Tetapi kini cerita anakku. Maaf,
hakikatnya ini bukan ceritaku, tetapi cerita kita – rumahtanga ayah-ibu
sebagai pantulan rumahtanga anak-menantu. Ketika ku lepaskan kalimah ijab,
baru kusedar bahawa kekadang ’melepaskan’ tanggungjawab adalah lebih berat
daripada menerimanya. Apakah anakku (dan anakmu jua) akan tega dan rela
menjadi isteri sesetia ibunya? Apakah dia akan menerima segala ’kekurangan’
suami sebagai kesempurnaan dalam rumahtangga?

Tempoh bulan madu akan segera berlalu. Pelangi yang kelihatan indah di atas
kepala kita akan mula berarak ke kepala orang lain. Ingat pesanan ayah-ibu
sejak dahulu: Kebaikan mesti bermula daripada kita.

Hukum lantunan dalam kehidupan tidak akan pernah berubah – orang yang
pertama mendapat manfaat daripada satu kebaikan ialah orang yang
melakukannya. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum.
Justeru, jadilah ’tangan itu’.

Memberi akan lebih gembira daripada menerima… dengan syarat pemberian itu
disertai kasih-sayang. Sekiranya, rumah-tanggamu nanti diuji (ingat, ini
pasti)… dan kau dan suami tidak segembira saat ini, renungilah kata-kata
ini: Itu petanda kau sudah kurang ’memberi’ – memberi kasih-sayang,
perhatian, masa, doa dan segalanya.

Mengapa kurang memberi? Jawabnya, kerana tidak gembira untuk memberi.
Mengapa tidak gembira? Jawabnya, kerana kurangnya kasih-sayang. Kenapa
kasih-sayang berkurang? Jawabnya, kerana lemahnya iman. Iman itu sumber
kasih-sayang. Iman itu sumbu pada lentera perkahwinan. Tanpanya, ijab akan
terhijab!

Lalu di hari bahagia mu ketika di satukan, ayah ingin berpesan. Inilah pesan
ayah seadanya:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi
Allah Tuhan Sekalian Alam. Syukur ke atas anugerah-Nya yang melimpah tanpa
dapat dihitung apatah lagi dibalas oleh hamba-hamba-Nya.

Selawat serta salam kepada Nabi Muhammad SAW yang telah menunjukkan teladan
terbaik sebagai seorang anak, suami, ayah dan datuk yang berjaya memimpin
keluarganya, demi kebahagian dunia dan akhirat.

Hari ini adalah hari yang paling bermakna ayah. Alhamdulillah, sebentar tadi
telah sempurnalah ijab kabul anak ayah. Semoga pernikahan ini diberkati
Allah dengan kebahagiaan berpanjangan dari dunia hinggalah ke syurga. Amin.

Sebagai ayah, hati ayah gembira bercampur sedih. Gembira, kerana anak ayah
telah mendapat pasangan pilihan hatinya dengan direstui oleh ayah. Sedih,
kerana ayah terpaksa melepaskan anak yang selama ini menyejukkan hati.

Sebentar tadi telah berpindahlah amanah dari tangan ayah kepada menantu
ayah. Ayah doakan amanah ini akan dijaga dengan sebaik-baiknya. Jauh di
sudut hati, ayah tetap yakin, Insya-Allah, Allah tidak akan mensia-siakan
harapan itu kerana kau adalah anak yang baik. Allah tidak akan sekali-kali
mengecewakan hamba-Nya yang baik. Insya-Allah.

Pesan ayah kepada anakanda yang dikasihi… berilah ketaatan dan kebaikan yang
selama ini kami rasai kepada suamimu nanti. Insya-Allah, kami juga akan
turut merasai keberkatan dan kebahagiaan itu.

Dan ayah yakin, walaupun telah mendirikan rumah tangganya sendiri, kau dan
suamimu akan terus berbakti kepada kedua ibu-bapa seperti biasa, malah akan
meningkat lagi. Insya-Allah.

Pergilah. Allah bersamamu. Doa ayah mengiringi setiap langkah di alam
rumahtangga mu nanti. Muga suamimu akan menjagamu seperti ayah menjagamu.
Ayah akan bersangka baik, justeru Allah itu menurut sangka hamba-hamba-Nya.
Insya-Allah bila kita bersangka baik, kita akan mendapat yang terbaik.

Akhirnya, ayah berdoa khusus untuk mu:

*Ya Allah kuatkanlah iman kami, satukan keluarga kami, dan kumpulkan
hati-hati kami diatas kecintaan kepadaMu, Ya Allah, Ya Karim.Kasihanilah
kami Ya Allah, Kasihanilah kaum keluarga kami Ya Rahim, Kau permudahkanlah
urusan kami dan luaskan rezki kami dengan rahmat-Mu. Ya Allah, Tuhan yang
mengasihani daripada segala yang mengasihani.*

*Ya Allah, Kau turunkanlah rahmat dan keberkatan di dalam rumah ini. Wahai
Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.*

*Ya Allah, Kau jadikanlah anak-anak kami ini dalam kalangan anak-anak yang
soleh dan solehah. Engkau jadikanlah isteri kami ini dalam kalangan isteri
yang solehah. Kau kurniakanlah kebahagian dan ketenangan di dalam
rumahtangga kami ini Ya Allah.*

*Ya Allah, Kau jadikanlan kaum keluarga kami daripada kalangan orang-orang
yang rajin mendirikan solat. Kau jadikanlah kaum keluarga kami dalam
kalangan orang-orang yang mentaati-Mu. Mudah-mudahan dengan ketaatan ini
akan menjadikan kami bertemu dalam keadaan yang baik di akhirat kelak.*

*Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami permintaan kami. Sesungguhnya
Engkau Maha mendengar lagi Maha Mengetahui dan terimalah taubat daripada
kami, wahai Tuhan Yang Maha Mulia. Sesungguhnya Engkau Maha penerima taubat
lagi Maha Pengasihani.*

**
(petikan: Dari Buku: *Di mana DIA di hatiku**?*)

Kirim email ke