Jika sesuatu penulisan itu diterbitkan, maka haruslah ada sasaran pembacanya. 
Begitu juga dengan profil syarikat yang mempunyai sasarannya yang tersendiri. 
Terdapat beberapa sebab profil syarikat penting dan perlu dalam sesebuah 
organisasi hari ini. Pendekatan penulisan yang berbeza dilakukan seiring dengan 
sasaran pembaca atau penilainya.

Kebiasaannya profil syarikat ini dibangunkan mengikut kepentingan seperti yang 
dinyatakan di bawah:


i. Pelanggan sasaran 

Profil syarikat ditulis bagi memberikan penerangan dan butiran berkenaan 
syarikat anda kepada pelanggan agar skop perniagaan dapat dilihat dengan jelas 
oleh pihak pelanggan khususnya.

Kebiasaannya, profil syarikat yang disediakan untuk pelanggan sasaran anda 
haruslah mengandungi segala maklumat dan kenyataan produk yang ingin 
disampaikan mengikut keperluan permintaan pelanggan sasaran tersebut. 

Contoh: 

Syarikat anda menjalankan perusahaan kosmetik, maka semestinya anda 
perbanyakkan maklumat mengenai kebaikan dan imej-imej produk yang ditawarkan 
dalam profil syarikat anda.


ii. Badan kerajaan 

Badan kerajaan merupakan sebahagian daripada kelompok sasaran pelanggan tetapi 
berbeza dari sudut keterampilan perbentangan profil syarikat, iaitu butiran dan 
kerja-kerja yang pernah dijalankan disediakan dengan terperinci. Hal ini 
demikian kerana anda berhubung dengan pihak kerajaan, maka sudah semestinya 
segalanya agak kompleks dan spesifik.

Bahagian kewangan selalunya menjadi isu apabila berhadapan dengan pelanggan 
bagi kategori ini. Hanya syarikat yang mempunyai kewangan yang kukuh mendapat 
menjadi perhatian. Oleh itu, harus diingatkan bahawa anda perlu menitikberatkan 
maklumat dalam bahagian ini. 

Sertakan juga maklumat kejayaan syarikat anda menyempurnakan kerja-kerja atau 
projek sepanjang syarikat ditubuhkan sebagai rujukan.


iii. Tender 

Kemasukan sesuatu tender memerlukan dokumen sampingan yang menjelaskan kekuatan 
sesebuah syarikat. Oleh itu, syarikat anda haruslah menyediakan profil syarikat 
yang lengkap dan menarik perhatian pihak penilai tender.

Jika syarikat anda terlibat dalam sesuatu kemasukan tender, dokumen sampingan 
yang relevan perlu disertakan sekali seperti brosur (brochure) produk atau 
perkhidmatan, imej-imej tertentu seperti lukisan pelan (jika terlibat dengan 
produk fizikal), salinan profil berbentuk cakera padat secara interaktif (ini 
adalah untuk mewujudkan kelainan) dan juga lampiran maklumat syarikat yang 
bekerjasama dengan syarikat anda seperti pembekal, tenaga kerja dan pengeluar 
bahan mentah.


iv. Institusi kewangan 

Profil syarikat juga diperlukan oleh pihak bank dalam menilai pertimbangan 
sesebuah syarikat untuk mengeluarkan pinjaman perniagaan. Aspek penting yang 
perlu diberi penekanan berkaitan dengan bahagian pengurusan kewangan. Segala 
projek atau kerja yang pernah dijalankan perlu dimasukkan dalam profil syarikat 
anda.

Anda haruslah memastikan segala maklumat tersebut adalah tepat dan sah bagi 
tujuan pemeriksaan dan rujukan institusi kewangan tersebut.


v. Pihak berkuasa tempatan

Kadangkala profil syarikat perlu diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan bagi 
tujuan kelulusan menjalankan perniagaan dan tujuan rekod. Profil jenis ini 
memadai dengan hanya membentangkan butiran perniagaan yang dijalankan. Anda 
tidak perlu memberikan data terperinci dan secara khusus. 

Hal ini demikian kerana kebiasaannya pihak berkuasa tempatan akan membuat 
rujukan berdasarkan profil syarikat jika berlaku sebarang masalah dan isu 
berbangkit terhadap sesebuah syarikat tersebut semasa atau setelah kerja-kerja 
dijalankan.

Artikel di atas dipetik daripada buku Aneka Contoh Profil Syarikat. Maklumat 
lanjut berkenaan buku ini boleh didapati dengan menghubungi Cik Nor di talian 
03-9019 5303 atau melayari web kami di www.books.perintis.com.my. 

Kirim email ke