KENYATAAN MEDIA
NGO-NGO Malaysia Dan Wakil IHH Lancar Projek Lifeline 4 Gaza
KUALA LUMPUR, Selasa 13 April -- Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Malaysia
menyertai usaha konvoi antarabangsa bagi tujuan menerobos sekatan yang
dikenakan oleh rejim Zionis Israel dan menghantar barangan keperluan asas
kepada penduduk Gaza yang sekian lama dihalang daripada mendapatkan bantuan
kemanusiaan yang sangat mereka perlukan.
Beberapa NGO bersatu dan bekerjasama menganjurkan program-program dalam usaha
mengumpul dana daripada masyarakat Malaysia yang prihatin terhadap krisis
kemanusiaan ini melalui sebuah projek yang dinamakan “Lifeline4Gaza – Break The
Siege” ataupun “Talian Hayat Untuk Gaza – Menerobos Tembok Kematian.” Antara
pertubuhan tersebut termasuklah Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi
Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Jemaah Islah Malaysia (JIM), Palestinian Center of Excellence (PACE), Aqsa
Syarif, Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Dewan Pemuda), Pertubuhan Mawaddah
Malaysia, dan Viva Palestina Malaysia (VPM). Bagi menjayakan misi menghantar
bantuan ke Gaza ini, mereka akan menyertai usaha konvoi antarabangsa yang
diketuai oleh sebuah NGO dari Negara Turki iaitu Foundation for Human Rights &
Freedoms & Humanitarian Relief (Insan Hak ve Hurriyetleri – atau lebih dikenali
sebagai I.H.H.) bersama-sama
NGO-NGO antarabangsa yang lain seperti Free Gaza Movement dan European
Campaign to End the Siege on Gaza (ECESG.)
Dalam sidang akbar yang turut disertai oleh wakil IHH bagi bantuan Malaysia dan
Brunei Darussalam dan pemimpin-pemimpin NGO terbabit di Kuala Lumpur pagi ini,
Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman berharap agar kerjasama dan
sokongan erat daripada semua pihak di Malaysia akan dapat memberi kesedaran
akan jenayah yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis Israel dan sekutunya ke
atas penduduk Gaza dan Negara Palestin secara umumnya. Dengan kerjasama NGO
Malaysia terbabit, mereka akan dapat menggembeling tenaga, pengalaman, dan
komitmen untuk menjayakan usaha menerobos sekatan ke atas Gaza dan membantu
penduduk Gaza membina semula kehidupan mereka.
Rejim Zionis Israel membina Tembok Kematian di Gaza dan Tebing Barat, yang
telah menjadikan Gaza sebagai penjara terbesar di dunia. Tembok yang setinggi
8-12 meter dan sepanjang 850 km itu menjadi senjata utama Rejim Zionis untuk
“membunuh” penduduk Gaza serta mencengkam mereka secara perlahan-lahan. Tembok
itu telah digunakan untuk menghalang kemasukan bahan-bahan keperluan asas
kehidupan termasuk makanan, minyak, bahan perubatan dan lain-lain. Gaza tidak
hanya menjadi penjara terbesar tetapi hak untuk hidup rakyat Gaza juga telah
dinafikan. Zionis ganas ini telah menggunakan kekuatan lobi mereka untuk
menyekat dan melaksanakan embargo ke atas Gaza dengan dokongan Amerika
Syarikat, Britain dan kuasa-kuasa besar dunia.
Tidak cukup dengan embargo dan Tembok Kematian, pihak Zionis juga telah
menyerang Gaza pada 27 Disember 2008 selama 23 hari. Serangan yang amat brutal
itu telah menggunakan senjata-senjata terlarang seperti bom fosforus, peluru
uranium dan lain-lain. Mereka telah menggugurkan lebih daripada 1.5 juta
kilogram bom dari semua arah iaitu daratan, lautan dan udara.
Hampir keseluruhan infrastruktur utama bandar Gaza hancur. Banyak
bangunan-bangunan penting seperti pusat pentadbiran kerajaan, hospital,
universiti, masjid, gereja, sekolah, janakuasa elektrik, bekalan air bersih dan
lain-lain telah hancur akibat serangan rejim Zionis tersebut yang jelas telah
mensasarkan keperluan orang awam.
Kini setelah lebih setahun tragedi serangan berlaku, penduduk Gaza masih lagi
tidak dapat mendirikan semula rumah-rumah mereka, termasuk juga kemudahan asas
yang lain seperti sekolah, masjid dan hospital. Mereka masih terpaksa berteduh
di khemah-khemah sementara kerana bahan dan jentera binaan tidak dibenarkan
dibawa masuk sama-sekali. Malahan ada yang masih terpaksa tinggal di bawah
runtuhan bangunan rumah mereka. Ramai pesakit yang terpaksa menanggung
penderitaan sakit berterusan hinggakan membawa kepada maut kerana tidak ada
kemudahan perubatan dan tidak juga dibenarkan keluar dari Gaza untuk
mendapatkan rawatan di hospital luar.
