Ada buaya di pantai Melaka pula.

Sebelum ini kisah buaya di pantai Port Dickson pada pautan berikut 
http://waghih.blogspot.com/2010/04/koleksi-artikel-kisah-buaya-di-port.html

Jarak antara Port Dickson dan Kuala Sungai Baru melalui laut lebih kurang 15 km

********************
Buaya muncul di pantai
Berita Harian 15 April 2010

Penduduk dakwa reptilia hanyut ketika air sungai pasang

KUALA SUNGAI BARU: Penduduk Kampung Baru, di sini, gempar apabila buaya tembaga 
yang dianggarkan sepanjang empat meter muncul secara tiba-tiba di kawasan 
pantai di situ, baru-baru ini. Penduduk yang menyaksikan kelibat buaya tersebut 
mendakwa buaya tembaga berwarna kekuningan itu dikatakan tersesat dan hanyut 
dibawa arus ketika air pasang dari sungai Kuala Sungai Baru sehingga memasuki 
Pantai Tanjung Keramat. Seorang penduduk, Jariah Nekmat, 55, berkata, beliau 
tergamam sebaik terlihat kelibat reptilia itu yang muncul lebih kurang jam 
12.00 tengah hari dengan separuh badannya timbul di permukaan dan bergerak 
perlahan menyusur pantai itu ketika air laut pasang.

"Pada mulanya saya terkejut juga sebab inilah pertama kali buaya muncul di 
laut, biasanya buaya hanya ditemui di sungai, tapi seumur hidup saya inilah 
pertama kali saya nampak dengan jelas buaya itu timbul di permukaan laut 
sebelum ia tenggelam semula.

"Tapi selepas beberapa minit melihatnya, timbul pula rasa seronok sebab bukan 
senang kita dapat melihat perkara unik seperti itu, kebetulan ia turut 
melibaskan ekornya di permukaan laut,” katanya.

Seorang nelayan pantai, Mustafa Puteh, 53, berkata, beliau hairan apabila buaya 
tembaga dewasa itu berlegar-legar di kawasan pantai Tanjung Keramat. Katanya, 
tidak pernah terlintas di fikiran penduduk, kawasan berkenaan menjadi laluan 
buaya sebesar itu.

"Saya perhatikan buaya itu berlegar-legar di kawasan Tanjung Keramat sekitar 15 
minit sambil tenggelam dan timbul seolah-olah mencari tempat perlindungan.

"Ia mungkin terkejut dengan suasana laut dan cubaan naik ke darat didapati 
penuh dengan pasir, ada pula kelibat manusia, jadi saya fikir ia lebih selesa 
berlegar-legar di laut,” katanya.

Sementara itu, Sidang Kampung Baru, Yaakub Basiron, ketika dimaklumkan 
kewujudan reptilia itu turut terkejut dan mengarahkan anak buahnya memantau 
haiwan berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian buruk menimpa penduduk.

"Saya bimbang kemunculannya boleh mendatangkan persepsi yang tidak baik di 
kalangan pengunjung pantai kerana buaya adalah sejenis hidupan liar yang ganas. 
Saya juga ingin menasihatkan penduduk supaya tidak cuba-cuba mengganggu buaya 
ini kerana bimbang ia akan bertindak ganas.

"Kita juga mahu pihak yang berkenaan membuat pemantauan di sepanjang kawasan 
pantai ini pada setiap masa kerana dikhuatiri buaya ini muncul semula selepas 
tersesat,” katanya.

Tinjauan Berita Harian pada hari berikutnya berjaya merakamkan aksi buaya 
berkenaan yang sedang bersidai di penghujung pantai berkenaan pada waktu senja 
sekali gus mengesahkan dakwaan penduduk kampung yang kini dalam keresahan.

Tambah membimbangkan apabila pihak yang mendakwa haiwan itu datang ke kawasan 
berkenaan kerana mencari pasangannya.

Beberapa pakar buaya yang mendakwa reptilia itu menuju ke sesuatu lokasi dengan 
tujuan khusus iaitu mencari pasangan untuk mengawan dan seterusnya bersarang di 
situ sebelum ia terus menjadikan kawasan terbabit sebagai tempat membiak.

Penduduk bimbang jika benar dakwaan itu, ia bermakna pantai berkenaan mungkin 
dihuni lebih daripada seekor buaya sekali gus mendedahkan mereka kepada bahaya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Buayamunculdipantai/Article




Kirim email ke