UItsan Online - BICARA AGAMA
Selesaikan punca masalah anak Luar Nikah
Semua orang yang waras barangkali akan terkejut dengan statistik Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini yang menyebut bahawa jumlah anak luar
nikah di kalangan gadis Melayu yang beragama Islam pada tahun 2009 adalah
17,300 orang.
Bagi tempoh 2004 sehingga 2009, jumlahnya adalah 74,723 orang. Sudah tentu
angka-angka itu tidak termasuk bayi-bayi bangsa lain, bayi-bayi yang tidak
didaftarkan, dibuang atau tidak sempat menikmati kehidupan di dunia ini.
Sudahlah berdosa terlanjur, anak pula dibuang seumpama sampah.
Bayangkan dalam tempoh lima tahun lagi, bagaimana pula angkanya? Suatu jumlah
dan fenomena yang memalukan dan menakutkan! Ia juga membawa konotasi,
sebenarnya gadis remaja yang terjebak dalam keterlanjuran dan perzinaan lebih
ramai daripada itu.
Jika dicampur dengan masalah-masalah sosial lain seperti penyalahgunaan dadah,
merompak, membunuh dan sebagainya, sudah pasti kita tidak senang duduk
memikirkan nasib remaja hari ini.
Salah siapa?
Seringkali kita menjadi takut kepada perangkaan dan hasil akhir kerosakan.
Kesalahan, daripada sekecil-kecil berbohong dan mencuri sehinggalah
sebesar-besar merompak, merogol, berzina, rasuah dan sebagainya perlu ditangani
secara holistik.
Kebanyakan kita menyalahkan pihak sana dan sini setelah sesuatu kerosakan
berlaku. Memang benar perawatan selepas sesuatu kejadian berlaku adalah perlu,
tetapi sewajarnya kaedah pencegahan perlu diambil berat sebelum sesuatu
kerosakan berlaku.
Seringkali yang dipersalahkan adalah ibu bapa, keluarga dan didikan di sekolah.
Anak-anak adalah cermin kepada didikan dan asuhan ibu bapa, justeru ramai yang
berfikir memang wajarlah ibu bapa dipersalahkan.
Ibu bapa terlalu sibuk mencari rezeki dan pangkat, sehingga mengabaikan
keperluan rohani dan sahsiah.
Sekolah pula hanya menekankan aspek peperiksaan, tanpa menitikberatkan soal
akhlak dan pegangan pelajar. Yang pandai mendapat perhatian, yang dianggap
dungu diabaikan kerana gagal dalam peperiksaan.
Sebab itulah ramai remaja yang tidak terdidik dengan betul dan natijahnya
banyak masalah sosial berlaku.
Namun apakah hanya dengan sebab itu remaja menjadi rosak dan tergelincir
daripada landasan yang benar? Sudah tentu kita bersetuju bahawa banyak lagi
faktor yang menyebabkan ia berlaku.
Kita tidak boleh menafikan bahawa pengaruh rakan sebaya juga amat kuat dalam
kehidupan sosial remaja. Bahkan ada remaja yang lebih mempercayai rakan sebaya
daripada ibu bapa yang lebih berpengalaman.
Kebebasan yang diberikan kepada remaja disalahgunakan, lantas terjebak ke dalam
kancah kerosakan.
Perubahan budaya yang berlaku dan seringkali dicedok bulat-bulat daripada Barat
juga menghasilkan kejutan budaya terhadap remaja dan muda-mudi.
Kebebasan dan hak yang dilaungkan oleh mereka sering disalah ertikan sebagai
kebebasan mutlak tanpa batasan, lantas mewujudkan garisan pemisah yang halus
antara yang hak dan batil.
Sebagai remaja yang prihatin terhadap masalah sosial dan ingin menjadi
sebahagian daripada langkah penyelesaiannya, kita sewajarnya prihatin terhadap
akar sesuatu masalah, bukan hanya prihatin memandang pada hasil akhir sesuatu
masalah.
Prihatin terhadap akar masalah
Dalam Islam, kaedah pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Ini kerana
apabila sesuatu kerosakan akhlak telah terjadi, kesannya adalah sangat besar
kepada diri, orang-orang sekeliling, masyarakat serta negara.
Misalnya, dalam soal perhubungan, Allah melarang keras manusia menghampiri
zina. Tegahan ini membawa maksud yang jelas bahawa jalan-jalan ke arah
perzinaan juga harus dijauhi, apatah lagi melakukannya.
Sememangnya kita mengetahui bahawa zina itu merosakkan nasab keturunan,
menghancurkan rumahtangga, meretakkan perhubungan, meluasnya penyakit kelamin,
kejahatan nafsu, dan meruntuhkan hubungan masyarakat setempat.
Larangan Allah adalah tanda manusia sememangnya akan sentiasa teruji dengan
hawa nafsu. Justeru tegahan bertujuan membimbing manusia supaya tidak terpesong
daripada laluan fitrah.
