Salah satu punca kenapa sekarang ini makin banyak masalah sosial ialah iklan 
dan filem termasuk cerita kartun yang banyak mempunyai mesej tersembunyi yang 
menggalakkan penonton termasuk kanak-kanak melakukan maksiat dan keganasan.

Ianya disebut Mesej Subliminal. Iaitu mesej jahat yang masuk ke dalam otak 
manusia secara separuh sedar apabila melihat filem, cerita TV atau poster.

Sila lihat mesej-mesej ganas, lucah dan menyesatkan dalam filem, cerita 
kanak-kanak, kartun, poster di http://sub-lim.blogspot.com

Sepatunya Mesej Subliminal ini digunakan untuk memasukkan mesej kebaikan ke 
dalam otak manusia secara separuh sedar.

*******************************
Kempen ‘Minggu Tidak Menonton Televisyen’ patut disambut baik
Berita Harian 21 April 2010

KETIKA ini pelbagai masalah sosial membabitkan remaja dan ia mencengkam 
masyarakat kita. Kes pembuangan bayi, merokok, merempit, menagih dadah, seks 
bebas, vandalisme, lari dari rumah dan macam-macam lagi salah laku jenayah 
cukup merisaukan semua pihak.

Ternyata ibu bapa dilihat semakin hilang kawalan terhadap anak yang semakin 
liar. Mereka juga menghadapi masalah mendidik dan membentuk anak menjadi 
manusia berguna mengikut acuan dikehendaki. Terkini polis Kuala Lumpur 
mendedahkan, 3,263 pelajar sekolah ditahan tahun lalu kerana terbabit dalam 
2,003 kes salah laku. Pelajar berusia antara 13 dan 18 tahun dilaporkan turut 
terbabit dalam kes seks bebas, kehamilan, pembuangan bayi, rogol, samun dan 
mencuri motosikal. Statistik ini dikatakan semakin meningkat tiap tahun cukup 
untuk membuktikan tahap masalah sosial remaja kita. Golongan yang sepatutnya 
menjadi harapan masa depan negara ini dilihat semakin hanyut dek dunia bebas 
tanpa sempadan.

Antara punca masalah sosial melanda remaja dan belia ialah pengaruh negatif 
rancangan televisyen yang boleh dikategori sebagai kurang sihat. Televisyen 
yang sentiasa menjadi medium panduan dan pendidikan mula menguasai minda dan 
pemikiran anak kita dengan nilai yang jauh bertentangan dengan adat ketimuran 
yang kemudian mempengaruhi segala tingkah laku dalam kehidupan seharian.

Adegan pergaulan tanpa batasan dan seks bebas serta perlakuan ganas seperti 
gengsterisme dipaparkan dalam televisyen sama ada menerusi drama dan filem 
tempatan mahupun Barat boleh diibaratkan menjadi ‘guru’ kepada remaja.

Drama sinetron tahyul dari seberang dan filem ganas dari Barat dilihat cukup 
mudah mempengaruhi minda penonton. Itulah yang sedang menjadi gaya dan trend 
ikutan muda mudi zaman sekarang.

Mereka mencontohi semua perlakuan dan gelagat yang ditonjolkan secara 
bulat-bulat dan sering menjadikannya sebagai panduan dalam hidup. Perbuatan 
yang dimulakan atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya menjadi 
ketagih dan budaya yang sukar untuk ditinggalkan.

Fenomena ini sebenarnya adalah selaras dengan pandangan sarjana komunikasi yang 
bersetuju bahawa media seperti televisyen mempunyai pengaruh cukup kuat 
terhadap penonton. Ia dibuktikan melalui beberapa teori komunikasi terkenal. 
Magic Bullet Theory yang diperkenalkan Katz dan Lazarsfeld pada 1955 misalnya 
mengandaikan bahawa televisyen memberikan kesan negatif kepada penonton secara 
langsung dan segera seperti peluru dengan penonton cenderung untuk percaya 
semua perkara dilihat, sekali gus boleh mempengaruhi tingkah laku mereka.

Maka jika kita mengkaji secara mendalam segala masalah sosial hari ini dengan 
pengaruh televisyen ke atas remaja, ternyata andaian teori komunikasi itu ada 
kebenarannya. Ini membuktikan, menonton televisyen hari ini boleh mendatangkan 
lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak dikawal dengan sewajarnya.

Mengambil kira senario yang membahayakan ini, wajar untuk ibu bapa menyokong 
kempen ‘Minggu Tidak Menonton Televisyen’ anjuran Persatuan Pengguna Malaysia 
(Fomca) yang berlangsung mulai 21 hingga 27 April ini.

Fomca juga mendedahkan, kajian dibuat pada 2005 membabitkan penggunaan 
peralatan berskrin seperti televisyen, komputer dan telefon bimbit mendapati 
golongan muda menghabiskan 73 peratus masa lapang mereka untuk menonton 
televisyen. Dilaporkan juga, kanak-kanak menghabiskan masa antara tiga hingga 
lima jam sehari di depan televisyen masing-masing.

Justeru, ibu bapa perlu mengawal dan memberi perhatian serius kepada jenis 
rancangan ditonton anak mereka supaya tidak terdedah dengan rancangan yang 
boleh meruntuhkan akhlak dan moral.

Memang tidak dapat dinafikan kepentingan televisyen dalam hidup sebagai sumber 
maklumat, tetapi ia banyak bergantung kepada rancangan apa yang menjadi bahan 
tontonan seisi keluarga. Dalam hal ini, diharapkan kementerian dan Lembaga 
Penapisan Filem memainkan peranan lebih efektif untuk membendung penularan 
filem dan drama kurang sihat di negara ini.

Selain keruntuhan moral, ketagihan menonton televisyen banyak mendatangkan 
kesan buruk pada tahap kesihatan seperti kegemukan dan diabetes mula mengancam 
kerana kita terlalu pasif untuk suatu tempoh masa lama ketika di depan kaca 
televisyen.

Pembaziran masa begitu lama (tiga hingga lima jam sehari) di depan televisyen 
pastinya menjejaskan pelajaran anak. Mereka terlalu asyik menonton televisyen 
dan tidak mengulangkaji pelajaran mahupun menyiapkan kerja sekolah 
masing-masing. Akibatnya, prestasi akademik mereka terjejas.

Keruntuhan moral, masalah kesihatan dan pelajaran adalah antara kesan negatif 
secara langsung akibat kelalaian ibu bapa mengawal anak daripada terus menjadi 
hamba televisyen. Anak hari ini adalah generasi pewaris masa depan negara. 
Justeru, kelestarian pembangunan modal insan perlu dititikberatkan agar kita 
dapat melahirkan generasi yang bukan saja berilmu, tetapi kaya dari segi akhlak 
dan budi bahasanya.

Kita khuatir tabiat yang kurang sihat ini akan mula menjauhkan kita daripada 
anak kita, merenggangkan hubungan kekeluargaan sekali gus menghancurkan 
keharmonian keluarga kita.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kempen__8216_MingguTidakMenontonTelevisyen__8217_patutdisambutbaik/Article/




Kirim email ke