Bukan di Pulau Pinang ye, tapi di Negeri Sembilan.

Laporan nasib malang peniaga-peniaga Melayu di Negeri Sembilan sebelum ini di 
http://pasns.blogspot.com/2010/04/nasib-malang-peniaga-melayu-nsembilan.html

*****************************
Rayu MPN pertimbang roboh gerai
Sinar Harian 13 April 2010

SENAWANG – Tiga rakan kongsi perniagaan kedai makan di Fasa 3 Taman Tuanku 
Jaafar (TTJ) berharap Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dapat mempertimbangkan 
kembali arahan merobohkan beberapa gerai di situ.

Mereka mendakwa, sebelum ini ketika mesyuarat diadakan secara bersama antara 
MPN dan peniaga di Fasa 1, 2 dan 3 TTJ, pihak Majlis memberitahu perpindahan 
peniaga di Fasa 3 akan ditangguhkan dahulu.

Sulaiman Abdul, 46, berkata, sememangnya dia mengakui berniaga tanpa 
menggunakan lesen namun segala urusan surat menyurat membuat permohonan 
mendapatkan lesen sudah dibuat tetapi tidak diluluskan.

“Saya minta lesen untuk berniaga di sini tetapi tidak diterima. Apabila kita 
berniaga di sini sejak beberapa bulan dan terpaksa mengeluarkan kos berpuluh 
ribu ringgit, MPN mahu robohkan dengan alasan tempat tidak sesuai.

“Kami tidak ganggu perjalanan orang lain dan saya sendiri sudah mendapatkan 
surat perjanjian menggunakan lokasi tanah persendirian untuk berniaga, tetapi 
tidak boleh juga,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya amat berharap masalah itu dapat dibincangkan semula 
MPN bersama peniaga yang rata-ratanya menjadikan sumber pendapatan utama.

“Isu ini mula timbul selepas peniaga Fasa 1 dan 2 membuat rungutan mengapa 
mereka sahaja perlu dipindahkan tidak kepada peniaga Fasa 3,” katanya.

Rakan kongsinya, Fauzi Mohd Zin 39, berkata, disebabkan masalah itu, dia mula 
buntu memikirkan bagaimana untuk mencari rezeki disebabkan tidak mempunyai 
pekerjaan lain.

“Sebelum ini saya berniaga kecil-kecilan, tetapi sekarang saya bersama rakan 
membuka kedai makan. Bagaimananpun, tiba-tiba jadi macam ini pula.

“Saya harap MPN dapat beri kelonggaran kepada kami untuk terus berniaga di sini 
kerana mahu menyediakan tapak kedai ini mengeluarkan modal ribuan ringgit,” 
katanya.

Sementara itu, Pembantu Setiausaha Persatuan Penduduk TTJ Selatan, Shamsul 
Kamal Ali, 36, berkata, sebagai penduduk yang tinggal di kawasan itu, dia amat 
berharap gerai itu dapat dibiarkan beroperasi di situ.

“Bayangkan kalau semua berpindah ke Medan Selera TTJ, jauh untuk kita membeli 
di sana. Malah, ini juga untuk keselamatan kanak-kanak kerana jika tidak mereka 
akan berjalan kaki untuk membeli makanan.

“Apa yang saya nampak gerai ini langsung tidak mengganggu penduduk dan berharap 
MPN dapat memberi kelonggaran kepada mereka untuk terus beroperasi,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini pernah mengeluarkan rungutan peniaga Fasa 1 dan 2 TTJ 
apabila tidak berpuas hati kerana peniaga di Fasa 3 boleh terus beroperasi 
seperti biasa sedangkan mengikut arahan sebenar semua peniaga perlu berpindah 
ke Medan Selara TTJ awal tahun ini.

Sinar Harian difahamkan peniaga gerai sementara di Fasa 1, 2 dan 3, Taman 
Tuanku Jaafar (TTJ) di sini sebenarnya diberi arahan berpindah pada Januari 
lalu, namun ketika itu penguatkuasaan lebih diberi keutamaan kepada peniaga 
Fasa 1 dan 2.

Dalam pada itu, sebelum ini Yang Dipertua MPN, Datuk Abd Halim Abd Latif pernah 
mengeluarkan kenyataan pihak majlis tidak memindahkan peniaga ke lokasi baru 
sewenang-wenangnya tanpa ada sebab munasabah hingga menjejaskan sumber 
pendapatan mereka.

“Gerai sebelum ini di lokasi lama sudah lebih 10 tahun dan kita menerima 
rungutan daripada penduduk setempat yang merasa kurang selesa dengan keadaan 
itu kerana gerai tersebut mengundang kesesakan lalu lintas.

“Jadi, kita ambil tindakan memindahkan mereka ke lokasi baru dan bukannya kita 
tidak bagi mereka berniaga sedangkan selama ini kita sudah terlalu lama 
membiarkan mereka berniaga di situ,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya berniaga dengan lesen dan di lokasi 
tidak menjejaskan orang lain.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7558762.asp




Kirim email ke