Pendekatan ini dilaksanakan dengan mengenal pasti sebab utama kenapa gejala
sosial boleh berlaku dan kemudian mengambil tindakan untuk menghapuskan atau
mengawal sebab tersebut. Begitu juga dengan larangan minum arak.
Kebebasan yang melampau atau tanpa kekangan boleh menyebabkan nilai-nilai agama
dan adat terhakis sama ada secara drastik atau beransur-ansur.
Barangkali semua remaja tahu hukum haram berzina tetapi kemungkaran yang
dilakukan itu adalah berpunca daripada iman yang rapuh. Iman yang rapuh
mendorong proses pereputan jati diri dan akal budi.
Kesan daripada mengambil fahaman kebebasan secara membuta tuli fahaman
kebebasan itu menjadikan masyarakat kita bersifat individualistik dan boleh
menyebabkan sesuatu kemungkaran itu dipandang ringan.
Pemahaman bahawa pergaulan adalah hak seseorang individu dan tidak boleh
disekat perlu diwaspadai.
Cara hidup di Barat misalnya, tidak kisah akan batas-batas lelaki dan
perempuan. Bahkan pendidikan seks di Barat hanya mengajar bagaimana untuk
mencegah kehamilan dan penyakit kelamin, bukannya mengajar tentang salahnya
perlakuan tersebut.
Pola-pola hubungan sejenis seperti gay dan lesbian yang makin meresapi
segelintir remaja dan muda-mudi juga amat meresahkan, yang mengakibatkan
masalah lain iaitu krisis pewarisan.
Justeru, dalam Islam, bukan sahaja akibat daripada sesuatu kesalahan
diterangkan, bahkan asbab sesuatu larangan juga dinyatakan. Tetapi kita harus
ingat bahawa kaedah mencegah memerlukan keprihatinan semua pihak untuk
menjayakannya.
Institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan supaya anak-anak yang lahir boleh
dibentuk menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia.
Angka penceraian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada
2008 iaitu sebanyak 22,289 kes juga memberi petanda institusi kekeluargaan yang
semakin rapuh.
Kebanyakan remaja bermasalah lahir daripada keluarga yang bermasalah.
Peningkatan dalam kadar perceraian adalah satu amaran kepada masyarakat bahawa
sesuatu perlu dibuat segera dalam sistem kekeluargaan bagi menangani isu yang
nampak kecil tetapi sebenarnya ibarat barah yang akan memusnahkan bangsa dan
negara.
Pendidikan di sekolah juga mestilah menumpukan kepada pembangunan akhlak dan
pembinaan sahsiah di kalangan pelajar. Potensi diri pelajar perlu dibangunkan
secara menyeluruh dan bersepadu, seperti yang termaktub dalam Falsafah
Pendidikan Negara.
Pelaksanaan di sekolah bukanlah sesuatu yang mudah, dan ia perlu mendapat
kerjasama ibu bapa, masyarakat dan pemimpin setempat.
Pihak berkuasa juga mesti berusaha tidak menggalakkan tempat-tempat maksiat dan
mengadakan acara-acara yang boleh mengundang kepada gejala sosial.
Program-program yang membina seperti ceramah dan forum agama, aktiviti-aktiviti
sihat, kempen kesedaran dan lain-lain boleh diadakan untuk mengelak remaja
terjebak dalam situasi yang kurang sihat.
Segala program dan perancangan oleh pihak berkuasa, lebih-lebih lagi yang
melibatkan kepentingan golongan remaja dan belia, hendaklah menjurus kepada
pengukuhan iman, pembinaan akhlak dan pemuliharaan jati diri bahasa, bangsa dan
negara.
Pelaksanaan undang-undang yang tegas juga perlu untuk mengelak perbuatan
mungkar dan maksiat agar ia tidak membarah dan menjadi parah.
Kebebasan media massa juga perlu diberi perhatian. Berita-berita hiburan yang
melampau dan cerita-cerita yang tidak senonoh dan terlalu bebas tidak perlu
dipertontonkan kepada umum.
Limpahan gambar, video dan unsur-unsur porno amat mudah didapati di alam maya
dan dengan kecanggihan teknologi, semua itu boleh dimuat turun ke dalam telefon
dan komputer riba, dikongsi dan dibawa kemana sahaja.
Selain pengawalan dan sekatan daripada pihak berkuasa, ibu bapa sewajarnya
mendidik anak akan batas halal dan haram serta betul salah terhadap sesuatu
perkara.
Remaja mesti memiliki jati diri berasaskan kepada didikan agama supaya ia
mempunyai kekuatan untuk membezakan antara baik dan buruk serta dosa dan pahala.
Wassalam.
AFFINBANK - "BANKING WITHOUT BARRIERS"
Noorshamsudin Hj. Mohd Darus
IS Audit, Group Internal Audit
1st Floor Menara AFFINBANK
80 Jalan Raja Chulan, KL
Tel: 03-27315246 (Ofis) / 012-2923403 (H/P) / 03-60214010 (Home)