'M'sia bukan masyarakat judi'  Dr Mohd Asri Zainul Abidin | Mei 9, 10 5:52pm

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa kerajaan
pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia
2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan
yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus. Saya ingin tegaskan
hal ini berasaskan perkara berikut:

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa 'tindakan pemerintah terikat
dengan maslahah'. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau
kebaikan rakyat dan negara itu sendiri. Ini seperti juga yang disebut oleh
al-Imam al-Syafi'i r.h: “Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan
kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).
Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai
kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan
kaki judi semata?! Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan
kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa
manfaat untuk pihak-pihak tertentu. Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih
besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima. Al-Quran menyebut: (maksud)
“Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah:
“Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia.
Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah
al-Baqarah ayat 219). Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi
berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar
dari manfaat yang akan diterima. Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh
lebih tinggi.

3. Judi sama ada 'dilesenkan' atau tidak dilesen keburukannya sentiasa
dominan. Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa
kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa
kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk
tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras
manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama
pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan
masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi. Tiada ajaran mana-mana agama yang
menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam
negara ini sanggup untuk mendakwa 'judi adalah budaya kami', atau
'kebanggaan hidup kami'. Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada
isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi. Maka, jangan kaitkan atau
hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa
dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi
lesen atau tidak, tetap sama. Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan
hutang. Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti
biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing
dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang
berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan
tempat 'hisap candu berlesen' untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya
di tempat yang tidak berlesen? Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan
sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

7. Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat
Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah
cadangan ini!

Kirim email ke