Tahun 2006 menyaksikan banyak usaha-usaha membantu membebaskan Palestin,
terutamanya Gaza, daripada cengkaman embargo kejam Zionis.
Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada seluruh dunia telah mencuba
pelbagai cara untuk masuk dan memberi bantuan kepada rakyat Gaza. Lebih
daripada 10 percubaan telah dilakukan oleh NGO-NGO sedunia untuk memasuki Gaza
tetapi hanya sekali dua saja yang berjaya menembusi sekatan tersebut.
Usaha terbaru telah dilakukan oleh sebuah konvoi yang telah dipelopori oleh
Viva Palestina yang berpusat di Eropah pada 5hb Disember 2009. Usaha tersebut
telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 320 orang sukarelawan, di mana mereka
memulakan perjalanan sejauh lebih 3,000km dari United Kingdom melalui Turki,
Syria, Jordan dan seterusnya ke El-A’rish di Rafah, Mesir sebelum akhirnya
berjaya masuk ke Gaza pada 6hb Januari 2010. Alhamdulillah 12 orang rakyat
Malaysia, termasuk 2 orang wakil HALUAN Malaysia, telah menyertai konvoi
tersebut.
Walaupun konvoi Viva Palestina yang ketiga itu telah berjaya memasuki, ia masih
tidak berjaya menghapuskan embargo ke atas Gaza.
Kini, IHH dengan sokongan penuh kerajaan Turki dan NGO-NGO antarabangsa dari
lebih 17 buah negara lain telah memulakan usaha untuk melaksanakan konvoi
talian hayat Gaza yang ke-empat iaitu Lifeline4Gaza. Satu usaha besar-besaran
iaitu satu konvoi yang akan merentasi Laut Mediterranean bermula dari Istanbul,
Cyprus dan akhirnya terus ke Gaza mengikut jalan laut. Konvoi ini akan membawa
lebih daripada 20 buah kapal dan bot.
Kempen ini akan diketuai oleh Perdana Menteri Turki sendiri, Recep Tayyip
Erdogan. Konvoi kemanusiaan terbesar di dunia ini akan membawa bantuan asas
keperluan seperti bahan pembinaan hospital, bahan perubatan, peralatan sekolah
dan bahan-bahan makanan. Mereka juga akan diiringi oleh tokoh-tokoh politik dan
kemanusiaan sedunia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
Bantuan tersebut akan dibawa terus ke Gaza dengan menggunakan hubungan
diplomatik kerajaan Turki yang memang mempunyai Perjanjian Keselamatan dengan
rejim Israel semenjak peperangan dunia yang ke-dua lagi. Mengikut butiran
perjanjian tersebut, Israel tidak boleh mengganggu kapal-kapal daripada Turki.
Konvoi ini amat penting kerana sekiranya ia berjaya maka kapal-kapal tersebut
akan digunakan untuk menghantar semua barangan keperluan Gaza dari semasa ke
semasa. Ini bermakna sekatan embargo Israel ke atas Gaza akan terangkat
walaupun Tembok Kematian Israel masih berdiri utuh.
Berkaitan dengan konvoi ini, IHH telah melantik HALUAN sebagai penyelaras bagi
semua bantuan daripada dermawan di Malaysia dan juga Brunei Darussalam.
Sehubungan dengan amanah tersebut, HALUAN bersama-sama semua NGO yang hadir
pada hari ini menyeru semua institusi, organisasi, badan-badan,
syarikat-syarikat dan individu yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan supaya
memberikan sokongan dan bantuan untuk menyelamatkan rakyat Palestin dengan
menganjurkan apa jua aktiviti dapat menzahirkan solidariti mereka, seperti
solat hajat dan doa selamat, pameran dan seminar kesedaran Palestin, kutipan
derma untuk projek Kemanusiaan Palestin, dan juga ceramah, dialog, diskusi
mahupun forum penerangan permasalahan Palestin. Kami bersedia bekerjasama
dengan mana-mana pihak bagi menjayakan aktiviti-aktiviti tersebut.
Sumbangan derma bagi menjayakan bantuan ini boleh disalurkan terus melalui
akaun khusus untuk projek Lifeline4Gaza seperti berikut:
Nama akaun : “TABUNG PALESTIN HALUAN”
Nombor akaun: 5644 9020 8528
Bank : Maybank Berhad
Diharapkan usaha seperti ini akan dapat melahirkan generasi Malaysia yang
perihatin terhadap isu kemanusiaan, dan yang lebih penting dapat menginsafi
nikmat kemerdekaan yang mereka kecapi selama ini.
Sebarkan