Wanita Islam kalau pakai tudung didiskriminasi di Malaysia, secara khususnya di 
Negeri Sembilan dan Melaka. Ada mana-mana pihak, individu, pendakwah, ulama, 
Majlis Agama Islam, JAKIM, NGO hendak membela wanita Islam yang bertudung di 
Malaysia agar tidak didiskriminasi ? 

Atau ini perkara kecil dan remeh temeh banyak perkara lain yang perlu diberi 
perhatian seperti isu Kalimah Allah dan Natrah?

************* 
SUKARNYA MENDAPAT KERJA HANYA KERANA MEMAKAI TUDUNG
Utusan Malaysia 20 Apr 2010 

SAYA merupakan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saya 
menetap di luar bandar dan perawakan saya ialah seorang gadis bertudung sesuai 
dengan identiti saya sebagai seorang Muslimah. 

Sementara menunggu peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, saya 
mengambil kesempatan menggunakan masa yang terluang untuk bekerja.

Harapan saya agar pendapatan yang diperoleh nanti dapat menampung sedikit 
sebanyak keperluan saya, terutama untuk memulakan pengajian nanti. 

Saya memulakan langkah mencari pekerjaan di sebuah hotel yang terletak di 
Bandaraya Bersejarah selepas terbaca iklan mengenai peluang pekerjaan yang 
ditawarkan. Saya memohon untuk bekerja di bahagian pembersihan (house keeping). 

Penemuduga itu bersedia menerima saya sekiranya saya bersedia untuk tidak 
memakai tudung. 

Penemuduga juga memberitahu ia adalah syarat 'normal' untuk bekerja di hotel. 
Mungkin salah saya kerana tidak mengetahui akan syarat itu kerana kehidupan 
saya yang tidak terdedah dengan suasana di hotel. 

Mungkin juga tidak keterlaluan jika dikatakan itulah kali pertama saya 
menjejakkan kaki di hotel. Namun jauh di sudut hati saya terselit rasa kesal 
kerana saya tidak berupaya menerima pekerjaan tersebut kerana syarat 'normal' 
itu. 

Selepas itu saya turut memohon pekerjaan di sebuah pusat membeli-belah yang 
baru dibuka.

Banyak kedai yang menawarkan jawatan kosong sebagai pembantu kedai. Tetapi 
apabila ditanya majikan turut meletakkan syarat 'normal' itu untuk saya 
diterima bekerja. Malahan kedai yang menjual barang permainan untuk kanak-kanak 
turut meletakkan syarat tersebut. 

Saya berasa begitu tersinggung dengan keadaan ini. Saya tidak faham. Islam 
ialah agama rasmi negara tetapi sensitiviti berhubung agama ini diabaikan. 

Sememangnya bukan salah mereka meletakkan syarat 'normal' itu. Tetapi adakah 
menjadi kesalahan saya berpenampilan sewajarnya yang ditetapkan oleh agama 
saya? 

Mungkin penampilan saya yang bertudung tidak menarik perhatian untuk pelanggan 
berkunjung ke kedai mereka atau menjejaskan imej mereka yang sering menjadi 
tumpuan pelancong asing. 

Mungkin juga isu yang cuba saya ketengahkan ini kelihatan remeh kepada 
sesetengah pihak, namun jujur saya katakan, ia agak berat untuk gadis bertudung 
seperti saya. 

Bagaimana nasib sesetengah gadis bertudung yang begitu terdesak memerlukan 
pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka? Adakah kami harus mengorbankan 
identiti diri demi mencari rezeki di zaman moden ini?

HYENA
Negeri Sembilan
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0420&pub=utusan_malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm&arc=hive
 

*************** 
TUDUNG: BUKAN ISLAM TAK SALAH
Utusan Malaysia 23 April 2010 

SAYA amat tertarik dengan tulisan Hyena dari Negeri Sembilan yang 
mempertahankan syariat Islam bertudung daripada 'digadai ganti' oleh tawaran 
pekerjaan. 

Dalam tulisannya di ruangan ini 20 April lalu, beliau meluahkan kesedihan 
betapa sukarnya mendapat pekerjaan hanya kerana beliau bertudung.

Beginilah di akhir zaman apabila kedudukan umat Islam cukup lemah, sehinggakan 
amalan wajib yang kita amalkan sudah berani 'ditawar menawar' oleh pihak-pihak 
lain atas alasan mencari pekerjaan. 

Jika kita lihat daripada sudut liberalisasi hak, pihak majikan tersebut 
menganggap ini suatu lumrah atau 'normal', sedangkan daripada segi hukum dan 
hak umat Islam ia adalah satu bentuk diskriminasi dan penghinaan terhadap 
amalan syariat. 

