PETIKAN : http://laman-seri.blogspot.com
 Senyum itu satu
sedekah<http://laman-seri.blogspot.com/2010/04/senyum-itu-satu-sedekah.html>
<http://4.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/S8_AVDkCwdI/AAAAAAAAEFw/e0l_DZBrjJQ/s1600/senyum+girl.jpg>Senyuman
anak yang manis ~ gambar hiasan

Assalamualaikum warahmatullah,

Hari ini saya kongsikan sesuatu perkara yang amat mudah untuk kita lakukan
sehari-hari dan akan beroleh pahala pula jika kita mengerjakannya, insya
Allah.

Hadis dari Abu Dzar r.a. bahawa Rasulallah SAW yang bermaksud, “Tidak ada
lain dari anak Adam itu sedekah pada tiap-tiap hari yang naik matahari
padanya.” Bertanya para sahabat, “Dari mana datangnya harta untuk kami
bersedekah wahai Rasulallah?” Sabda Nabi, “Bahawa pintu-pintu kebajikan itu
banyak; Tasbih, Takbir, Tahlil, Amar makruf dan nahi (mencegah) mungkar,
membuang duri di jalan, mendengar orang pekak, menunjuk jalan kepada orang
buta, menunjuk arah perjalanan kepada yang meminta ditunjuk, memberi air
minuman kepada yang dahaga, menolong meringankan beban orang yang tidak
berdaya. Semua itu sedekah bagi diri kamu.” Malah dalam riwayat yang lain
menambah, “Senyum anda terhadap saudara anda adalah sedekah.” (Hadis riwayat
Ibn Hiban dan Al Baihaqi)

Ini adalah sebuah hadis yang dikira cukup baik yang memerlukan setiap orang
berfikir, dapat mengetuk dan membuka pintu hati dan jiwa manusia ke arah
kebajikan dan juga dapat mengikat diri manusia dengan kasih sayang dan cinta
yang mendalam.

‘Sedekah’ perkataan yang selalu didengar, biasanya dikaitkan dengan wang
ringgit dan harta benda. Ia berlaku apabila si kaya membantu si miskin, atau
orang yang kuat memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan.
Demikianlah fahaman sempit yang selalu kita dengar dan kesannya pun amat
terhad, walhal terdapat lebih banyak lagi cara kita bersedekah, selain
daripada pemberian material semata-mata. Tidaklah dinafikan bahawa ianya
mampu menjadi satu mekanisma untuk menwujudkan keadilan sosial dalam
masyarakat, tetapi hadis ini meluaskan lagi skop sedekah dan pemikiran
mengenainya; iaitu dari makna material kepada makna yang bersifat kejiwaan,
membuka suatu ruang yang luas tanpa sempadan.

“Setiap yang baik itu sedekah, setiap orang mampu bersedekah.” Benar,
sedekah dari skop kebendaan adalah terbit dari hati yang baik, kalau tidak
sedekah atau derma itu menjadi riak, bohong, menunjuk-menunjuk kotor dan
keluar dari hati yang tidak ikhlas. Maka kalau sedekah yang lahir dari hati
yang tulus dan jiwa yang baik, itulah sumber kebaikan yang sebenar kerana
setiap yang baik terbit dari jiwa yang baik dan setiap yang kotor keluar
dari hati yang kotor. Jesteru itu, sebuah senyuman manis yang ikhlas adalah
lahir dari jiwa yang jernih dan tulus ikhlas.

Seseorang yang membantu orang lain dengan wang seringgit atau dua ringgit,
membantu orang yang lemah melintas jalan, menolong mengangkat barang yang
berat ataupun lain-lain yang seumpama, dan ianya terbit dari hati yang
bersih dan ikhlas maka itulah yang dikatakan rasa kemanusiaan yang amat
tinggi nilainya, iaitu dengan menolong sesama manusia terasa ada hubungan
kemanusiaan antara yang menolong dan yang ditolong. Ini juga salah satu
bentuk sedekah, seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.

Jika sedekah dihadkan kepada bentuk material, nescaya kebaikan itu juga
terhad kepada mereka yang berada sahaja, tetapi Rasullallah SAW mahu
kebaikan itu berada di setiap diri individu, yang mana cahayanya akan
melimpah ruah yang tidak ada had dan kesudahannya.

Rasullallah SAW bukan sekadar memperkenalkan punca atau asas kebaikan,
tetapi lebih lagi dari itu, Baginda mengajar kita supaya membiasakan diri
dengan kebaikan adalah jiwa hidup, bergerak dan berkesan. Jiwa yang kaku dan
beku adalah jiwa yang mati sebelum ajal yang tidak akan melahirkan apa-apa
kebaikan darinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Adakah orang yang dilapangkan dadanya oleh
Allah untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah) dari
Tuhannya sama dengan orang yang sesat (keras) hatinya (dengan kedurhakaan).
Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya untuk menerima peringatan yang
diberi oleh Allah. Mereka itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah
az-Zumar ayat 22)

Senyum itu satu sedekah

Senyum itulah sedekah yang paling murah mudah. Tetapi sesetengah orang amat
berat dan payah sekali untuk berbuat demikian. Ada yang sukar memberi
senyuman, mungkin jiwanya sakit atau dalam dirinya tertutup pintu kebaikan
dan kebajikan. Mukanya masam, muram dan kusam. Menjengkil perasaan benci
kepada sesama manusia. Isunya di sini bukanlah seteguk air, sesuap nasi,
atau sebuku roti, tetapi ‘pemberian’ yang didalangi oleh gerak dari dalam
diri membuka dan mengetuk pintu hati yang tertutup.

Senyuman itu berkait dengan jiwa bagi mereka yang sedang berdepan dengan
masalah, dengan tersenyum jiwa mereka akan merasa lega dan tenang. Manakala
apabila melihat orang memberi senyuman padanya, jiwa yang lesu akan kembali
ceria. Senyuman secara umumnya adalah sedekah.

Mari kita ikuti kisah teladan di bawah :

Pada suatu hari Abu Yazid Al-Busthami, ahli sufi terkenal didatangi seorang
lelaki yang tinggal sekampung dengannya. Lelaki itu memang terkenal rajin,
ringan tulang dan kuat ibadat. Namun hidupnya sentiasa dilanda kesulitan.
Dengan wajah murung lelaki itu mengadu kepada Abu Yazid.

“Sepanjang hidup, saya tak pernah lupa beribadat kepada Allah. Orang lain
tidur saya masih bermunajat.” Lelaki itu diam seketika, mukanya kelat tanpa
secalit pun senyuman.

Abu Yazid memerhatikan wajah lelaki yang sedang duduk dihadapannya. Raut
mukanya itu seperti orang yang menangung masalah yang maha berat.

“Selalunya sebelum isteri saya bangun pagi, saya sudah mengaji. Saya tidak
pernah lupa tuhan, tapi.......” lelaki itu tidak dapat meneruskan
kata-katanya.

Abu Yazid mengangguk kerana dia memang amat mengenali jirannya itu, rajin
dan warak. malah dia tidak pernah melihat orang sebaik dan serajinnya.

Kemudian lelaki itu melepaskan keluhan yang berat, “…entahlah tuan, nasib
saya selalu malang dan hidup penuh dengan kesulitan...”

Abu Yazid memegang bahu lelaki tersebut dan berkata, “Sahabatku, senyumlah.
Mulai hari ini, ubah penampilan kamu kerana aku lihat kamu tidak pernah
senyum dan dahi sentiasa berkerut walaupun ketika bercakap dengan aku.
Cubalah senyum, insya Allah nasibmu akan berubah. Rasulullah SAW adalah
orang yang paling miskin semasa hidupnya. Namun wajahnya tidak pernah keruh,
bermuram dan berkerut dahi, baginda sentiasa senyum, ceria dan wajahnya
berseri-seri.”

Abu Yazid menyambung sambil melemparkan senyuman kepada lelaki tersebut.
Lelaki itu hanya mengangguk tapi raut wajahnya masih tidak berubah. Dia
seperti belum dapat memahami apa yang telah disampaikan oleh Abu Yazid.

“Menurut Rasulullah, salah satu tanda penghuni neraka ialah orang yang
bermasam muka dan membuat orang lain curiga padanya,” Abu Yazid menambah.

Setelah mendengar nasihat Abu Yazid, lelaki itu balik, lelaki tersebut telah
mengubah penampilannya. Sesiapa sahaja yang ditemui dia akan mendahului
dengan salam dan tersenyum walaupun mereka tidah pernah dikenalinya. Lelaki
itu berubah menjadi peramah, kerut-kerut di dahinya sudah dibuang jauh dan
mukanya sentiasa manis. Dari hari ke hari hidupnya semakin senang dan
rezekinya melimpah ruah.

Itulah contoh jelas betapa besarnya hikmah senyuman dalam kehidupan seharian
kita sehingga Rasulullah SAW sendiri sebagai sedekah yang paling murah
tetapi tinggi pahalanya. Manfaat senyum adalah besar, ia jalan untuk membuka
rezeki, pengubat jiwa, memudahkan urusan dan mengeratkan kasih sayang. Paling
penting senyuman adalah perhiasan diri yang paling mahal kerana dari sifat
itu akan lahir keceriaan, kegembiraan, wujud keyakinan dan tanda kesediaan
untuk didekati. Kepada orang menerima senyuman, mereka akan merasa dihargai.
Secara tidak langsung, bangkitlah rasa keyakinan dalam diri mereka.

Senyuman itu berkait dengan jiwa bagi mereka yang sedang berdepan dengan
masalah, dengan tersenyum jiwa mereka akan merasa lega dan tenang. Manakala
apabila melihat orang memberi senyuman padanya, jiwa yang lesu akan kembali
ceria. Senyuman secara umumnya adalah sedekah.

Walau bagaimanapun, beringatlah, bukan semua senyuman yang dilemparkan itu
sedekah. Senyuman juga ada berbagai-bagai tafsiran. Ada senyuman
kambingsinis, senyuman kelat dan senyuman terpaksa. Yang
dikatakan senyuman sedekah itu adalah yang ikhlas, secara sukarela dari jiwa
yang suci dan spontan.

Tidak kira kepada siapa kita lemparkan senyuman, asalkan dengan ikhlas dan
hati yang bersih, ia adalah sedekah. Pahala yang Allah ganjarkan untuk
senyuman itu adalah sama dengan pahala kita bersedekah.

Senyumlah hiaskan diri anda dengan senyuman terutama kepada orang yang
paling hampir dengan kita seperti ibu bapa, ketua, orang bawahan, jiran dan
teman-teman. Senyumlah, kita tidak akan rugi apa-apa...

Renung-renungkan dan mari beramal!

Capaian entry berkaitan :

   1. Hadis: Golongan yang mendapat naungan
Allah<http://laman-seri.blogspot.com/2008/04/golongan-yang-mendapat-naungan-allah.html>
   2. Rahsia Di Balik
Senyuman<http://laman-seri.blogspot.com/2008/02/rahsia-di-balik-senyuman.html>

--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya
untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak
dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih
tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga
kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya
seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul
mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah
segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat
Muslim)
 ¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke