Miskin atau kaya ujian
Allah<http://laman-seri.blogspot.com/2009/04/miskin-atau-kaya-ujian-allah.html>

  <http://laman-seri.blogspot.com/2009/04/miskin-atau-kaya-ujian-allah.html>

<http://1.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/S7323BPpgJI/AAAAAAAAD6Q/HF8NtBthUSw/s1600/kaya+atau+miskin.jpg>
Assalamualaikum warahmatullah,

Firman Allah SWT, "Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia
dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka dia akan berkata: “Tuhanku
Telah memuliakanku.” Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi
rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku.”" (Surah Al-Fajr, ayat
15-16)

Meneliti kandungan ayat di atas Allah SWT telah memandu kita dalam memahami
situasi kehidupan manusia dengan lebih tepat dan betul. Ini kerana
sememangnya manusia sering menyalah tafsir apa yang terjadi di sekelilingnya.
Antara perkara yang disalah tafsirkan ialah soal kaya dan miskin, senang dan
susah.

Dua ayat dari surah Al-Fajr di atas secara jelas telah mendedahkan tentang
dua kumpulan manusia yang selalunya wujud dalam masyarakat. Golongan itu
ialah:

Golongan Pertama

Golongan yang dikurniakan kekayaan. Golongan ini adalah lapisan masyarakat
yang hidup dalam keadaan serba mewah dan memiliki wang yang serba cukup
untuk membeli apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Mereka mendakwa
bahawa nikmat kekayaan yang dimiliki adalah merupakan tanda kemuliaan dan
rahmat Tuhan kepada mereka.

Oleh itu biasanya golongan ini sentiasa mempamerkan kelebihan mereka dari
aspek material sama ada kenderaan, pakaian, makanan dan tempat kediaman
mereka. Mereka juga hidup di kawasan yang setaraf dengan mereka dan jauh
dari golongan miskin.

Termasuk di dalam golongan ini ialah mereka yang dikurniakan kedudukan dan
kemenangan dalam merebut jawatan pemimpin sesebuah organisasi mahupun
negara. Mereka mendakwa kedudukan tinggi ini adalah hasil kebenaran yang
dibawa. Pihak yang kalah pula didakwa sebagai tanda kesalahan dan tiadanya
perkenan dari Tuhan.

Daripada aspek sebuah masyarakat dan negara, kekayaan dan sumber alam yang
melimpah ruah juga didakwa sebagai lambang rahmat dan punca kemajuan negara.
Justeru para pemimpin seringkali mengaitkan kekayaan tersebut sebagai bukti
kebaikan dan kebijaksanaan memerintah negara.

Namun demikian Allah SWT telah membetulkan persepsi di atas dengan
firman-Nya yang bermaksud, "Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu
dia dimuliakan-Nya dan diberikan kesenangan, Maka dia akan berkata: “Tuhanku
telah memuliakanku.”" (Surah Al-Fajr, ayat 15)

Ayat ini menjelaskan tabiat majoriti manusia yang menilai kekayaan dan
kesenangan yang dimiliki sama ada dari aspek material mahupun pangkat. Ia
menjadi satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, sedangkan
semuanya adalah merupakan satu ujian kepada mereka.

Apakah kekayaan itu diurus berpandukan syariat Allah atau sebaliknya?
Seperti yang dihuraikan oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsirnya
Al-Munir. Allah SWT menempelak mereka yang membuat dakwaan seperti di atas.
Kerana pada hakikatnya kemuliaan di sisi Allah bukanlah diukur dari sudut
kekayaan tetapi diukur menurut ketakwaan dan keimanan seseorang seperti yang
dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya. Jika kaya sepatutnya
seseorang itu bersyukur dengan menambahkan amal kebajikan dan ibadah seperti
yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya. Ini kerana kekayaan
dan kesenangan biasanya akan menghanyutkan manusia dan membawa mereka kepada
kekufuran.

 Aniaya

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Qarun. Akibat dari kekayaan melimpah
ruah yang dikurniakan kepadanya telah menjerumuskannya ke lembah kekufuran
kepada Allah.

Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Nabi Musa, maka
ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya
perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah
orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya:
“Janganlah kamu terlalu bangga! Sesungguhnya Allah tidak menyukai
orang-orang yang terlalu membanggakan diri.”" (Surah Al-Qasas, ayat 76)

Juga apa yang berlaku kepada Firaun! Hasil segala kesenangan, kekayaan dan
kedudukan yang dimiliki menyebabkan ia kufur kepada Allah. Malah dengan
angkuh mengaku diri sebagai Tuhan yang amat berkuasa.

Sebagai muslim sewajarnya kita menyedari bahawa nikmat kekayaan dan
kesenangan adalah ujian yang amat sukar untuk dihadapi oleh manusia. Ini
kerana biasanya golongan kayalah yang selalunya hanyut dengan kehidupan dan
sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin keselamatan harta benda mereka.

Dalam sejarah kebangkitan Islam kita dapati golongan yang paling kuat
menentang dakwah Nabi Muhammad SAW adalah datang dari kalangan bangsawan dan
mereka yang berkedudukan di dalam masyarakat. Ini kerana kekayaan
menyebabkan mereka sombong dan bongkak lantas tidak mahu menerima kebenaran.

Golongan Kedua

Golongan kedua pula ialah golongan miskin. Biasanya golongan ini mempunyai
tanggapan bahawa kesempitan hidup dan kesusahan yang menimpa mereka adalah
merupakan satu bentuk penghinaan yang telah ditakdirkan ke atas mereka.
Selalunya mereka akan merasa rendah diri, tidak mahu berusaha dan sering
meminta-minta. Akibat dari tanggapan sedemikian menyebabkan adanya kalangan
golongan miskin yang tidak mahu mengabdikan diri kepada Allah kerana mereka
buruk sangka kepada-Nya.

Justeru Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Hampir-hampir kemiskinan boleh
membawa kepada kekufuran."

Allah telah menyatakan bahawa kemiskinan bukanlah tanda kebencian Tuhan atau
penghinaan tetapi ia merupakan satu bentuk ujian kepada manusia. Sama ada ia
dapat bersabar atau sebaliknya di dalam berhadapan dengan ujian ini. Firman
Allah SWT, "Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka
dia berkata: “Tuhanku menghinakanku.”" (Surah Al-Fajr, ayat 16)

Ujian berbentuk kemiskinan juga amat sukar dihadapi oleh manusia kerana
dengannya menyebabkan manusia terlalu bergantung kepada manusia yang lain
dan hilang pergantungan dengan Yang Maha Pencipta.

Kemiskinan boleh menyebabkan seseorang itu melakukan apa sahaja demi
mendapat sesuap nasi. Meskipun apa yang dilakukan adalah haram. Kemiskinan
juga boleh menjadikan seseorang menurut apa sahaja kehendak orang yang
berkuasa ke atasnya meskipun jelas ia adalah bertentangan dengan syariat
Allah. Di dalam sejarah tamadun manusia pemerintah yang kejam dan zalim
menjadikan kemiskinan sebagai senjata untuk mengongkong dan memeras ugut
rakyat agar terus memberikan sokongan kepadanya.

Kesimpulannya, kekayaan dan kemiskinan kedua-duanya adalah merupakan ujian
kepada manusia di dunia ini. Bagi yang kaya, kekayaan boleh menghanyutkan
mereka dalam arus kemurkaan Allah. Namun sebaliknya, jika kekayaan digunakan
sebaik-baiknya, ia boleh menjadi pendorong kepada ketakwaan kepada Allah
SWT.

Sebabnya, dengan kekayaan akan memberikan seseorang ruang seluas-luasnya
untuk bersedekah dan mendermakan harta ke jalan meningkatkan syiar Islam.
Kemiskinan pula boleh menjadikan seseorang terdorong melanggar larangan
Allah semata-mata untuk memperolehi harta kekayaan.

Namun kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang sentiasa insaf, ingat
kepada Allah dan bergantung dengan-Nya sepanjang masa. Malah Rasulullah SAW
amat suka berdampingan dengan golongan miskin kerana ia boleh melembutkan
hati dan menyuburkan sifat tawaduk dan rendah diri.

* ZURIDAN MOHD. DAUD ialah Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan,
Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang.

Sumber : 
Utusan<http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm>


--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya
untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak
dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih
tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga
kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya
seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul
mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah
segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat
Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke