Saya pernah terfikir iaitu kaum Muslimin yang soleh ketika matinya akan
disambut oleh bidadari di alam Mahsyar. Kalau kaum Muslimat, siapa yang
menyambutnya?
Fatimah,
Alor Setar, Kedah.
Jawapan: Bidadari yang saudari maksudkan itu di dalam bahasa al-Quran disebut
al-Hurul Ain, al-Hurul jamak daripada perkataan Haura’ ertinya perempuan yang
putih, manakala al-Ain asalnya Uyun, jamak daripada Aina ertinya perempuan yang
jeli matanya. Maka, al-Hurul ‘Ain atau bidadari itu adalah perempuan yang putih
bersih warna kulitnya lagi indah dan jeli keadaan dua matanya.
Bidadari itu bukanlah daripada kalangan perempuan dunia dan bukanlah anak Adam
atau manusia. Jika kita melihat sebahagian hadis ada menyatakan paling kurang
daripada isteri seorang dalam syurga adalah dua orang perempuan anak Adam, dan
tujuh orang bidadari. Kalau manusia daripada tanah, bahan yang menciptakan
bidadari adalah daripada mutiara sebagai mana sesetengah hadis.
Bidadari itu tempatnya di syurga dan bukan di padang Mahsyar seperti firman
Allah SWT dalam surah ad-Dukhan ayat 4 bermaksud: “Orang yang bertakwa itu
berada pada tempat yang sejahtera. Di dalam taman syurga dan segala mata air.
Mereka berpakaian sutera halus dan sutera tebal, yang mana mereka duduk
berhadapan. Seperti demikianlah Kami sandingkan mereka itu dengan bidadari.”
Kembali kepada pertanyaan saudari, kalau bidadari itu bahagian orang lelaki
dari Muslimin, maka bagaimana pula dengan kalangan perempuan? Subhanallah.
Wanita di dunia ini jika meninggal dunia akan dipertemukan Allah SWT dengan
suami mereka, dan jika ia masih gadis akan dipersandingkan dengan lelaki ahli
syurga dengan segala kepuasan dan keredaan hati, tanpa sesuatu kekurangan dan
kekecewaan dan mereka akan mendapat sesuatu nikmat yang belum pernah dilihat
oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas di
dalam hati.
Satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah ra berkata,
Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Allah SWT berfirman: “Aku sudah
menyediakan buat hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh
mata, belum pernah terdengar oleh telinga serta belum pernah terlintas oleh
hati seseorang.
Cubalah kamu membaca: Fala ta’lamu nafsum maa ukhfiya lahum min qurrati a’yun
(Surah Sajdah ayat 17 yang bermaksud: “Maka tidak ada satu jiwa pun yang
mengetahui kesedapan mata yang disembunyikan buat mereka).
Janganlah pula kalangan perempuan rasa iri hati disebabkan lelaki di syurga
nanti disediakan bidadari kerana kaum wanita ahli syurga juga akan mendapat
bahagian mereka disebabkan amal soleh yang mereka lakukan di dunia dulu.
Begitu juga janganlah ada wanita berasa iri hati disebabkan Allah SWT
mengizinkan lelaki berpoligami tidak bagi wanita. Allah SWT berfirman dalam
surah an-Nisa ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa
yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada
sebahagian yang lain. Bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang telah
diusahakan dan bagi wanita pun ada bahagian dari apa yang mereka sudah
usahakan.” Wallahualam.
source:: serikasih.blogspot.com
CINTA IBARATKAN KUPU2 YANG BERTERBANGAN, BUKAN MUDAH TUK MEMILIKI CINTA SEJATI,
HANYA KETAQWAAN KEPADA_NYA, MAKA CINTA ITU ADALAH YANG TERINDAH
JOM SINGGAH DULU YE
LANGSING & SIHAT
NAK DETOX FOOT MURAH...SMS 0199517292