Saya berpendapat hal ini tidak boleh disalahkan seratus peratus kepada pihak 
bukan Islam atas beberapa sebab. Antaranya:

Lihatlah gelagat dan pemakaian umat Islam sendiri, terutamanya wanita-wanita 
Melayu sekarang. Pemakaian rata-rata wanita Melayu sekarang tidak lagi 
menggambarkan ciri-ciri menutup aurat dengan sempurna. Memakai tudung tetapi 
mengenakan seluar dan baju yang ketat, menampakkan belakang dan depan, 
menonjolkan bentuk tubuh badan yang lebih bersifat 'penggoda'. 

Apabila pemakaian begini diamalkan oleh perempuan Melayu, golongan bukan Islam 
tidak memandang mulia dan melihat perbezaan aurat bertudung atau tidak. 

Sebaliknya ia sama sahaja untuk menonjolkan kebolehan mengeksploitasi wajah dan 
tubuh badan wanita-wanita separa seksi ini bagi promosi perniagaan. 

Selain itu amalan diskriminasi terhadap wanita bertudung juga disebabkan ada 
ramai wanita Muslim lain sanggup menerima peraturan membuka tudung atau 
melakukan perkara melanggar syarak lain untuk majikan bukan Islam tersebut. 
Jadi, majikan bukan Islam secara mudah membuat justifikasi perkara aurat ini 
hal remeh dan tidak penting.

DARIPADA SUDUT UNDANG-UNDANG PEKERJAAN DI NEGARA INI TIDAK JELAS SAMA ADA 
UNDANG-UNDANG KHUSUS MEMBELA DAN MEMPERTAHANKAN HAK-HAK PEKERJA MUSLIM, 
terutama di sektor swasta seperti hak bersolat, makanan halal di tempat kerja, 
menutup aurat bagi lelaki dan wanita serta tahap sosial persekitaran di tempat 
kerja yang dibenarkan oleh syariat Islam. 

Sebagai contoh, jika majikan meletakkan seorang wanita dan seorang lelaki di 
dalam sebuah bilik tertutup, bagaimana undang-undang tersebut boleh membela hak 
pekerja Islam jika ia menolak tugasan tersebut. 

OLEH ITU, PIHAK BERWAJIB MELALUI BANTUAN JAKIM BOLEH MEWUJUDKAN SOP (STANDARD 
OPERATING PROSEDURES) UNTUK DIGUNA PAKAI OLEH MAJIKAN BUKAN ISLAM KEPADA 
PEKERJA MUSLIM SUPAYA SELARAS DENGAN KEHENDAK ISLAM.

Perkembangan diskriminasi terhadap pekerja Muslim ini adalah rentetan daripada 
kelemahan umat Islam sendiri. Jika kita lihat budaya hidup umat Islam kini, 
terutama di Malaysia tidak ada banyak beza dengan bukan Islam. 

Lelaki dan wanita Islam kini tidak lagi serius menjaga budaya dan amalan Islam, 
bermula daripada unit keluarga sehinggalah kepada skala masyarakat dan negara. 

Bergaul bebas lelaki dan perempuan sejak di usia sekolah lagi telah menjadi 
amalan biasa pada hari ini sehingga telah membiasakan masyarakat kita dengan 
seks bebas, akhirnya terbuanglah bayi-bayi tidak berdosa oleh manusia penzina 
lagi pembunuh ini. 

Akibat ini juga, umat Islam dipandang jijik, lemah dan rendah oleh bukan Islam 
sama ada di Malaysia ataupun di mana sahaja, sudahlah lemah di dalam semua 
bidang keutamaan dunia, seperti penguasaan perniagaan, pencetus teknologi dan 
pembuatan, malah terjebak pula dengan perkara luar kemanusiaan dan kepelbagaian 
jenayah.

Oleh itu, diskriminasi yang berlaku pada pekerja Islam ini harus dipandang pada 
skop yang lebih luas, iaitu ia berpunca daripada sikap kita umat Islam sendiri 
yang lemah dan tidak kukuh pada ibadah dan budaya hidup Islam seperti yang 
dimajukan oleh sunnah melalui kitab al-Quran. 

Rasulullah SAW juga telah meramalkan akan keadaan ini dan ia sudah semakin 
nyata, seperti yang sebuah hadis diriwayatkan oleh Thauban r.a., bahawa Nabi 
Muhammad SAW bersabda, yang bermaksud setelah ditanya oleh para sahabat, 

"Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?" Sabda Baginda 
SAW: "Tidak, Bahkan mereka pada masa itu lebih ramai, tetapi ibarat buih di 
laut yang menjadi tidak berguna lagi tidak digeruni."

Semoga kita mengambil iktibar dan tidak merebak menjadi parah.

Muhammad Azwan
Nibong Tebal, Pulau Pinang
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
  



      

Kirim email ke